1,000 kilometer mencari Islam

 

KUALA LUMPUR: Meskipun belum sah bergelar wanita Muslim dia sanggup menempuh perjalanan sejauh 1,000 kilometer, memakan masa selama dua hari dengan menaiki bas dari Venezuela ke Bogota, Colombia semata-mata mahu mendalami Islam.

Itu antara pengorbanan seorang gadis 18 tahun yang dikenali sebagai Alexandria yang sanggup bersusah payah menghadiri bengkel dakwah anjuran sekumpulan aktivis dakwah dan kemanusiaan dari Malaysia di Bogota.

Kecekalan remaja perempuan itu cukup mengharukan aktivis dakwah dan kemanusian yang mengendalikan bengkel berkenaan termasuk Presiden Multiracial Reverted Muslim (MRM), Firdaus Wong Wai Hung.

Lebih menggembirakan Alexandria, diberikan hidayah apabila gadis itu mengucapkan dua kalimah syahadah selepas beberapa hari menyertai bengkel disertainya.

Firdaus Wong berkata, dia bersama empat lagi aktivis dakwah dan kemanusiaan MRM berkunjung ke Colombia selama lima hari bermula 25 April lalu bagi melaksanakan Bengkel Dakwah di negara berkenaan.

Katanya, seramai 45 peserta dari seluruh pelosok negara di Amerika Selatan itu menghadiri bengkel berkenaan yang diatur dengan pelbagai pengisian seperti Motivasi Muslim, Dialog Antara Agama Islam dan Kristian dan Dakwah Jalanan.

Menurutnya Alexandria, antara tiga remaja perempuan memeluk Islam di Masjid Estambul, Bogota dan peristiwa itu berlangsung selepas Solat Jumaat sewaktu bengkel berlangsung.

Ceritanya, aktivis dan peserta lain amat kagum dengan kesungguhan gadis itu kerana sanggup membelanjakan Peso120,000 (RM161) untuk bayar tambang bas selain hanya menjamah roti serta gula-gula untuk mengalas perut berikutan kekangan kewangan.

“Sebelum mengucapkan dua kalimah syahadah, saya bertanya kepada gadis itu apakah ada ajaran dalam Islam yang tidak disukainya. Gadis itu beritahu dia amat tertarik dengan Islam dan mahu mendalami agama ini dengan lebih mendalam.

“Namun apa yang menjadi kebimbangan gadis itu kemampuannya menunaikan solat lima waktu selain berhijab dan meninggalkan gaya pemakaiannya yang sebelum tidak mengikut ajaran Islam,” katanya ketika ditemui di Pejabat MRM di Jalan Genting Klang di sini.

Jelas Firdaus Wong, selepas berbincang dan memberikan penerangan mengenai Islam kepada Alexandria selama 20 minit remaja itu bersetuju mengucapkan dua kalimah syahadah.

“Apa yang saya maklumkan perubahan perlu dilakukan secara berperingkat dan mengambil masa, tidak ada jalan pintas atau cuba jadi malaikat dalam sekelip mata.

“Pastikan setiap hari kita bergerak ke depan walaupun sedikit. Alhamdullillah, Alexandria mengucapkan dua kalimah syahadah, ketika itu juga air matanya berjurai membasahi pipi, kerana terlalu gembira,” katanya. – Harian Metro

(Gambar di atas adalah salah seorang peserta program, bukannya Alexandria)

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts