KOTA BHARU – Seorang pelajar Cina bukan sahaja mampu menguasai bahasa Arab kurang dua tahun malah memperoleh keputusan mumtaz dalam peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) kali ini.
Badruddin Wang Yin Lang, 22, yang juga pelajar Sekolah Menengah Agama Arab Tarbiah Mardhiah, Panchor mendapat pangkat lapan mumtaz dan masing-masing satu jayyid jiddan serta jayyid dalam 10 mata pelajaran yang diambil.
Katanya, minat untuk mempelajari bahasa ini timbul selepas merasa ingin tahu setiap makna ayat al-Quran ketika menunaikan solat, malah, menariknya lagi, dia turut berasa kagum ketika melihat mantan Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat menonton televisyen bahasa Arab tanpa sari kata.
Badruddin yang juga anak angkat Allahyarham sejak berusia lapan bulan berkata, sejak itu dia menanam cita-cita untuk mempelajari bahasa Arab selepas tamat SPM di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chung Hwa, Kota Bharu.
“Ia juga atas hasrat ibu bapa yang berasal dari Yunan, China yang berharap saya melanjutkan pelajaran di salah sebuah pondok agama di republik itu. Di sana, saya belajar erti berdikari dan disiplin, walaupun agak mencabar tapi syukur sebab saya dapat menguasai bahasa ke empat, dalam masa yang singkat,” katanya yang berharap dapat melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya dalam jurusan syariah atau pengajian bahasa Arab.
Sementara itu, Nik Omar Nik Abd Aziz berkata, kejayaan Badruddin akan memberi semangat kepada pelajar lain untuk mencapai kecemerlangan di masa depan.
Ini kerana katanya, dedikasi Badruddin menunjukkan dia mampu mencipta kejayaan meskipun dalam masa yang terhad.
“Badruddin boleh dijadikan contoh kerana beliau mempunyai asal keturunan negara tanah besar, hidup dalam budaya Cina, bersekolah di sekolah jenis kebangsaan Cina namun masih mampu meraih kecemerlangan dalam STAM,” katanya. – kampusuols.com
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)
Subhanallah.. Alhamdulillah.. Allahuakbar..