Kuala Lumpur: Amalan ‘garfu tala’ mirip kepada perbuatan menilik nasib dan tindakan yang menyerupai amalan tilikan adalah dilarang di dalam Islam.
Menerusi siaran al-Afkar terbitan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP), ia menjelaskan bahawa hukum tenung nasib atau tilik nasib serta sebarang perbuatan yang menyerupai tindakan itu adalah diharamkan oleh Allah SWT.
Amalan garfu tala itu sendiri menggunakan terjemahan ayat suci al-Quran untuk menilik sesuatu yang berlaku pada kehidupan harian seseorang individu.
Teknik amalan ini memerlukan pengikutnya atau individu membuka sebarang muka surat di dalam al-Quran mengikut gerak hati atau pemilihan rawak.
Selepas itu, setiap ayat terjemahan pada helaian yang dibuka oleh individu berkenaan akan diperhalusi dan memilih mana-mana ayat yang dirasakan ‘kena’ dengan kehidupan seseorang.
Tindakan itu juga mirip kepada perbuatan menilik turut mendapat perhatian daripada beberapa individu berstatus public figure yang dilihat menggunakan teknik sama.
Pada masa sama, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam perbincangan dengan pihak berkaitan mencadangkan supaya amalan seumpama ini dibawa ke Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) untuk pandangan lanjut.
Ketua Pengarah Jakim Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata, pihaknya sedia maklum berhubung amalan garfu tala yang mencetuskan kegusaran awam.
“Walaupun menggunakan kitab suci al-Quran namun apa saja kaedah amalan yang mirip dengan amalan menilik nasib, maka ia adalah dilarang berdasarkan kepada dalil yang sahih.
“Jakim mengambil maklum tentang kegusaran awam terhadap satu amalan mencari penyelesaian terhadap sesuatu masalah dengan menggunakan mushaf al-Quran ataupun istikharah al-Quran.
“Kitab al-Quran diturunkan adalah sebagai pedoman serta diambil isi kandungannya sebagai panduan hidup,” katanya kepada Metro Ahad.
Abdul Aziz berkata, ia bukanlah untuk dijadikan amalan yang tiada asas atau pun amalan baharu yang direka cipta dan bertentangan dengan ajaran al-Quran itu sendiri.
Kata Abdul Aziz, Jakim menyeru seluruh umat Islam agar mengelakkan diri daripada mempercayai serta mengamalkan ajaran yang tiada asas sumbernya daripada hukum syarak.
“Umat Islam diseru mempertingkatkan kefahaman dan penghayatan Islam secara menyeluruh melalui pegangan akidah, syariah dan akhlak sebagaimana diajar Nabi Muhammad SAW melalui saluran yang betul dan guru yang diiktiraf keilmuannya,” katanya.
Perbuatan syirik mirip tilik nasib
Pengamal serta individu yang mempercayai amalan garfu tala sudah melakukan perbuatan syirik kerana ia bertentangan dengan ajaran agama Islam yang sebenar.
Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah (Aswaja) Dr Zamihan Mat Zin al-Ghari berkata, amalan itu tidak bersesuaian dengan ajaran Islam dan ia tidak berpaksikan kepada ilmu tauhid, fiqh dan tasawuf sebenar.
“Ajaran itu bukan sahaja membuatkan pengamalnya jatuh syirik kerana wujud pentawassulan yang dilarang oleh Allah SWT, tetapi sudah menganggap bahawa kitab atau cetakan berkenaan yang mempunyai mukjizat.
“Sedangkan yang mengandungi mukjizat adalah pada ayat daripada firman Allah SWT dan bukan pada kitab atau bukunya.
“Konsep berdoa melalui acuan garfu tala ini juga bertentangan langsung dengan konsep kewujudan roh, akal, nafsu dan jasad yang mana Allah SWT menciptakan makhluk manusia dengan sempurna,” katanya kepada Metro Ahad.
Zamihan berkata, masyarakat Islam perlu menjauhi sebarang amalan yang mampu menjerumuskan diri ke lembah syirik yang tiada pengampunan daripada Allah SWT.
Beliau berkata, sebarang amalan atau perbuatan yang menyamai seperti perbuatan menenung nasib adalah dilarang dalam Islam dan perkara itu sangat jelas tanpa sebarang khilaf.
“Perbuatan ini sangat mirip kepada menilik nasib seseorang sedangkan Allah SWT jualah yang mengetahui setiap segala sesuatu yang berlaku.
“Individu yang terbabit dengan perbuatan itu diharapkan dapat bertaubat dan meninggalkan segera perbuatan berkenaan kerana bimbang ia mampu merosakkan akidah kita sebagai umat Islam,” katanya.
Hidupkan amalan seperti diajar Rasulullah
Tiada nas khusus serta sahih yang menceritakan berkenaan perbuatan istikharah dengan membuka lembaran al-Quran secara rawak.
Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Luqman Abdullah berkata, setiap Muslim perlu bersikap lebih warak iaitu meninggalkan amalan ini kerana sebahagian ulama mengharamkannya.
“Bahkan di sisi mazhab Syafi’ie, hukumnya makruh yang memberi makna perbuatan yang sia-sia, malah tiada ganjaran dan apa-apa fadilat, sekali gus lebih baik ia ditinggalkan.
“Umat Islam perlu menghidupkan amalan istikharah dengan cara yang diajarkan baginda Rasulullah SAW iaitu solat istikharah dan berdoa kepada Allah SWT selain meminta nasihat daripada individu yang berpengalaman,” katanya.
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) menerusi satu hantaran Irsyad Fatwa menjelaskan tiada nas sahih menyebut mengenai istikharah dengan membuka al-Quran secara rawak.
Bahkan jika ia digunakan sebagai kepercayaan untuk menilik terhadap apa yang akan berlaku pada masa hadapan, maka ia haram dan menyerupai perbuatan ahli sihir dan penilik nasib.
Menerusi penerangan itu juga, seseorang yang ingin beristikharah maka disunatkan melakukan solat sunat istikharah, diiringi dengan doa kepada Allah SWT sebagaimana yang diajar baginda Rasulullah SAW. – MyMetro
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)