KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyambut baik titah Yang di-Pertuan Agong Al- Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mengingatkan rakyat agar tidak mempersendakan agama Islam.
Dr Mahathir berkata, titah ucapan Yang di-Pertuan Agong menyentuh semua aspek terutamanya bersatu padu dan juga soal agama Islam.
“Agong menitahkan agar rakyat di negara ini tidak mempersendakan agama Islam, tidak salah tafsir tentang agama dan memahami ajaran dan fahaman agama lain dengan lebih baik.
“Keseluruhan teks titah baginda amat komprehensif, malah turut menyentuh hal ehwal ekonomi,” katanya ketika ditemui media selepas Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-14, di sini semalam.
Terdahulu, Agong dalam ucapannya menitahkan bahawa, baginda percaya kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan yang perlu difahami sedalam-dalamnya oleh setiap warganegara tanpa mengira bangsa dan agama.
“Islam bukan sekadar sebuah agama yang eksklusif untuk kumpulan tertentu,malah ia merupakan cara hidup yang universal dan membawa rahmat buat sekalian alam.
“Beta Amat menyokong usaha kerajaan untuk mempromosikan nilai dan budaya Islam melalui pendekatan Rahmatan lil-alamin dan maqasid syariah berdasarkan ajaran Islam yang sebenar yang diterjemahkan melalui tingkah laku dan keperibadian unggul rakyat Malaysia dan seterusnya menjadi model Malaysia iaitu model negara Islam berbilang kaum yang boleh dicontohi dunia luar.
“Dalam memperkukuh ajaran Islam di negara ini, agama-agama lain perlu dihormati dan keharmonian dan kesejahteraan hidup kita semua,” titahnya. – Sinar Harian
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)