Salah faham terhadap agenda umat punca tersalah pilih kumpulan

 

SALAH faham terhadap agenda umat menjadikan seseorang itu tersalah pilih kumpulan.

Agenda umat Islam ini adalah menegakkan agama di atas muka bumi ini. Ia akan tercapai apabila cukup syaratnya, iaitu apabila umat ini kuat dan hebat, dihormati dan digeruni, bersatu padu dan melaksanakan syariat Islam pada segenap kehidupan.

Ia adalah satu skrip skema yang dilalui dan difahami oleh mana-mana muslim yang prihatin terhadap agama yang dianutinya.

Namun apabila ia dikembalikan ke alam realiti, kefahaman buku teks jelas berbeza daripada apa yang dihadapi secara hakiki.

Dengan itu kita perlukan kayu ukur dan panduan, untuk memberitahu kita apa yang baik dan apa yang buruk, apa yang sepatutnya dan apa yang tidak, di dalam menyusun ‘puzzles’ yang bersepah-sepah ini dalam membentuk satu gambaran jelas seperti yang sepatutnya.

Lalu Al-Quran mengajar umat Islam bahawa:

1. Islam mesti memimpin dan dominan, bukan dipimpin.
2. Umat Islam mesti bersatupadu jika tidak mahu dipijak
3. Orang kafir takkan redha dengan pemerintahan Islam
4. Orang munafiq akan menjadi benteng pertahanan orang kafir dalam memerangi Islam
5. Kepelbagaian bangsa dan kaum adalah sunnatullah justeru ia perlu diurus, bukan dileburkan dan dihapuskan.

Dan seumpamanya.

Kesemuanya ini adalah khabaran langit yang nyata, ibarat ilmu dari alam ghaib (mungkin boleh dikatakan ibarat ‘quantum data’) yang Tuhan bawakan kepada kita, yang tidak mungkin kita akan memahaminya dengan kajian sains dan eksperimen yang bersifat empirikal. Apa yang digarap oleh manusia tanpa panduan Tuhan ibarat hanyalah setitis air berbanding sebesarnya lautan.

Berbalik kepada topik, kebiasaannya orang kita salah faham apabila ada serangan ditujukan kepada kumpulan kafir tertentu seolah-olah kita sedang menyerang ‘semua’ non-Muslim.

Apabila dilihat dengan ‘sudut pandang’ sedemikian, serangan yang ditujukan itu akhirnya ‘dilihat’ akan menjauhkan lagi orang kafir (secara keseluruhan) daripada Islam lalu ia dikecam oleh saudara seislam sendiri dengan pelbagai hujjah rahmat, Islam menolak rasisme, tiada nilai bangsa dalam Islam dan seumpamanya.

Ini adalah tanggapan yang silap, kerana:

Yang pertama:

Bencinya orang kafir kepada kita bukan kayu ukur Islam yang kita bawa adalah salah. Bahkan apabila kita dicintai oleh orang kafir dan pula dibenci oleh segolongan besar muslim yang sahih akidahnya, kitalah sebenarnya yang sedang bermasalah!

Yang kedua:

Memasukkan non Muslim ke dalam agama Islam adalah satu tugasan yang sangat mulia. Tetapi perjuangan menegakkan agenda Islam bukan itu sahaja. Mempertahankan tanah air, menjaga identiti wilayah Islam, menjaga kepentingan umat Islam daripada dibuli, memastikan bahawa kekuasaan di atas tangan umat Islam, itu adalah tanggungjawab yang lebih besar kerana ia berkait rapat dengan maslahah aammah, yang mana jika ia diabaikan maka keseluruhan umat Islam akan terancam.

Sepatutnya kedua-dua tugasan ini tidak bertembung, ia hanya dilihat bertembung pada perspektif manusia yang tidak faham tabiat setiap amal dalam kerja-kerja amal islami ini. Mereka yang berpemikiran dogmatik dan binari, yang melihat semua perkara dalam kerangka kepartian, biasanya akan termasuk dalam ‘pertembungan’ yang sempit ini.

Yang ketiga:

Serangan itu hanyalah ‘khusus’ dan ‘semata-mata’ kepada golongan yang biadap dan tidak menghormati perlembagaan dan asas-asas kenegaraan yang telah terbina sejak sekian lama, bersama dengan sejarah bangsa yang telah mendiaminya sejak beberapa kurun yang lalu, serta diijmakkan pula kepemilikannya kepada bumiputera dengan segala bukti sejarah yang ada.

Oleh itu sesiapa yang tidak terkena dengan ciri-ciri ini tidak terlibat.

Non muslim di tanah Melayu ini ada macam-macam kategori. Dari yang paling baik dan hampir nak masuk Islam, kepada yang paling jahat dan bercita-cita nak tukar identiti kenegaraan ini.

Setiap kategori ini berbeza cara layanannya. Bukan semua perlu diserang dan digasak, bukan semua juga perlu dikendong dan dilayan dengan ramah tamah dan sopan santun. Membakulkan kesemuanya pada satu bakul adalah satu kesalahan dan kenaifan.

Hikmah (kebijaksanaan) menuntut kita untuk berlaku adil (meletakkan sesuatu pada tempatnya) pada setiap kategori ini.

Ini yang saya perasan apabila ada rakan-rakan yang menyerang seruan-seruan mempertahankan hak Melayu dan kesatuan Melayu dengan mengatakan ia adalah rasis, tersepit dalam kepompong perkauman dan seumpamanya. Mereka seolah-olah memandang bahawa semua non Muslim adalah baik-baik belaka, tiada niat jahat, tiada agenda di sebalik tabir dan seumpamanya. Seolah-olah apa yang berlaku terhadap muslim di Uyghur, Myanmar, India dan Palestin cukup jauh daripada kita.

Hari ini geng mereka sendiri yang diserang dan dibaham oleh puak-puak yang tak hormat hak-hak bumiputera. Mungkin mereka akan mula sedar bahawa ada juga puak-puak yang kurang ajar dan berani mempertikaikan hak bumiputera yang sedia ada.

Mereka tidak sedar bahawa kita telah lama memahami hakikat perkara ini, dan kita telah pun melangkah lebih jauh dalam memahami hakikat pertembungan, bukan semata-mata pertembungan yang dicipta dan diada-adakan oleh pihak luar (kerangka demokrasi kepartian).

Pembahagian manusia yang baik dan buruk telah dinyatakan sejak 1400 tahun yang lalu, begitu juga siapa yang sepatutnya dibuat kawan dan siapa yang tidak sepatutnya, apakah tabiat pertembungan dan apakah pula jalan kemenangan.

Semua ini sudah terdapat dalam Al-Quran, hanya memerlukan hati yang jernih untuk difahami dan dihayati.

Masalah kita hari ini adalah, kita membaca realiti dalam perspektif yang dicipta oleh orang lain, lalu kita berjuang dalam medan perjuangan yang dicipta oleh orang lain, hingga akhirnya kita pula yang menjayakan agenda orang lain.

Sedar tidak sedar, rupa-rupanya kitalah yang menjadi punca kenapa agenda umat Islam ini, akhirnya tidak ke mana-mana, kerana kita sibuk dengan projek dan agenda orang lain.

Kembalilah kepada Al-Quran, kita akan kembali melihat realiti dengan kacamata rabbani, lalu kita akan mampu memilih untuk berjuang bersama pihak yang sepatutnya.

Wallahua’lam.

Ustaz Ahmad Syamil Md Esa

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts