5 tindakan umat Islam bantu Palestin akhiri penjajahan

  1. Perang “Taufan Al-Quds” hari ini bukanlah perang yang baru berlaku. Bahkan ia adalah rantaian perjuangan umat Islam untuk mendapatkan semula tanah yang diberkati daripada tangan penjajah sejak zaman berzaman.

“Bilamana kita berbicara tentang Al-Quds, haruslah kita ingat bahawa Umar Al-Khattab telah membukanya, Salahuddin Al-Ayubi pernah memerdekakannya. Dan sekarang, kita akan mengatakan dengan keyakinan yang tinggi kepada Allah, bahawa kita akan mengikuti jejak langkah mereka in sha Allah.” -Pemimpin Pejuang Palestin (H4m4$)

Siri peperangan ini adalah rentetan perjuangan sejak 75 tahun lalu untuk mendapatkan semula tanah yang dijajah zi0ni$ bermula dari tahun 1917 dan lebih agresif pada peristiwa Nakbah tahun 1948.

  1. Permusuhan Yahudi dan orang-orang kafir terhadap umat Islam amat kuat dan tidak pernah padam, Allah SWT menyatakan secara jelas di dalam surah Al-Maidah : 82


  لَتَجِدَنَّ أَشَدَّ النَّاسِ عَدَاوَةً لِلَّذِينَ آمَنُوا الْيَهُودَ وَالَّذِينَ أَشْرَكُوا ۖ وَلَتَجِدَنَّ أَقْرَبَهُمْ مَوَدَّةً لِلَّذِينَ آمَنُوا الَّذِينَ قَالُوا إِنَّا نَصَارَىٰ ۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّ مِنْهُمْ قِسِّيسِينَ وَرُهْبَانًا وَأَنَّهُمْ لَا يَسْتَكْبِرُون

َ

“Sesungguhnya kamu dapati orang-orang yang paling keras permusuhannya terhadap orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik…(ayat)”

Kerana kerasnya permusuhan Yahudi terhadap para Nabi dan orang-orang beriman ini, maka tidak hairanlah mengapa mereka ditafsirkan mengikut tafsiran Abdullah Ibnu Abbas sebagai golongan dimurkai Allah didalam surah Al-Fatihah ayat ke-7.

  1. Perjuangan Palestin adalah perjuangan akidah, bukan sekadar perjuangan kemanusiaan.

Umat Islam secara keseluruhannya wajib bersatu memikul tanggungjawab menentang permusuhan yang tidak akan pernah henti hingga hari kiamat ini. Tanah Palestin adalah tanah suci yang diberkati Allah, bumi para anbiya’ alaishissolatu wassalam, tanah yang merupakan kiblat pertama bagi umat Islam.

“Kita semua sebagai orang Islam wajib membantu rakyat Palestin serta mempertahankan Baitulmaqdis dan Masjid al-Aqsa.” Fatwa Sheikh Yusuf al-Qaradawi (Kitab Fatawa Min Ajli Falastin)

Maka seharusnya umat Islam perlu rasa terhutang budi kepada para pejuang dan rakyat Palestin yang sedang bertarung nyawa disana kerana telah mewakili umat Islam seluruhnya dalam perjuangan ini. Dan kita disini wajib bertindak mencari jalan untuk membantu dan terlibat sama dalam perjuangan pembebasan tanah barakah ini.

  1. Terdapat pelbagai tindakan yang boleh kita usahakan untuk terlibat sama dalam perjuangan ini, sebagai individu muslim :
  2. CAKNA dan FAHAM :

Bak kata pepatah, “Tak Kenal Maka Tak Cinta”. Bagaimana kita sanggup berkorban harta benda, tenaga bahkan berkorban nyawa untuk mempertahankan Al-Quds jika kita tidak memahami apakah sebenarnya yang berlaku? Apakah sejarahnya dan apakah pula kaitannya dengan diri kita?

Ya, mungkin kita marah kerana melihat penindasan dan pembunuhan yang tidak kenal erti kemanusiaan. Tetapi emosi itu hanyalah respon sementara yang akan hilang.


 Rasulullah SAW bersabda:

من لم يهتمَّ بأمر المسلمين فليس منهم

“Barangsiapa yang tidak mengambil berat urusan orang Islam maka dia bukanlah daripada kalangan mereka”.

Cakna isu perjuangan perlu diiringi dengan kefahaman dan pengetahuan sejarah yang jelas, agar semangat juang itu sentiasa hidup dalam jiwa umat Islam dan tidak luntur seiring berlalunya masa.

Ia tidak akan dilupakan walaupun ada pihak yang cuba melenyapkan kewujudannya.


Sejarah penjajahan ke atas tanah-tanah Umat Islam, punca kejatuhan dan sebab kemenangan , kesemuanya itu ada tercatat di dalam sejarah untuk kita kaji dan telusuri agar tidak kita terjatuh ke dalam lubang yang sama berulang kali.

Maka kita harus meningkatkan pembacaan tentang sejarah penjajahan Palestin daripada sumber yang telus dan benar. “Mereka yang melupai sejarah akan mengulanginya” (George Santayana – Ahli falsafah)

2.SEBARKAN INFORMASI YANG BENAR

Semak kesahihan dan sampaikan informasi yang benar melalui segala platform media sosial atau di dalam perbualan harian. Seru seluruh ahli keluarga, rakan sekerja, jiran tetangga dan seluruh masyarakat disekeliling untuk memahami dan bersama menghayati pengorbanan saudara-saudara kita di P4lestin. Seterusnya bertindak berganding bahu untuk turut membantu dengan apa jua cara.

عن النعمان بن بشير رضى الله عنهما قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : مثل المؤمنين فى توادهم وتراحمهم وتعاطفهم مثل الجسد اذا اشتكى منه عضو تداعى له سائر الجسد بالسهر والحمى

(رواه البخاري ومسلم)

Dari Nu’man bin Basyir RA, dia berkata , Rasulullah SAW telah bersabda,” Perumpamaan orang-orang beriman di dalam kasih sayangnya di antara mereka seperti satu jasad, apabila salah satu anggotanya sakit, maka seluruh jasadnya  tidak dapat tidur dan demam. (Diriwayatkan oleh Bukhari  dan Muslim)

Umat Islam semuanya adalah satu, tidak terpisah disebabkan oleh sempadan bangsa dan negara.

Akan tetapi harus diingat, usah habiskan terlalu banyak masa untuk mengikuti setiap berita peperangan sehingga tiada masa untuk melakukan sebarang tindakan.

3.DOA DAN PELIHARA DIRI DARI DOSA

Kekuatan umat Islam adalah pada kuatnya hubungan mereka dengan Allah.

Nabi S.A.W bersabda:

الدُّعَاءُ سِلاحُ الْمُؤْمِنِ، وَعِمَادُ الدِّينِ، وَنُورُ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ

“Doa adalah senjata orang beriman, tiang agama dan cahaya langit-langit dan bumi”

(Hadis Riwayat Hakim)

Sesungguhnya doa adalah senjata terampuh, tiada siapa yang boleh menghalang kita berdoa walau dimana kita berada. Berdoalah dengan sepenuh keyakinan bahawa janji Allah itu pasti, kemenangan pasti di tangan Islam.

Seterusnya, bertaqwalah kita kepada Allah, tingkatkan kualiti ibadah dan hindarkan diri daripada dosa-dosa dan maksiat yang boleh melambatkan kemenangan Islam.

Khalifah Umar al-Khattab RA menuliskan surat kepada Sa’ad bin Abi Waqqas yang merupakan panglima perang umat Islam ketika menakluk Parsi dalam perang Al-Qadisiyyah :

Petikan daripada surat Khalifah Umar RA : “Saya menyeru kepada engkau dan orang yang bersama kamu dari angkatan tentera supaya bertakwa dalam setiap masa. Ketakwaan kepada Allah adalah sebaik-baik persiapan untuk menentang musuh dan satu kekuatan dalam peperangan.

Saya menyeru kepada kamu dan orang yang bersama kamu supaya sentiasa menjaga diri daripada melakukan maksiat dari maksiat yang dilakukan oleh musuh-musuh kamu. Sesungguhnya dosa-dosa tentera kamu lebih aku takuti dari dosa-dosa musuh kamu…”

Taqwa adalah kekuatan dan dosa adalah penghalang mencapai kemenangan.

4.INFAQ HARTA DI JALAN ALLAH

Suasana infaq ini tidak asing lagi bagi Rasulullah SAW dan Para Sahabat RA dalam kisah-kisah peperangan menegakkan kalimah Allah. Para Sahabat RA sentiasa berlumba-lumba menyerahkan harta  mereka ke Jalan Allah tanpa ragu walaupun dengan jumlah harta yang sangat banyak. Firman Allah :

لَّا يَسۡتَوِي ٱلۡقَٰعِدُونَ مِنَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ غَيۡرُ أُوْلِي ٱلضَّرَرِ وَٱلۡمُجَٰهِدُونَ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ بِأَمۡوَٰلِهِمۡ وَأَنفُسِهِمۡۚ فَضَّلَ ٱللَّهُ ٱلۡمُجَٰهِدِينَ بِأَمۡوَٰلِهِمۡ وَأَنفُسِهِمۡ عَلَى ٱلۡقَٰعِدِينَ دَرَجَةٗۚ وَكُلّٗا وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلۡحُسۡنَىٰۚ وَفَضَّلَ ٱللَّهُ ٱلۡمُجَٰهِدِينَ عَلَى ٱلۡقَٰعِدِينَ أَجۡرًا عَظِيمٗا

“Tidaklah sama keadaan orang-orang yang duduk (tidak turut berperang) dari kalangan orang-orang yang beriman – selain daripada orang-orang yang ada keuzuran – dengan orang-orang yang berjihad (berjuang) pada jalan Allah (untuk membela Islam) dengan harta dan jiwanya. Allah melebihkan orang-orang yang berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka atas orang-orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang kerana uzur) dengan kelebihan satu darjat. Dan tiap-tiap satu (dari dua golongan itu) Allah menjanjikan dengan balasan yang baik (Syurga), dan Allah melebihkan orang-orang yang berjuang atas orang-orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang dan tidak ada sesuatu uzur) dengan pahala yang amat besar.” [Surah An-Nisaʾ: 95]

Sungguh besar ganjaran dan kelebihan yang dijanjikan buat mereka yang menginfakkan harta dijalan Allah.

5.KUKUHKAN KESATUAN, JAUHI PERSELISIHAN.

Sebatang lidi amat mudah dipatahkan jika dibandingkan dengan segenggam lidi. Begitulah ibarat kekuatan umat Islam yang bersatu atas dasar akidah dan matlamat yang satu. Perselisihan atas perkara khilaf akan menganggu tujuan dan membuka jalan-jalan syaitan dan musuh untuk mematahkan Islam.

إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلَّذِينَ يُقَٰتِلُونَ فِي سَبِيلِهِۦ صَفّٗا كَأَنَّهُم بُنۡيَٰنٞ مَّرۡصُوص

“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh”. [Surah Aṣ-Ṣaff: 4]

Maka tanggungjawab di atas bahu-bahu kita untuk kukuhkan kembali kefahaman dan kesatuan umat ini agar dapat mengakhiri penjajahan zi0ni$ terhadap tanah barakah P4lestin tercinta.

Setiap kita bertanggungjawab ke atas kesucian Masjid al Aqsa dan kemerdekaan bumi Palestin keseluruhannya. Bertindaklah menggunakan setiap kemampuan yg ada, bantulah mereka dgn wang, tenaga, ilmu dan segala yg kita ada. Salurkan kemahiran masing-masing untuk sama-sama melakar sejarah pembebasan dan kemenangan Islam yang dijanjikan, Insya Allah.

Semoga apa jua bentuk sumbangan yang kita usahakan, Allah ganjari dengan ganjaran para pejuang agama-Nya dan menjadi hujah buat kita berlepas diri saat disoal di akhirat kelak.  Apakah tindakan yang anda telah lakukan saat tanah dan saudara seislam anda ditindas?

Ustazah Zainab Husna bt Hussen

Penyelidik Majlis Ulama Isma (MUIS)

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts