Sultan Selangor titah tangani segera liberalisme dan LGBT

 

KLANG – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa bimbang dengan pelbagai ancaman yang boleh mencemarkan kesucian dan kemuliaan agama Islam serta melemahkan umatnya khususnya di negeri ini dan juga negara.

Sultan Sharafuddin bertitah bahawa baginda dimaklumkan, terdapat 45 golongan ajaran sesat dan menyeleweng difatwakan oleh Jabatan Mufti Selangor sehingga Disember lepas.

Titah baginda, fahaman liberalisme yang memperjuangkan hak kesamarataan sehingga membawa budaya LGBT perlu ditangani segera dan berkesan supaya ia tidak menjadi satu ikutan serta trend yang pastinya akan merosakkan masyarakat Islam di negara ini.

“Penularan dan merebaknya ajaran-ajaran ini bukan suatu perkara kecil dan boleh diambil ringan. Apa yang lebih membimbangkan beta, sebahagian daripada mereka mengambil pendekatan ekstrem yang boleh menggugat keselamatan negara.

“Ancaman-ancaman sebegini adalah api dalam sekam yang sedang memusnahkan Islam dan pengikutnya dari dalam,” titah baginda pada Istiadat Pengurniaan Watikah Pelantikan Nazir dan Imam Masjid-masjid di Selangor, di Balairung Seri, Istana Alam Shah, di sini semalam.

Turut berangkat ke istiadat berkenaan adalah Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah serta kerabat baginda.

Hadir sama adalah Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari serta pembesar negeri.

Justeru, bagi mengatasi ancaman seumpama itu, baginda menitahkan agar pengajian akidah berteraskan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah perlu diajar dan dipertingkatkan di masjid-masjid supaya ia terus menjadi asas pegangan kepada umat Islam di negara ini.

Sultan Sharafuddin turut mengingatkan Nazir, imam mahupun jawatankuasa masjid supaya hanya memanggil penceramah yang ditauliahkan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) untuk menyampaikan ceramah di masjid mahupun surau.

“Bagi penceramah luar negara pula seperti yang pernah beta titahkan pada pada 21 Ogos 2015, mereka hanya dibenarkan menyampaikan ceramah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (masjid negeri), Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong dan Masjid Sultan Suleiman Klang, itupun setelah tauliah khas diperolehi dari MAIS,” titah baginda.

Dalam pada itu, baginda turut menzahirkan rasa amat risau dengan perpecahan yang berlaku dalam kalangan umat Islam di Selangor kerana disebabkan perbezaan pegangan politik.

Sultan Sharafuddin menegaskan supaya semua anggota politik khususnya wakil rakyat sama ada peringkat negeri mahupun Parlimen, daripada parti kerajaan ataupun pembangkang, tidak dibenarkan berceramah serta berucap di dalam masjid serta surau.

Ini kerana baginda mahu semua masjid dan surau bebas daripada sebarang aktiviti politik kepartian bagi mengelakkan ia yang sepatutnya menjadi medan penyatuan ummah bertukar kepada medan perpecahan hanya kerana perbezaan ideologi politik masing-masing.

“Beta juga tidak mengizinkan sebarang bentuk fitnah dan penyebaran berita palsu berlaku kerana ia boleh mengaibkan individu tertentu. Berita atau maklumat yang diterima perlulah disemak dahulu dan dipastikan kebenarannya.

“Jangan menjadi agen yang merosakkan kehidupan masyarakat dengan terbabit menyebarkan berita palsu dan fitnah. Islam jelas melarang umatnya untuk menyebar berita palsu dan memfitnah antara satu sama lain,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin turut menasihatkan semua pihak supaya menjadikan masjid sebagai tempat yang paling dihormati dan asas membina kerukunan hidup bermasyarakat, selain mengingatkan pentadbir masjid supaya berusaha bersungguh-sungguh untuk menggerakkan fungsi institusi itu sebagai tempat ibadah umat Islam yang selesa dan medan penyatuan ummah.

Sultan Selangor juga amat mengharapkan agar institusi masjid dapat ditadbir serta diurus dengan profesional serta penuh keikhlasan tanpa mencampur-adukan agenda kepentingan diri sendiri.

Titah Sultan Sharafuddin, Nazir, imam dan anggota jawatankuasa masjid perlu sentiasa mematuhi Enakmen, Peraturan-Peraturan Masjid Dan Surau (Negeri Selangor) Tahun 2017, Garis Panduan serta Pekeliling dan Arahan yang dikeluarkan MAIS dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dari semasa ke semasa.

“Beta tegaskan agar semua masjid dan surau yang melakukan solat Jumaat hendaklah membaca teka khutbah yang dikeluarkan MAIS melalui Jawatankuasa Khutbah Negeri Selangor.

“Beta tidak berkenan sekiranya terdapat dalam kalangan imam masjid dan surau solat Jumaat tidak membaca atau menambah kandungan teks khutbah yang disediakan oleh jawatankuasa berkenaan,” titah baginda.

Sehubungan itu, Sultan Selangor menyarankan semua Nazir, imam dan anggota jawatankuasa masjid supaya memahami hasrat dan inspirasi MAIS dalam hal berkaitan pengurusan institusi berkenaan.

Titah baginda, ia adalah bagi menjadi benteng terakhir dalam menangani kemelut perpecahan sesama umat Islam yang mana pentadbir masjid perlu kreatif serta dinamik dalam menggerakkan aktiviti membina hubungan kemasyarakatan secara lebih berkesan.

“Peluang berkhidmat di institusi masjid yang dikurniakan oleh Allah kepada para Nazir dan imam sekelian perlulah digunakan sebaik mungkin untuk membantu MAIS dan JAIS membimbing anggota kariah.

“Tugas dan tanggungjawab serta kepercayaan yang diberi oleh MAIS dan anggota kariah adalah merupakan amanah besar daripada Allah,” titah baginda.

Pada istiadat berkenaan, Sultan Sharafuddin berkenan mengurniakan watikah pelantikan kepada 827 orang Nazir dan imam dari masjid seluruh Selangor dan seramai 1,215 orang Nazir dan imam masjid layak ditauliahkan bagi sesi 2019 hingga 2021. – Bernama

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
1 comment
  1. Titah baginda amat tepat kerana kasih baginda kepada rakyat. Perpecahan ummah akhirnya merugikan semua pihak

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts