PUTRAJAYA – Dataran Putrajaya bergema dengan zikir munajat untuk Baitulmuqaddis oleh kira-kira 50,000 umat Islam yang hadir dalam Himpunan Munajat Aqsaku, di sini pada Sabtu.
Himpunan yang diadakan sempena Festival MyAQSA itu bermula dengan Solat Maghrib yang diimamkan Imam Masjidil Aqsa, Palestin, Syeikh Khalid Mahmoud Ahmad Shrateh, diikuti beberapa sesi kuliah agama, zikir munajat serta persembahan nasyid.
Walaupun hujan lebat mula mencurah-curah pada jam 9 malam, hadirin tetap tidak berganjak bagi menunjukkan solidariti bersama Palestin.
Kemuncak himpunan itu adalah sesi pidato oleh ulama dari luar negara iaitu Syaikh Dr Muthanna adh-Dhari (Iraq), Syaikh Dr Muhammad ad-Daduu (Mauritania), dan Dr Sayyid Salman al-Husaini an-Nadwi (India).
Majlis diakhiri dengan pidato perdana oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Naib Presiden Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta tokoh-tokoh ulama dunia.Jamil Khir dalam ucapannya berkata, himpunan itu adalah manifestasi kemuncak semangat umat Islam Malaysia dalam menyatakan dukungan kepada perjuangan membebaskan bumi Palestin.
“Malam ini kita mengetepikan perbezaan dalam kalangan kita, tanpa mengira perbezaan pandangan politik, malam ini kita berhimpun dalam solidariti menyokong perjuangan Palestin.
“Mudah-mudahan perhimpunan malam ini memberi lonjakan bagi perjuangan intifada umat Islam Palestin yang seterusnya membebaskan kota yang menjadi kemuliaan umat Islam itu dari tangan Zionis” kata Jamil Khir.
Selain himpunan itu, pelbagai acara lain turut dianjurkan sempena Festival MyAQSA, antaranya Persidangan Meja Bulat Ulama Islam Sedunia Mengenai Baitulmuqaddis yang dihadiri lebih 100 ulama dari 30 negara.
Selain itu, Ekspo Aqsaku turut diadakan dengan pelbagai aktiviti antaranya Program Solidariti Selebriti Bersama Aqsaku; maskot Didi, Ultraman, Upin dan Ipin Bersama Perjuangan Aqsaku; pameran misi kemanusiaan oleh NGO; serta jualan amal dan cenderahati.
Festival MyAQSA berlangsung selama tiga hari bermula semalam anjuran Yayasan MyAQSA dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). – Bernama
www.indahnyaislam.my
Sertai kempen Malaysia Subuh Berjemaah Bebaskan Al-Aqsa: bit.ly/subuhaqsa
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)