90 OKU cacat penglihatan khatam al-Quran

KUALA LUMPUR – Golongan orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan tidak mensia-siakan sambutan Nuzul al-Quran dengan mengadakan majlis khatam al-Quran beramai-ramai di Kompleks Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) Brickfields pada Sabtu baru-baru ini.

Seramai 90 peserta menyertai majlis berkenaan yang dipimpin oleh golongan cacat penglihatan sendiri menggunakan al-Quran braille.

Ia merupakan salah satu pengisian Program Ihya Ramadan OKU Penglihatan anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dengan kerjasama Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) serta MAB.

Jawi dalam satu kenyataan memaklumkan, agensi berkenaan giat menjalankan program kefahaman Islam dan pengajian asas fardu ain kepada golongan OKU penglihatan dan pendengaran secara berkala.

Menurutnya, usaha tersebut bagi memastikan golongan istimewa berkenaan tidak tercicir daripada mendapat bimbingan untuk mendalami ajaran Islam.

“Sejumlah 18 siri Kelas Bimbingan Al-Quran dan Fardu Ain kepada OKU Pendengaran dan Penglihatan telah dijadualkan bagi tahun 2023.

“Selain itu, bantuan Jawi Food Bank turut disediakan bagi meringankan bebanan kos sara hidup golongan OKU, ” katanya pada Sabtu.

Ujarnya, inisiatif berkenaan selaras dengan prinsip ihsan yang bermatlamat untuk menyantuni semua golongan terutama menunaikan hak golongan minoriti seperti OKU untuk mendapatkan pengetahuan agama.

Selain khatam al-Quran, program turut diserikan dengan pengisian Forum Perdana Bicara Al-Quran, iftar serta solat tarawih berjemaah.- Sinar Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts