Dunia tak boleh berdiam, Israel rompak tanah Palestin

 

BANGI – “Dunia tidak boleh berdiam diri terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Israel yang menetapkan peneroka haram Yahudi berhak menduduki tanah Palestin,” demikian tegas Mohd Azmi Abdul Hamid.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) berkata demikian merujuk tindakan rejim pengganas Israel yang mengerahkan tenteranya untuk merobohkan kediaman penduduk Palestin di perkampungan Sur Baher, Wadi al Hummus, Timur Baitulmaqdis, Palestin.

Mohd Azmi berkata, perbuatan biadab rejim adalah satu tindakan untuk melegitimasikan pencerobohan Israel terhadap harta rakyat Palestin.

“Ia adalah rompakan terang-terangan. Sama seperti seseorang yang menceroboh dan merampas sebuah rumah, mengusir pemiliknya, perampas mendakwa sebagai miliknya sendiri, dan mahkamah membiarkan dia tinggal di rumah itu sehingga pertikaian diselesaikan.

“Mahkamah kini alat untuk membenarkan pendudukan haram Israel di bumi Palestin. Bagaimanakah perkara ini dibenar untuk dilakukan? Ia bukan sahaja keganasan ke atas keadilan tetapi penyalahgunaan institusi undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan.

 

 

Kes spesifik pertikaian antara keluarga Palestin di Hebron dengan peneroka haram Yahudi dan Persatuan Dana pada tahun 2008, digunakan oleh mahkamah Israel untuk memutuskan kes itu bagi mengusir pemilik asal dan membenarkan peneroka Yahudi tinggal.

Dalam isu ini, Mapim melihat tindakan rejim Israel menceroboh rumah-rumah warga Palestin sebagai proses ‘pengyahudian’.

“Terdapat agenda pengyahudian yang jelas oleh hegemoni Israel untuk mengubah demografi populasi penduduk di Tebing Barat.

“Keputusan Mahkamah Tinggi Israel itu memberi isyarat bahawa sedikit kekaburan mengenai hak milik, cukup untuk membenarkan peneroka haram Yahudi berhak ke atas harta yang diambil dari pemilik asal Palestin.

“Ini bukan kali pertama mahkamah Israel memutuskan untuk memihak kepada peneroka Yahudi yang menyalahi undang-undang,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menuntut kes-kes tanah Palestin yang dirampas oleh peneroka Yahudi dibawa ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

“Undang-undang antarabangsa yang mengikat mesti dikuatkuasakan oleh ICC untuk menghentikan perampasan tanah secara berterusan dan pengusiran paksa rakyat Palestin dari tanah asal mereka,” katanya. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts