1. Amalan yang diminta tangguh sebelum ajal menjemput.
Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: “Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh.” (Surah al-Munaafiquun ; 10)
2. Amalan yang tak boleh dikira dengan formula matematik
Mengikut perkiraan asas matematik, apabila satu tolak satu, maka hasilnya adalah kosong. Bagaimanapun, tidak bagi amalan sedekah kerana perkiraan (1-1) itu akan jadi 10 sehingga 700.
Dalilnya pada firman Allah yang bermaksud: “Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi Meliputi ilmu pengetahuan-Nya. (Surah al-Baqarah : 261)
3. Makin sedekah makin kaya dan bahagia
Biasa kalau seseorang kehilangan harta, dia akan bersedih. Tetapi berbeza dengan yang bersedekah. Mereka akan rasa gembira, tenang, bahkan rezeki semakin melimpah ruah. Semua ini kerana kurniaan dan janji Allah bahawa mereka yang bersedekah tidak akan miskin!
4. Bersedekah merupakan salah satu ciri orang bertakwa
Firman Allah dalam Surah Ali Imran, ayat 133-134 yang bermaksud:
“Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa.
Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.”
5. Saham akhirat yang dijanjikan keuntungan berkekalan
Segala harta yang kita sedekahkan, adalah saham akhirat yang telah dijanjikan Allah kepada kita. Dengan syarat ia mestilah ikhlas. Setiap sen yang kita sedekahkan tidak akan disia-siakan Allah.
Sempena hari Jumaat ini, marilah kita gandakan sedekah kita, moga-moga kita peroleh ganjaran syurga daripadaNya. Amin.
ISMA SHAH ALAM
18 Jun 2021
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)