Hadith-hadith berkaitan kelebihan guru dan feqahnya

guru

 

Mukadimah

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Irsyad al-Hadith pada kali ini akan membincangkan berkaitan hadith-hadith yang menceritakan akan kelebihan guru dan juga apa yang berkaitan dengannya. Ini kerana, hari ini merupakan hari yang begitu bermakna buat para pendidik di seluruh Malaysia kerana pada hari ini bersamaan 16 Mei seluruh rakyat Malaysia akan menyambut hari guru.

Definisi Guru

Perkataan guru atau pendidik di dalam bahasa arab dinamakan al-Mu’allim (المُعَلِّم). Di dalam Lisan al-‘Arab, perkataan al-Mu’allim berasal daripada ilmu (العلم) atau fe’elnya iaitu (عَلِمَ). Ilmu adalah lawan bagi kejahilan dan orang yang berilmu digelar sebagai ulama’. Menurut kamus dewan, guru bermaksud orang yang mengajar, mendidik atau mengasuh. Pendidik atau guru di dalam Islam ialah sesiapa sahaja yang bertanggungjawab terhadap perkembangan anak didiknya. Dalam Islam juga, orang yang paling utama atau bertanggungjawab dalam mendidik adalah ibubapa. Untuk itu, ibubapa adalah pendidik yang utama dan juga yang pertama dalam diri seorang insan itu. Berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَا مِنْ مَوْلُودٍ إِلَّا يُولَدُ عَلَى الفِطْرَةِ، فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ، أو يُنَصِّرَانِهِ، أَوْ يُمَجِّسَانِهِ

Maksudnya: “Tidaklah dilahirkan seorang anak itu melainkan dia lahir dalam keadaan fitrah. Maka kedua ibubapanya yang bertanggugjawab meyahudikannya atau menasranikannya atau memajusikannya”. [Riwayat Muslim, no. Hadith 4805]

Hadith-Hadith Berkaitan Kelebihan Guru

Antara hadith-hadith yang diriwayatkan bertaraf sahih atau hasan berkenaan kelebihan guru atau pendidik adalah:

• Diriwayatkan oleh Abu Darda’ RA, bahawa Nabi SAW:

وَإِنَّ فَضْلَ العَالِمِ عَلَى العَابِدِ كَفَضْلِ القَمَرِ لَيْلَةَ البَدْرِ عَلَى سَائِرِ الكَوَاكِبِ

Maksudnya: “Sesungguhnya kelebihan orang yang alim dibanding dengan ahli ibadah adalah seperti bulan pada malam purnama atas seluruh bintang-bintang”. [Riwayat Abu Daud, no. Hadith 3157]

• Diriwayatkan oleh Abu Darda’ RA, bahawa Rasulullah SAW:

وَإِنَّ العُلَمَاءَ وَرَثَةُ الأَنْبِيَاءِ ، وَإِنَّ الأَنْبِيَاءَ ، لَمْ يُوَرِّثوا دِيْنَارًا ، وَلَا دِرْهَمًا ، إِنَّمَا وَرّثوا العِلْمَ ، فَمَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya ulama’ adalah pewaris para nabi.
Sungguhpun para nabi tidak mewariskan dinar atau dirham tetapi mereka telah mewariskan ilmu. Barangsiapa yang mengambil warisan tersebut maka dia telah mengambil bahagian yang banyak.”. [Riwayat Abu Daud, no. Hadith 3157]

• Diriwayatkan oleh Abu Umamah RA, bahawa Nabi SAW:

فَضْلُ العَالِمِ عَلَى العَابِدِ كَفَضْلِيْ عَلَى أَدْنَاكُمْ

Maksudnya: “Kelebihan orang yang alim dibanding dengan ahli ibadah adalah seperti kelebihanku atas orang yang paling rendah di antara kamu semua”. [Riwayat al-Tirmizi, no. Hadith 2609]

• Diriwayatkan oleh Abu Umamah RA, bahawa Rasulullah SAW:

إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكتَهُ وَأَهْلَ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ حَتَّى النَّمْلَةَ فِيْ جُحْرِهَا وَحَتَّى الحُوْتَ لَيُصَلُّوْنَ عَلَى مُعَلِّمِ النَّاسِ الخَيْرَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT, para Malaikat dan semua penduduk di langit dan di bumi, sehinggakan semut di sarangnya dan ikan (di lautan) pasti berselawat (mendoakan) kebaikan bagi orang yang mengajarkan kebaikan kepada manusia”. [Riwayat al-Tirmizi, no. Hadith 2609]

• Diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

أَلاَ إِنَّ الدُّنْيَا مَلْعُونَةٌ مَلْعُونٌ مَا فِيهَا إِلاَّ ذِكْرُ اللَّهِ وَمَا وَالاَهُ وَعَالِمٌ أَوْ مُتَعَلِّمٌ

Maksudnya: “Ketahuilah ! sesungguhnya dunia dan segala isinya adalah dilaknat kecuali dengan berzikir kepada Allah SWT dan apa yang terlibat dengannya, serta orang yang alim (tahu) atau orang yang belajar”. [Riwayat al-Tirmizi, no. Hadith 2244]

• Diriwayatkan oleh Muaz bin Anas RA, bahawa Rsulullah SAW:

مَنْ عَلَّمَ عِلْمًا فَلَهُ أَجْرُ مَنْ عَمِلَ بِهِ لَا يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِ العَامِلِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang mengajarkan sesuatu ilmu maka dia akan mendapat pahala orang yang mengamalkannya tanpa mengurangi pahala orang yang mengamalkannya sedikitpun”. [Riwayat Ibn Majah, no. Hadith 236]

Feqah al-Hadith

Berdasarkan hadith-hadith yang kami nyatakan di atas, terdapat beberapa fiqh al-Hadith atau pengajaran daripada hadith iaitu:

• Guru adalah seorang insan yang mulia dan tinggi kedudukannya.

• Tugas guru atau mendidik adalah satu tugas yang mulia kerana ia juga adalah tugas para nabi dan rasul.

• Di dalam al-Quran dan juga hadih Nabi SAW banyak menceritakan akan galakan untuk menuntut ilmu dan salah satu wasilah atau caranya adalah dengan berguru.

• Para guru dan pendidik akan mendapat pahala yang besar dengan setiap ilmu yang diajarkannya.

• Kesemua makhluk Allah SWT samada di langit atau di bumi sentiasa mendoakan kebaikan kepada para guru dan pendidik.

• Mendidik atau mengajar akan terselamat dan bebas daripada laknat Allah SWT.

• Setiap yang diajar itu akan mendapatkan pahala sama seperti pahala orang yang beramal dengan apa yang telah diajarkannya itu.

Kriteria-Kriteria Seorang Guru

Antara ciri-ciri atau sifat-sifat yang perlu ada dalam diri setiap insan yang bergelar guru atau pendidik adalah:

• Perlu ikhlas dan jujur dalam setiap perkara yang disampaikan.

• Mestilah bersifat penyayang terhadap setiap anak didiknya.

• Menjadikan Rasulullah SAWsebagai qudwah atau ikutan.

• Hendaklah mengikut tahap yang sesuai dengan umur dan akal pelajar dengan ilmu yang disampaikan.

• Bersabar dalam setiap perkara.

• Bersifat adil dan tidak mengamalkan sikap pilih kasih.

• Amanah dan memberi komitmen dalam setiap tugas yang diberikan.

• Membuat persediaan yang secukupnya sebelum memulakan pengajaran.

• Berketrampilan menarik dan kemas.

• Sentiasa mendoakan kebaikan buat anak-anak didiknya.

Penutup

Kesimpulannya, marilah sama-sama pada hari yang penuh bermakna ini, kita mengucapkan terima kasih kepada guru-guru yang telah banyak berjasa kepada kita. Ini kerana, Allah SWT kerana telah mengangkat martabat seorang guru dan pendidik yang benar-benar ikhlas menyampai ilmu dengan kedudukan yang tinggi. Oleh itu, para guru dan pendidik perlulah melaksanakan tugas yang mulia ini dengan penuh ikhlas dan amanah sesuai dengan kemulian yang diberikan oleh Islam. Dikatakan oleh Imam Al-Mawardi di dalam Kitabnya:

وَمِنْ آدَابِهِمْ: أَنْ يَقْصِدُوا وَجْهَ اللَّهِ بِتَعْلِيمِ مَنْ عَلَّمُوا وَيَطْلُبُوا ثَوَابَهُ بِإِرْشَادِ مَنْ أَرْشَدُوا، مِنْ غَيْرِ أَنْ يَعْتَاضُوا عَلَيْهِ عِوَضًا، وَلَا يَلْتَمِسُوا عَلَيْهِ رِزْقًا

Maksudnya: “Antara adab-adab mereka (guru) adalah menjadikan matlamat mendapat keredhaan Allah dengan mengajar sesiapa yang mereka ajar, mengharapkan ganjaran Allah SWT dengan memberi tujuk ajar kepada mereka yang diberi tunjuk ajar tanpa mengharapkan gantian dan mengharapkan rezeki daripadanya”. [Lihat: Adab dunia dan agama, 83]

Akhir kata, semoga Allah SWT memberi kesihatan dan kekuatan kepada para guru dan mengampunkan dosa-dosa kepada mereka yang telah pergi. Di kesempatan ini, kami ingin mengucapkan selamat hari guru kepada semua guru dan pendidik di seluruh Malaysia. Seterusnya, semoga dengan segala ilmu yang dicurahkan itu mendapat ganjaran di sisi Allah SWT serta dibalas dengan syurga di akhirat kelak. Amin.

Wallahua’lam

Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan

Sumber: https://www.facebook.com/drzulmuftiwp

Total
0
Shares
1 comment
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts