Hukuman adalah rahmah kepada pendosa: Timbalan Mufti Perak

 

SIKAP mematuhi arahan Allah SWT itu berbeza-beza di antara satu sama lain. Ada di kalangan hamba-hambanya mudah patuh kepada segala arahanNya sekadar mendengar ayat-ayat al-Quran mahupun hadith-hadith Rasulillah SAW.

Ada pula di kalangan hambaNya memerlukan perdebatan, berhujah dan perbincangan, barulah mereka taat perintah Allah. Namun ada di kalangan hamba-hambaNya yang bukan sekadar engkar terhadap arahan Allah SWT, bahkan bersikap terang-terangan melanggar perintah Allah.

Ada perkara yang dilanggarnya itu memberi kesan kepada orang lain ataupun masyarakat sekelilingnya. Maka untuk mengembalikannya kepada kepatuhan kepada Allah SWT, ia memerlukan penguatkuasaan undang-undang.

Sebagai seorang Muslim, tanda kasih sayang kita kepada saudara muslim kita ialah mengembalikannya kepada Allah dan jalan kebenaran. Cuma caranya berbeza-beza.

Walaupun perkataan yang digunakan seperti hukuman dan penguatkuasaan itu seolah-seolah membawa makna seperti menyekat kebebasan namun hakikatnya ia mengandungi sifat rahmah dan kasih sayang.

Kasih sayang dan rahmah kepada pelakunya. Pelaku maksiat dan kemungkaran perlu dikembalikan kepada jalan kebenaran. Membenarkan ia berterusan melakukan kemaksiatan adalah satu kezaliman kepada dirinya.

Para pendakwah akan terus berdakwah kerana pendakwah tiada wewenang untuk menjatuhkan hukuman ataupun menguatkuasakan undang-undang namun kerajaan dan agensinya mesti menggunakan wewenang yang ada untuk melakukan penguatkuasaan dan menjatuhkan hukuman kepada pelaku-pelakunya yang degil selepas didakwahkan. Sudah tentu bilangan mereka sedikit.

Bukankah Rasulullah SAW bersabda daripada Anas bin Malik RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: Maksudnya: “Bantulah saudaramu yang zalim dan juga yang dizalimi”. (HR al Bukhari)

Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Muslim daripada Jabir bin Abdillah, beliau berkata: Telah bergaduh atau berkelahi dua orang budak. Seorang daripada al-Muhajirin dan seorang lagi daripada al-Ansar. Telah berkata budak daripada al-Muhajirin: “Pembelaan untuk Muhajirin”, manakala telah berkata budak daripada al-Ansar: Pembelaan untuk al-Ansar”. Lalu Rasulullah SAW keluar dan bersabda: “Tidak, melainkan jika dua hamba ini memukul pada yang lain”. Rasulullah SAW bersabda lagi: “Tidak mengapa, bantulah saudaramu yang zalim dan juga yang dizalimi. Adapun yang zalim itu, bantulah dia dengan cara menegahnya dan yang dizalimi pula bantulah dia (daripada kezaliman)”. [Lihat: al-Luma’ fi Asbab Wurud al-Hadith, 121]

Sifat rahmah sebenar mempunyai cakupan yang luas melewati kasih sayang di dunia ini sahaja. Kasih sayang sebenar ialah merasa kesian jika saudara-saudara kita akan dimasukkan ke dalam neraka nanti.

Rahmah kita kepadanya ialah berusaha menghentikannya. Namun sikap penerimaan nasihat dan teguran berbeza-beza di antara satu sama lain. Maka ada di kalangan mereka terpaksa dihukum. Di dalam al-Quran pun ada ayat-ayat yang jelas difahami sebagai hukuman. Di dalam hadith sahih al-Bukhari, hukuman yang diterima di dunia jika disertai dengan taubat, ia akan menjadi penghapus dosa terhadapnya.

Telah menceritakan kepada kami Abu Al Yaman berkata, telah mengabarkan kepada kami Syu’aib dari Az-Zuhri berkata, telah mengabarkan kepada kami Abu Idris ‘Aidzullah bin Abdullah, bahwa ‘Ubadah bin Ash Shamit adalah sahabat yang ikut perang Badar dan juga salah seorang yang ikut bersumpah pada malam Aqobah, dia berkata: bahawa Rasulullah SAW bersabda ketika berada di tengah-tengah sebahagian sahabat:

“Berbai’atlah kau kepadaku untuk tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu apapun, tidak mencuri, tidak berzina, tidak membunuh anak-anak kamu, tidak membuat pembohongan yang kamu ada-adakan antara tangan dan kaki kamu, tidak bermaksiat dalam perkara yang ma’ruf. Barangsiapa di antara kamu yang memenuhinya maka pahalanya ada pada Allah dan barangsiapa yang melanggar dari hal tersebut lalu Allah menghukumnya di dunia maka itu adalah kafarat baginya, dan barangsiapa yang melanggar dari hal-hal tersebut kemudian Allah menutupinya (tidak menghukumnya di dunia) maka urusannya kembali kepada Allah, jika Dia mau, dimaafkannya atau diseksanya”. Maka kami membai’at Baginda untuk perkara-perkara tersebut.

Apabila konsep hukuman terhadap individu pendosa itu difahami maka kita tidak hanya melihat dakwah dan rahmah itu hanya menasihat, menegur dan membimbing sahaja bahkan hukuman juga adalah salah satu bentuk rahmah.

Ramadhan mengajar dan mendidik umat Islam untuk mentaati perintah Allah dengan penuh kerelaan dan menginsafi bahawa statusnya hanyalah hamba Allah di atas muka bumi ini. Allah tidak akan menghukum dengan hukuman dunia yang tercatat di dalam al Quran jika umat Islam terdidik untuk taat dan mematuhi segala arahan dan larangan Allah.

Sahibus Samahah Haji Zamri Hashim
Timbalan Mufti Perak

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts