3 Tips persediaan menyambut bulan Ramadhan

Dalam tak sedar, kita sudah melepasi 1 per 3 bulan Sya’ban. Oleh itu, hal yang dapat kita muhasabah bersama, adakah kita sudah membuat persiapan untuk menyambut bulan Ramadhan yang sudah sangat hampir akan kunjung tiba?

Para ulamak menyebut bahawa amalan-amalan sunat adalah sebagai pemangkin untuk mencapai khusyuk dan kesempurnaan bagi sesuatu ibadat terutamanya ibadat fardhu.. Misalnya solat fardhu 5 waktu, kita dituntut untuk mengerjakan solat sunat rawatib sebelum kita menunaikan solat fardhu. Apakah hikmahnya?

Hikmahnya adalah supaya kita mendapat kerehatan minda daripada kesibukkan dunia, lalu kita dapat menunaikan solat fardhu yang seterusnya dengan lebih khusyuk dan tenang.

Pembaca yang dirahmati Allah sekalian, begitu juga gambaran bagi persediaan menyambut bulan Ramadhan . Bulan Sya’ban itu umpama solat sunat rawatib, yang membantu seseorang hamba itu untuk menunaikan ibadah fardhunya dengan lebih bersedia , sehingga mencapai khusyuk dan kesempurnaan. Mereka yang membuat persediaan pada bulan Sya’ban, pasti dapat menjalani bulan Ramadhan dengan momentum yang penuh.

Suka untuk kami kongsikan beberapa perkara penting yang dapat membantu persediaan menyambut bulan Ramadhan. Antaranya adalah,

1.Meletakkan niat sebelum menunaikan ibadat puasa dan “target” yang ingin dicapai selepasnya.

Orang Mukmin, mereka dituntut untuk menetapkan keikhlasan di dalam hati sebagai niatnya sebelum menunaikan ibadah. Firman Allah SWT,

وَمَآ أُمِرُوٓاْ إِلَّا لِيَعۡبُدُواْ ٱللَّهَ مُخۡلِصِينَ لَهُ ٱلدِّينَ
Maksudnya: “Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya”. (Al-Bayyinah: 5)

Di dalam Risalah Maqasid Puasa oleh Imam ‘Izzudin Abd Salam, beliau menyatakan bahawa tujuan utama ibadah puasa itu dilakukan adalah untuk mecapai ketaqwaan yakni rasa takut kepada api neraka. Maka seseorang hamba itu, hendaklah menjadikan ibadah puasa sebegai perisai dan wasilah untuk membebaskan dirinya daripada bakaran api neraka.

Demikian ini, dua niat utama yang kita ingin capai adalah, keikhlasan dan ketaqwaan dalam beribadah.

2.Memulakan amalan yang paling mudah disamping konsisten melakukannya.

Kita sudah mengetahui banyak amalan yang mudah untuk dilakukan seperti membaca Al-Quran, berzikir, bersedekah, memberi makan dan sebagainya. Namun amalan yang paling dicintai Allah taala adalah amalan yang berterusan tanpa terputus meskipun amalan tersebut hanya sedikit atau kecil.

Imam Ibn Rajab Al-Hanbali di dalam kitabnya Lathaif al-Ma’arif menukilkan bahawa Rasulullah SAW melarang umatnya daripada berlebih-lebihan dalam melakukan ibadat sehingga mengabaikan hak-hak yang lain. Hal ini kerana, sikap tersebut akan menyebabkan seseorang hamba itu merasa futur dan bosan, sehingga meninggalkan sebuah amalan yang paling dicintai Allah SWT iaitu المداومة على العمل (konsisten dalam beramal).

Rasulullah SAW bersabda,


يا أيُّها النَّاسُ، خُذُوا مِنَ الأعْمَالِ ما تُطِيقُونَ؛ فإنَّ اللَّهَ لا يَمَلُّ حتَّى تَمَلُّوا، وإنَّ أحَبَّ الأعْمَالِ إلى اللَّهِ ما دَامَ وإنْ قَلَّ.
“Wahai sekalian manusia, kerjakanlah suatu amalan mengikut kemampuan kalian kerana sesungguhnya ALLAH tidak akan bosan sehingga kalian merasa bosan, dan sesungguhnya amalan yang paling dicintai ALLAH adalah yang dikerjakan secara berterusan walaupun sedikit.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Jika pada bulan Sya’ban ini kita mampu konsisten dengan suatu ibadat atau apa-apa amalan khusus, maka kita turut dapat menjaganya sepanjang bulan Ramadhan nanti , in sha Allah.

3.Memantapkan amal ibadat dengan menambah bekalan ilmu.

Al-Imam Ibn Rejab Al-Hanbali menukilkan sebuah pesanan daripada Ibn Mas’ud RA,

قال ابن مسعود رضي الله عنه: أنتم في زمان العمل فيه أفضل من العلم وسيأتي زمان العلم فيه أفضل من العمل
Maksudnya: “ Telah berkata Ibnu Mas’ud RA: Sesungguhnya kamu(Para sahabat dan salaf pada ketika itu) sedang berada di zaman di mana beramal ibadat itu lebih afdal berbanding menuntut ilmu. Namun, akan datang nanti zaman di mana menuntut ilmu itu lebih afdal daripada beramal ibadat(ibadat sunat).

Para salaf menjelaskan bahawa hal ini kerana ilmu itu akan memberi cahaya kepada kegelapan yakni kejahilan yang merosakkan ibadat. Oleh itu hendaklah kita mempelajari ilmu berkaitan hukam-hakam berkaitan ibadat puasa, agar kita tidak melakukan perkara-perkara yang dilarang dan yang boleh membatalkan ibadat puasa tersebut.

Akhir sekali, kita ingatkan agar sentiasa membuat persiapan untuk menghadapi bulan Ramadhan dan memohon agar diberi kesempatan untuk menjalani ibadah puasa pada tahun ini.

اللهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي رَجَبٍ وَشَعْبَانَ، وَبَارِكْ لَنَا فِي رَمَضَانَ
Maksudnya: “Ya Allah berkatilah bagi kami pada bulan Rejab dan Sya’ban serta berkatilah kami juga pada bulan Ramadhan”

(Riwayat Ahmad di dalam Musnadnya (2346)

Ustaz Fitri Adnan

Penyelidik, Majlis Ulama Isma (MUIS)

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts