KUALA LUMPUR – Kira-kira 3,500 warga kota termasuk pelancong luar negara merasai pengalaman berbuka puasa beramai-ramai di Dataran Merdeka di Jalan Raja sempena program Iftar@KL 2017 yang bermula semalam.
Walaupun juadah berbuka yang disediakan penganjur serba ringkas iaitu nasi berlaukkan ayam goreng kunyit, kurma dan setin air minuman, ianya sudah amat memadai buat mereka yang berpendapat pengalaman berbuka dalam suasana terbuka adalah lebih berharga.
Bagi jurujual, Shah Amin Abdullah, 23, yang pertama kali menyertai program berbuka puasa itu melahirkan rasa teruja, tatkala melihat suasana di hadapan bangunan Sultan Abdul Samad itu yang begitu meriah dengan kehadiran orang ramai daripada pelbagai usia bersama-sama menanti waktu berbuka.
“Acara sebegini sesuai dalam mengeratkan hubungan antara sesama masyarakat dan kita juga dapat berkongsi budaya kita dengan memperkenalkan kepada masyarakat bukan Islam yang lain selain dapat menambah kenalan baharu sementara menunggu waktu berbuka,” katanya kepada Bernama.
Program yang diadakan sejak tahun 2012 anjuran Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan serta Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) itu bukan sahaja melibatkan acara berbuka, malah turut diadakan solat Maghrib, Isyak dan Tarawih selain aktiviti penyediaan bubur lambuk.
Ketua Pengarah JKKN, Tan Sri Norliza Rafli berkata sebanyak 16 aktiviti dilaksanakan dengan penyertaan seramai 300 sukarelawan pada Iftar@KL 2017 kali ini antaranya Tadarus al-Quran, Klinik Tahsin al-Quran, kaunter zakat, jualan melalui trak makanan, Bicara Ramadan, Pameran Pelancongan Islam dan Konsert Ramadan.
Iftar@KL 2017 diadakan setiap hari Sabtu dan Ahad sepanjang bulan Ramadan bermula hari ini dan 4 Jun, 10 dan 11 Jun serta 17 dan 18 Jun. – Ismaweb
www.indahnyaislam.my