Kuala Lumpur: Individu hebat ilmu dunia dan ilmu akhirat. Ia paling tepat buat Dr Syazwan Basil, 29, doktor perubatan yang turut bergelar al-Hafiz.
Selain ilmu perubatan, di dadanya ‘tertanam’ senaskhah al-Quran yang dihafalnya bersama 30 juzuk, sejak 14 tahun lalu.
Malah, Dr Syazwan pernah menjadi imam rawatib termasuk imam solat Tarawih di Masjid Raja Haji Fisabilillah, Cyberjaya selama lima tahun semasa menjadi penuntut perubatan.
Dr Syazwan yang bertugas di Jabatan Kecemasan Kanak-Kanak Hospital Tunku Azizah (Hospital Wanita Dan Kanak-kanak Kuala Lumpur) berkata, dia mula menghafal kalam Allah SWT itu pada usia 13 tahun ketika belajar di Maahad Tahfiz Sains di Kelantan.
“Alhamdulillah, saya menamatkan hafalan 30 juzuk al-Quran pada usia 15 tahun. Kemudian, saya berpindah ke Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang, Selangor untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Selepas itu, saya mengambil persijilan tahfiz di Darul Quran, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di Kuala Kubu, Selangor selama satu setengah tahun.
“Seterusnya, saya melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di Universiti Cyberjaya di bawah tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) selama lima tahun,” katanya.
Dr Syazwan berkata, sememangnya dia memiliki impian menjadi doktor perubatan yang bergelar al-Hafiz sejak kecil.
Pada masa sama, beliau mahu mengekalkan hafalan ayat suci itu sehingga akhir hayat.
Katanya lagi, tidak dinafikan, tugas sebagai doktor perubatan yang sentiasa sibuk, memberi sedikit cabaran kepadanya untuk mengekalkan hafalan atau mengulangi bacaan al-Quran dengan lebih kerap.
“Tetapi saya tidak pernah menjadikan ia halangan dan sebaliknya perlu bijak dalam menyusun jadual rutin.
“Selalunya, saya menggunakan masa di antara waktu solat Maghrib dan Isyak untuk mengulang bacaan al-Quran.
“Masa yang diperuntukkan kira-kira 10 minit untuk membaca empat muka surat al-Quran selepas solat fardu.
“Secara keseluruhan, saya membaca satu juzuk al-Quran sehari,” katanya.
“Proses membaca semula al-Quran pada masa ini menjadi lebih mudah kerana terdapat al-Quran digital dalam telefon pintar yang membolehkan saya membacanya pada bila-bila masa,” katanya lagi.
Menurut Dr Syazwan, tugas hakikinya turut membataskannya untuk menjadi imam rawatib, seperti yang pernah dilakukannya.
Kata Dr Syazwan, ada kalanya dia mendapat undangan menjadi penceramah, biasanya di sekolah tahfiz yang mempunyai jurusan bidang sains tahfiz untuk perkongsian pengalaman seorang tahfiz al-Quran.
“Bergelar al-Hafiz bukan untuk bermegah tetapi lebih kepada tanggungjawab untuk menjaga dan kekal mengingatinya.
“Apabila al-Quran sentiasa ada di dalam hati dan mengamalkannya, ia secara tidak langsung mendidik atau membawa kita ke jalan yang benar.
“Ilmu al-Quran dimiliki ini boleh dikongsikan kepada pesakit, terutama berkaitan dengan ujian kehidupan seperti ditimpa kesakitan,” katanya.
‘Ayat al-Quran ubat mujarab hilangkan tekanan’
“Secara peribadi, 30 juzuk al-Quran yang saya ‘simpan’ dalam dada membantu memberikan kekuatan dan ketenangan apabila berhadapan tekanan kerja,” kata Dr Mohamad Ukashah Ibrahim.
Dr Mohamad Ukashah, 29, adalah seorang hafiz al-Quran sejak 14 tahun lalu dan kini bertugas sebagai doktor pelatih di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar, Johor.
“Ayat al-Quran adalah ‘ubat’ paling mujarab untuk menghilangkan tekanan kerja dan saya sering membacanya apabila mood kerja mula terganggu.
“Selain itu, menghayati maksud ayat al-Quran dapat memberi motivasi kepada saya untuk bekerja dengan sebaiknya kerana ia adalah tanggungjawab dipikul sebagai hamba Allah SWT untuk berkhidmat merawat pesakit,” katanya.
Menurut Dr Mohamad Ukashah, dia mula menghafal al-Quran pada usia 13 tahun di Maahad Tahfiz Sains di Kelantan dan menghafal lengkap 30 juzuk pada usia 15 tahun.
“Kemudian, saya mengambil persijilan tahfiz di Darul Quran, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di Kuala Kubu, Selangor selama satu setengah tahun.
“Seterusnya saya melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di Universiti Cyberjaya selama lima tahun,” katanya.
Dr Mohamad Ukashah berkata, dia pernah diundang menjadi imam rawatib di Masjid Raja Haji Fisabilillah, Cyberjaya, selama setahun ketika tahun kelima pengajian dan setahun lagi semasa menunggu penempatan bertugas sebagai doktor pelatih.
“Buat masa ini, saya lebih banyak memberi fokus kepada bidang perubatan kerana mahu menstabilkan kerjaya.
“Namun, hafalan al-Quran tidak saya abaikan dan saya sentiasa membaca semula dua juzuk setiap hari secara konsisten bagi mengelakkan daripada terlupa.
“Saya menggunakan masa 15 minit setiap kali selepas solat fardu untuk membaca semula al-Quran, iaitu sekurang-kurangnya 10 muka surat,” katanya.
Menurut Dr Mohamad Ukashah, selain bidang perubatan, dia turut mempunyai hasrat untuk menceburi bidang lain iaitu usuluddin dan akidah.
“Ini kerana kedua-dua bidang ini juga boleh menjadi bekalan untuk akhirat,” katanya.
Guna status al-Hafiz suburkan dakwah
Semakin ramai individu bertugas dalam bidang profesional seperti doktor perubatan, jurutera dan pensyarah bergelar hafiz al-Quran.
Pensyarah Fiqh Fatwa Makanan dan Kepenggunaan Semasa, Pusat Kajian Syariah, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim berkata, ini satu kebanggaan kepada Malaysia kerana individu yang menghafal al-Quran tidak semestinya menjadi ustaz atau agamawan.
“Golongan profesional ini juga boleh menggunakan status al Hafiz ini untuk menjadi pendakwah dalam semua bidang termasuk perubatan.
“Apabila Malaysia dapat melahirkan golongan huffaz yang profesional seperti doktor perubatan, ia satu perkara yang sangat membanggakan.
“Bukan itu saja, malah golongan ini boleh mengaitkan al-Quran dengan sains serta perubatan, kehidupan dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata, ini menjadikan proses dakwah lebih cantik dan tersusun.
Mohd Izhar Ariff berkata, tiada keistimewaan tertentu yang membezakan di antara doktor perubatan yang menghafal al-Quran dengan yang tidak menghafal kitab suci itu daripada sudut rawatan.
“Ini kerana, apa yang penting ialah kaedah rawatan, kaedah nasihat perubatan dan kaedah pemberian ubat yang betul kepada pesakit, ia adalah keutamaannya.
“Oleh itu, usahlah membuat tanggapan, apabila mendapatkan rawatan daripada doktor al-Hafiz ini, mereka akan sembuh lebih cepat berbanding doktor perubatan yang tidak menghafal al-Quran.
“Persepsi seperti ini tidak baik kerana kita mahu meletakkan al-Quran pada kedudukan lebih tinggi daripada ilmu lain,” katanya.
“Mungkin, semasa merawat pesakit, doktor perubatan al-Hafiz ini akan sentiasa membaca ayat al-Quran sebagai permulaan rawatan dan ia sangat baik kerana ia turut diajar oleh Nabi Muhammad SAW.
“Walaupun berusaha dengan rawatan moden, tetapi kita tidak melupakan doa daripada ayat suci al-Quran sebagai rukyah kepada pesakit,” katanya lagi.
Jelasnya, ada pelbagai lagi kelebihan membabitkan doktor al-Hafiz.
“Doktor perubatan ini yang mempunyai kelebihan dalam ilmu agama, boleh memberi nasihat daripada aspek kerohanian dan perkara membabitkan akhlak kepada pesakit,” katanya.- My Metro
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM