Makcik Norlianti. Inilah isteri Pakcik Sinang. Satu lagi kisah kehidupan hebat yang menginsafkan buat diri saya.
Anak jati Kampung Kelid, Dalat. Bertemu jodoh dengan Pakcik Sinang dalam industri pembalakan. Beliau bertugas sebagai tukang masak, manakala Pakcik Sinang pula sebagai tukang potong kayu. Takdir Allah sungguh cantik. Perkahwinan ini menjadi pintu baginya memeluk agama Islam.
Peribadinya seorang yang ceria. Ketika ceramah kesihatan, suasana sentiasa ceria disebabkan celotehnya menjawab soalan penceramah.
Di kampung ini, sekiranya seseorang meninggal dunia, urusan jenazahnya tidak dapat dilakukan dengan serta merta. Jenazah perlu dibawa menaiki bot jauh ke tempat lain, minimum sejam perjalanan. Hal ini kerana tiada kemudahan untuk mengurus jenazah. Tanah perkuburan pun tiada.
Hal ini berubah kerana sensiviti wanita ini terhadap keperluan masyarakat Islam di sini.
Beliau telah mewakafkan tanah 2 ekar miliknya untuk dibinanya surau. Inilah satu-satunya surau di sepanjang sungai ini. Surau Amal At-Taqwa, Kampung Kelid, Dalat. Bersebelahan dengan surau tersebut, diperuntukkan sebidang tanah untuk perkuburan orang Islam.
Betapa besarnya ganjaran pahala beliau.
Seluruh ahli keluarganya juga terlibat sekali. Suaminya dan anaknya menyelesaikan urusan dengan pejabat tanah, pembelian dan persediaan bahan binaan. Anaknya kini merupakan pengerusi AJK surau tersebut.
Malah, setiap kali ada majlis masyarakat di surau, beliau dan ahli keluargalah yang menguruskan semua keperluan. Beliau menggunakan botnya sendiri untuk kegunaan kami sepanjang keberadaan kami di sana. Kami tidak pernah lapar di sana. Beliau dan masyarakat wanita kampung memasak bersama-sama dan menjamu kami dengan hidangan istimewa. Semua bahan masakan adalah organik. Sayur rebung, midin, udang, jagung, cucur udang. Semuanya fresh!
Begitulah sedikit sebanyak pengajaran kehidupan sepanjang interaksi kami pada misi perubatan yang lepas.
#WU
Afiq Syazwan
Penulis adalah sukarelawan Misi Bantuan Banjir Sarawak yang dianjurkan oleh I-Medik, Yayasan Ikhlas dan Hikmah Sarawak.
Sumber: http://www.ismaweb.net/2016/05/wanita-hebat-sarawak-kisah-hidupnya-menginsafkan-saya/