TURKI – Presiden Recep Tayyip Erdogan berikrar untuk cuba memastikan kerajaan rejim Mesir dihadapkan ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) susulan kematian bekas Presiden Mesir, Mohamed Morsi, Isnin lalu.
“Mohamed Morsi jatuh di atas lantai di dalam mahkamah selama 20 minit dan pihak berkuasa tidak membantunya. Inilah sebab saya katakan Morsi tidak meninggal dunia, sebaliknya dia dibunuh,” katanya ketika perhimpunan penyokong pilihan raya Istanbul, semalam.
Kami, sebagai rakyat Turki akan mengikuti isu ini dan akan melakukan segala kemungkinan supaya Mesir dibicarakan di ICC atas kematian Morsi, katanya sambil menggesa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengambil tindakan.
Beliau berkata demikian sehari selepas menyifatkan Morsi sebagai ‘syahid’, dan tidak percaya bekas presiden pertama yang dipilih secara demokrasi dalam sejarah Mesir, itu meninggal dunia disebabkan punca biasa.
Morsi, antara pemimpin kanan Ikhwanul Muslimin, sebuah pergerakan yang kini diharamkan rejim Abdel Fattah el-Sisi, meninggal dunia Isnin lalu selepas rebah di dalam mahkamah ketika sedang dibicarakan.
Pemimpin berusia 67 tahun itu, ditahan di penjara sejak el-Sisi yang dilantiknya sebagai menteri pertahanan merampas kuasa pada 2013, selepas hampir setahun menduduki kerusi presiden.
Parti Erdogan – AKP Party – adalah penyokong kuat Morsi, dan ramai penyokong serta ahli Ikhwanul Muslimin Mesir melarikan diri ke Turki, selepas rejim el-Sisi mula melakukan penangkapan besar-besaran.
Erdogan berkata, beliau juga akan membangkitkan isu itu pada Sidang Kemuncak G20 di Jepun, hujung bulan ini.
Terdahulu, kumpulan hak asasi manusia mendesak siasatan bebas dijalankan ke atas kematian Morsi, susulan laporan mengatakan beliau tidak menerima rawatan perubatan sewajarnya daripada kerajaan rejim Mesir. – Ismaweb
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)