BANGI – Sudah tiba masanya kerajaan Malaysia mengalih perhatian membela nasib umat Islam Uyghur, sebagaimana negara memperjuangkan isu Palestin.
Pengerusi Lajnah Antarabangsa Dewan Muslimat PAS, Husna Hashim berkata, selama ini Malaysia mampu konsisten bermati-matian mempertahankan isu Palestin hatta, di pentas antarabangsa dengan pendirian yang berlawanan kuasa besar dunia.
“Diplomasi dengan China tidak seharusnya mencairkan ketegasan negara dalam menentang kezaliman penghapusan etnik, yang tidak mungkin disembunyikan lagi dari pengetahuan manusia yang mengangkat hak asasi manusia,” katanya dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, media antarabangsa melaporkan bahawa kerajaan China menindas muslim Uyghur di Xinjiang, antaranya tidak membenarkan setiap kakitangan, guru dan pelajar berpuasa dan menjalankan sebarang aktiviti yang berkaitan dengan bulan suci ini.
Muslim Uyghur juga tidak dibenarkan untuk memakai tudung, membela janggut, memakai lambang bulan sabit dan bintang di pakaian atau pengangkutan awam.
Bukan itu sahaja, mereka juga menghadapai kesukaran untuk mendapatkan passport terutamanya ketika mahu menunaikan haji.
Lebih teruk, komunis China yang menentukan imam, bahan ceramah dalam aktiviti keagamaan, tempat untuk diadakan segala aktiviti keagamaan dan versi al-Quran yang digunakan.
Mengulas lanjut, Husna berkata, kumpulan pemantau Hak Asasi Manusia (HRW) telah pun menyifatkan kekejaman yang berlaku di Xinjiang berada pada tahap kritikal, serta memerlukan campur tangan masyarakat antarabangsa.
Katanya, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pula mendesak akses terhadap kem konsentrasi yang melakukan pelanggaran hak asasi ke atas hampir satu juta etnik Uyghur, dengan bermodalkan alasan mendidik mengenal budaya China.
“Justeru, marilah kita sebarkan gelombang kesedaran mengangkat isu Uyghur sebagai satu usaha membebaskan saudara-saudara kita daripada kezaliman berpanjangan,” katanya. – Ismaweb
——
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)
▪️ telegram.me/indahnyaislam
▪️ instagram.com/indahnya.islam
▪️ twitter.com/IndahnyaIslam