Jangan sampai main PUBG pun berdosa

 

Hiburan Dalam Islam

Hiburan dalam Bahasa Arab al-Lahwu bermaksud semua perkara yang melekakan manusia daripada pelbagai gangguan, pemikiran dan masalah yang mengganggu tidurnya. Ia juga tidak mempunyai hakikat yang sabit seperti bermain, berjenaka, bersembang malam, menyanyi dan sebagainya

Pada asalnya hiburan diharuskan di dalam islam melainkan di datangkan kepadanya perkara yang haram ini seperti hadis yang diriwayatkan oleh Hanzalah RA, Sabda Nabi SAW:

يَا حَنْظَلَةُ سَاعَةً وَسَاعَةً وَلَوْ كَانَتْ تَكُونُ قُلُوبُكُمْ كَمَا تَكُونُ عِنْدَ الذِّكْرِ لَصَافَحَتْكُمُ الْمَلاَئِكَةُ حَتَّى تُسَلِّمَ عَلَيْكُمْ فِي الطُّرُقِ ‏‏

Maksudnya: Wahai Hanzalah! Ada masa untuk urusan keduniaan, ada masa untuk beribadah. Dan jika hati kamu sentiasa sama seperti kamu sedang mengingati Allah SWT, para malaikat akan bersalam denganmu dan memberi salam kepadamu di pertengahan jalan.

Sahih Muslim (2750)

Imam Nawawi sewaktu mentafsirkan hadith ini yang turut diriwayatkan dengan lafaz berbeza dalam Sahih Muslim, beliau menjelaskan bahawa kita tidak dituntut untuk beribadah sepanjang masa. Kerana itu apabila Hanzalah merasa risau dirinya telah munafiq kerana ‘lalai’ daripada mengingati Allah SWT, Rasulullah SAW menjelaskan bahawa ada masa diperuntukkan untuk ibadah, ada masa juga perlu diperuntukkan untuk kehidupan dunia dan berhibur bersama keluarga.

Di dalam Kitab al-Fiqh al-Manhaji, pengarang telah menggariskan beberapa penetapan hukum di dalam hiburan di antaranya:

Makruh, sekiranya hiburan itu tidak memberi sebarang kesan baik ataupun buruk kepada manusia ini kerana melakukan perbuatan yang tidak berfaedah.
Haram, sekiranya membawa keburukan kepada inidividu dan masyarakat. Ini seperti perbuatan yang bercampur dengan perkara yang diharamkan syara’
Dibenarkan dan digalakkan, sekiranya hiburan itu memberi kesan yang baik kepada individu dan masyarakat. Seperti pertandingan memanah dan permainan yang berfaedah untuk peperangan.

Begitu juga dalam hiburan dan permainan yang memerlukan kepada kemahiran berfikir adalah dibenarkan. Dan hal berkenaan dengan halal atau makruh bergantung kepada sejauh mana kesan terhadap pemain itu. Ini seperti yang dijelaskan di dalam Kitab al-Fiqh al-Manhaji menyatakan: “Permainan catur, ia merupakan suatu permainan yang banyak bergantung kepada penggunaan akal dan fikiran.

Tidak syak lagi ia memberikan kesan yang baik kepada daya fikiran pemain. Sekiranya permainan ini menyebabkan pemain leka dan mengambil masa yang lama, hukumnya menjadi makruh. Sekiranya permainan ini terlalu melekakan hingga menyebabkan pemain mengabaikan beberapa tanggungjawabnya, hukumnya menjadi haram” .

Dalam menerangkan tentang permainan catur, ulama bersepakat sekiranya terdapat unsur-unsur perjudian, meninggalkan tanggungjawab yan wajib seperti melewatkan waktu solat dan terdapat unsur-unsur penipuan. Namun sekiranya tidak terdapat perkara yang diharamkan, ulama berselisih pendapat. Haram bermain catur mengikut pandangan Malikiyah dan Hanabilah dan makruh mengikut pandangan mazhab Syafieyah dan Hanafiyah.

Kesimpulan

Berdasarkan kepada dalil yang didatangkan, pada asalnya hukum berhibur adalah di haruskan. Ini berpandukan dalam kaedah fiqhiyah:

الأصل في الأشياء الإباحة حتى يدل الدليل على التحريم

Maksudnya: Hukum asal sesuatu perkara adalah diharuskan, sehingga di datangkan dalil pengharamannya.

Penilitian terhadap dalil-dalil yang di atas, terdapat persamaan pemainan PUBG dengan permainan catur yang memerlukan kemahiran berfikir serta strategi. Dan kami lebih cenderung dengan memakruhkannya seperti pandangan di dalam mazhab Syafi’eyah, Ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Uqbah bin Amir RA, daripada Nabi SAW:

لَيْسَ مِنَ اللَّهْوِ إِلاَّ ثَلاَثٌ ‏:‏ تَأْدِيبُ الرَّجُلِ فَرَسَهُ وَمُلاَعَبَتُهُ أَهْلَهُ وَرَمْيُهُ بِقَوْسِهِ وَنَبْلِهِ

Maksudnya: Tidak termasuk perkara yang sia-sia melainkan tiga perkara: Seseorang yang melatih kudanya, bermesra dengan isterinya dan memanah dengan menggunakan busur dan anak panahnya.

Hadis riwayat Abi Daud (2513)

Namum haram hukumnya seseorang itu bermain permainan PUBG sekiranya membawa kepada perkara berikut:

Hilang fokus terhadap realiti dan masyarakat sekeliling
Gangguan emosi akibat kekalahan
Faktor ketagihan yang melampau
Mengabaikan tanggungjawab terhadap perkara yang diwajibkan
Mendatangkan kemudharatan terhadap tubuh badan dan kesihatan
Menghilangkan akhlak sebagai seorang muslim
Sekiranya ia terbukti oleh pihak berkuasa bahawa ia menjadi punca kepada tindakan ganas serta perlakuan jenayah.
Ini berdasarkan kepada kaedah fiqhiyah:

ما أدى إلى الحرام فهو حرام

Maksudnya: Sesuatu perkara yang membawa kepada yang haram, maka perkara tersebut haram hukumnya.

Oleh itu, kami cenderung memakruhkan permainan PUBG ini kerana terdapat unsur-unsur yang membuang masa, namun PUBG ini menjadi haram sekiranya pemain itu melanggar batas-batas yang ditetapkan syarak serta meninggalkan tanggungjawab sebagai seorang muslim. Kami sarankan pemilihan permainan yang boleh memberi manfaat serta menambahkan ilmu pengetahuan dan tidak melalaikan. Ingatlah kita dicipta bertujuan sebagai hamba allah SWT dan pemegang amanah sebagai khalifah di muka bumi bukanlah untuk menlakukan perkara yang sia-sia. Ini seperti fiman Allah SWT:

أَفَحَسِبْتُمْ أَنَّمَا خَلَقْنَاكُمْ عَبَثًا وَأَنَّكُمْ إِلَيْنَا لَا تُرْجَعُونَ

Maksudnya: “Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?”

Surah al-Mukminun, 115

Wallahualam – Bayan Linnas

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts