3 sebab pemuda jauh dari surau

Berbanding golongan emas, trafik pemuda ke surau agak ketinggalan. Baik di bandar mahupun luar bandar, golongan muda seolah teraba-raba mencari formula untuk menyempatkan masa di rumah Allah. Kesannya, AJK didominasi oleh golongan emas. Tajuk ceramah juga mesra golongan emas.

Saya tidak menyalahkan golongan emas. Sebenarnya, mereka amat harapkan golongan muda memimpin pengurusan surau. Mereka tahu anak muda banyak idea segar. Tapi mereka sering tertanya, “Mana geng muda ni?”.

Ada tiga sebab anak muda jarang kelihatan di surau.

Pertama, salah faham hukum. Inilah silap besar orang Malaysia, kerana ramai kita anggap solat berjamaah surau sunat muakkad, sedangkan pendapat terkuat dalam mazhab Syafie adalah Fardu Kifayah (Rujuk: Mufti Wilayah). Betapa besar pahala solat berjemaah surau, kerana ia ibadah fardu. Bahkan kita perlu takut terjatuh dalam daerah haram kerana abaikan solat berjemaah surau.

Kedua, tidak buat keputusan untuk pergi surau. Nak melazimi surau, kena set dalam minda, “Dalam sehari, aku mesti pergi surau minima 3 kali”. Ketika di pejabat, kita usaha solat berjemaah di surau pejabat. Ketika dalam permusafiran, kita keluar dari hotel untuk cari surau terdekat. Saya pernah dengar seorang doktor pakar sebut, “Saya boleh pening kepala kalau lama tak solat di surau”.

Ketiga, orang muda sibuk kerja. Kalau hadir pun, tak sempat imam habis baca doa, mereka sudah angkat kaki. Di perumahan saya, anak muda keluar 6.15 pagi, balik 9.00 malam. Ada yang balik 7.00 malam, tapi sambung dengan part-time job.

Nasihat saya, buatlah time management. Hidup ni bahagikan siap-siap; 8 jam untuk kerjaya, 8 jam untuk keluarga-komuniti, dan 8 jam untuk diri sendiri. Ahli kariah anda memerlukan anda. Anda perlu sertai aktiviti surau. Anda perlu terlibat dalam JK surau, barulah surau anda hidup.

Penutupnya, berusahalah melazimi surau. Nabi Muhammad SAW bersabda, “Jika kamu lihat seorang lelaki berulang alik ke masjid, maka saksikan dia orang beriman” (riwayat Tirmizi, Dhoif). Solat adalah benteng yang paling ampuh untuk menahan diri dari maksiat. Apabila dilakukan secara berjemaah di surau, pastilah ia lebih berkesan.

USTAZ BILAL JAILANI
YDP ISMA BANGI

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts