10 Awal Zulhijjah : Betapa beruntungnya kita

Dalam setahun terdapat beberapa waktu atau tempoh istimewa di mana Allah menjanjikan ganjaran yang lumayan di sisi-Nya dan selayaknya kita sebagai seorang Muslim seharusnya mengejar kelebihan-kelebihan ini tanpa membiarkan ia berlalu begitu sahaja tanpa tercatat padanya amal soleh dan ganjaran di akhirat sana.

Sepuluh hari awal bulan Zulhijjah adalah hari-hari yang diberkati dan mulia dalam Islam di mana ia mempunyai tempat yang istimewa di hati umat Islam. Terdapat peristiwa besar yang agung berlaku pada awal Zulhijjah ini bahkan digalakkan untuk melakukan amalan soleh sepanjang sepuluh hari ini.

Allah SWT berfirman di dalam Surah Al-Fajr ayat 1-2:

وَٱلۡفجۡرَََ ١ ولیَالَ عشۡر ٢
“Demi waktu fajar (1) Demi malam yang sepuluh (2)”

Ayat di atas menegaskan bahawa Allah SWT bersumpah dengan sepuluh malam awal Zulhijjah berdasarkan pandangan ulama tafsir menggambarkan bahawa peri pentingnya tempoh ini di sisi-Nya. Imam Ar-Razi dalam tafsirnya Mafatihul Ghayb menyebut bahawa Allah SWT memilih sepuluh malam ini secara khusus dengan fadhilat yang besar yang tidak akan didapati pada waktu yang lain.
Rasulullah SAW bersabda dalam hadith riwayat Imam Bukhari:

ما منْ أَیَّام اَلْعملُ اَلصَّالحُ فَیها أَحبُّ إَلى اَلله منْ هذه اَلأیَّام یعْني أَیَّام اَلْعشْر ،َ قَالُوا :ََ یا رسُول اَلله ،َ ولا اَلْجهادُ فَي سبیل اَلله ؟َ قَال :َََ
ولا اَلْجهادُ فَي سبیل اَلله ،َ إَلاََّ رجُلٌ خرج بنفْسه وماله ،َ فَلمْ یرْجعْ منْ ذَلك بشيْ ءَ .
Maksudnya: “Tiada hari-hari yang amalan soleh yang paling disukai oleh Allah untuk dilakukan melainkan hari-hari ini-baginda memaksudkan: 10 hari terawal Zulhijjah-. “Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya?” Baginda bersabda, “Walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya, melainkan seorang lelaki yang keluar berjihad bersama hartanya, kemudian dia langsung tidak kembali.” (HR Bukhari)

Sepuluh hari ( أیَّام اَلْعشَْر ) di atas menurut Syeikh Said Hawwa dalam Al-Asas fi as-Sunnah wa Fiqhuha adalah merujuk kepada sepuluh hari terawal Zulhijjah. Imam Ibnu Hajar al-Asqalani dalam kitabnya Fath al-Bari mensyarahkan hadith di atas bahawa perbandingan antara amal soleh pada sepuluh hari Zulhijjah ini dengan jihad menunjukkan betapa besarnya keutamaan sepuluh hari ini bahkan Rasulullah SAW memberi pengecualian keutamaan tersebut hanya pada seseorang yang pergi berjihad mengorbankan diri dan hartanya dan tidak kembali.

Antara amalan yang dikhususkan pada sepuluh awal Zulhijjah ini adalah puasa hari Arafah pada hari kesembilan Zulhijjah di mana Allah SWT mengampunkan dosa setahun sebelum dan setahun akan datang bagi sesiapa yang berpuasa pada hari tersebut. Alangkah ruginya bagi mereka yang melepaskan amalan puasa pada hari Arafah ini lantaran kelebihan dan kebaikan yang besar berdasarkan hadith riwayat Muslim dari Abu Qatadah bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:

صیامُ یوم عَرفة أَ حْتسبُ على اَلله أَنْیَُ كفر اَلسَّنة اَلتي قَبْلهُ وَالسنة اَلتي بعْدهَُ
“Puasa pada hari Arafah,Aku berharap pada Allah agar dihapuskan dosa yang sebelum dan selepas tahun itu.” (HR Muslim)

Hari raya umat Islam iaitu aidiladha sinonim dengan ibadah korban diambil daripada kisah penyembelihan korban yang dilaksanakan oleh Nabi Ibrahim kepada anaknya Nabi Ismail. Hukum ibadah korban adalah sunat muakkad sepertimana disebut dalam kitab Al-Fiqh Asy-Syafi’ie al-Muyassar karangan Syeikh Dr Wahbah az-Zuhayli iaitu ibadah korban adalah amalan sunat yang amat digalakkan.

Allah SWT merakamkan dalam Surah Al-Hajj ayat ke-37 bahawa daging dan darah haiwan korban itu tidak akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas berdasarkan taqwa. Imam Al-Alusi menegaskan dalam tafsirnya Ruhul Ma’ani bahawa redha Allah itu tidak diperolehi dari daging korban yang disedekahkan dan tidak pula dari darah haiwan korban yang ditumpahkan tetapi redha-Nya adalah pada taqwa di dalam hati yang mengagungkan Allah Taala dan taqarrub serta ikhlas kerana-Nya.

Perhebatkan amalan soleh dan peranan bapa qawwam.

Lihat bagaimana Allah SWT menghimpunkan amalan utama dalam Islam iaitu solat, puasa, sedekah dan haji dalam 10 hari awal Zulhijjah menjadikan amalan sepanjang tempoh ini menjadi keutamaan seperti yang disebutkan oleh Imam Ibn Hajar dalam Fath al-Bari.

Justeru, umat Islam digalakkan untuk menambah amalan soleh seperti bertakbir, bertahlil, bertahmid, solat sunat, melaksanakan amar makruf nahi mungkar, berbuat baik sesama manusia, memelihara silaturrahim dan amalan-amalan soleh yang lain agar usaha amal soleh kita sepanjang tempoh ini menjadi bank pahala di akhirat kelak nanti di samping mendapat kelebihan melaksanakan ibadah yang disukai oleh Pencipta kita.

Tidak dilupakan peranan bapa qawwam yang memiliki sifat kepimpinan seharusnya memainkan peranan penting dalam menghidupkan sepuluh hari awal Zulhijjah ini di dalam linkungan keluarga agar didikan agama dan adab sering menjadi keutamaan. Contohilah junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW yang menjadi qudwah dalam kehidupan berkeluarga di samping dalam masa yang sama Baginda adalah ketua negara yang tidak culas dalam menunaikan tanggungjawab.

Pengabaian pendidikan kekeluargaan oleh sang bapa akan membawa kepada kerosakan masyarakat. Hal ini dapat dilihat daripada realiti masyarakat hari ini yang sebahagian daripada punca kepada masalah sosial anak-anak muda adalah disebabkan para bapa tidak memainkan peranan mereka sebaiknya.

Anggaplah sepuluh hari awal Zulhijjah ini umpama sepuluh malam terakhir Ramadan. Usaha dan juhud (kesungguhan) kita seharusnya sama bahkan perlu lebih lagi agar hari-hari yang berlalu ini tidak menjadi ratapan kita di akhirat nanti kerana disia-siakan semasa hayat. Imam Ibn Taimiyyah dalam Majmu’ al-Fatawa menganggap sepuluh hari pertama ini lebih utama dari sepuluh hari terakhir bulan Ramadan:

أیام عَشر ذَي اَلحجة أَفضل مَن أَیام اَلعشر مَن رَمضان وَاللیالي اَلعشر اَلأواخر مَن رَمضان أَفضل مَن لَیالي عَشر ذَي اَلحجةَ
Sepuluh hari awal Zulhijjah lebih afdal daripada sepuluh hari akhir Ramadan, dan malam sepuluh akhir Ramadan, lebih afdal daripada malam sepuluh awal Zulhijjah.

Ada makna yang besar di sebalik sabda Baginda mengenai pertanyaan sahabat membandingkan jihad dengan amalan sepuluh hari awal Zulhijjah ini. Seandainya jihad itu perlukan ketahanan, fokus, mengeluarkan keringat, pengorbanan dan sebagainya, maka apatahlagi amalan soleh kita sepanjang sepuluh hari ni selayaknya lebih hebat lagi.

Ustaz Wan Ahmad Izzat
Setiausaha Biro Dakwah ISMA

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts