AHLI Parlimen Singapura, Zainal bin Sapari memohon kepada para majikan agar memberikan izin kepada pekerja mereka yang beragama Islam untuk mengerjakan solat Jumaat.
Beliau mengemukakan rayuan ini setelah mendengar keluhan daripada kaum lelaki Muslim yang tidak diberikan izin untuk mengerjakan solat Jumaat.
Mereka berasa amat tertekan kerana sedar akan betapa ‘serius dan besarnya dosa’ sekiranya mereka gagal melaksanakan solat Jumaat.
Zainal membayangkan keadaan di mana para pekerja akan menjadi lebih bersemangat dan produktif sekiranya mereka mendapat keizinan untuk mengerjakan solat Jumaat.
“Secara ringkas, lumrahnya, memberi kelonggaran bagi pekerja kamu dari kalangan Melayu Islam sedikit masa untuk bersolat dari 12:30 pm sehingga 2.30 pm akan menjadikan kamu sebagai majikan mesra Muslim dan kamu dapat menaikkan semangat bekerja mereka.”
“Pekerja Melayu Muslim kamu akan menggantikan kerugian masa bekerja dengan datang lebih awal dan pulang lebih lewat untuk hari itu,”
“Saya yakin pekerja Melayu Muslim kamu tidak akan menyalah gunakan kesempatan ini kerana kami tahu, sekali hilang kepercayaan susah untuk dapatkannya kembali,” ujar Zainal lagi.
Permohonannya itu mendapat reaksi pelbagai dan menimbulkan perdebatan hangat di kalangan rakyat Singapura.
Ramai rakyat Singapura dari kalangan bukan Islam, dan sebilangan yang beragama Islam sendiri menentang idea memberi keizinan untuk umat Islam mengerjakan solat itu kerana kononnya dilihat sebagai tidak adil kepada penganut agama lain, dan juga kerana status Singapura itu sendiri sebagai negara sekular.
Ramai juga yang menyokong, terutamanya dari kalangan umat Islam Singapura sendiri. Ada yang menyuarakan kesedihan kerana anaknya yang sedang belajar di institusi pengajian tinggi juga tidak diberi kelonggaran untuk mengerjakan solat Jumaat.
Semoga Allah beri kemudahan kepada umat Islam Singapura untuk bebas mengamalkan ajaran agama mereka yang selama ratusan tahun sebelum ini telah dijunjung dan diamalkan oleh nenek moyang mereka, para pemilik asal tanah itu. – klselangor.com
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)