Hari berganti hari, minggu berganti minggu dan bulan berganti bulan. Terasa masa begitu pantas berlalu.
Kini, Umat Islam sekali lagi menghampiri bulan Ramadhan yang mulia. Di belahan dunia, pelbagai peristiwa silih berganti, pelbagai isu datang dan pergi, umat Islam diasak kanan dan kiri, dari segenap penjuru, atas dan bawah, depan dan belakang.
Parut asakan dan tekanan yang dulunya hanya kecil kini merebak dan membarah, umat terus berteriak menangis, bagai tiada penawar, bagai tiada jalan keluar. Lalu, kita tertanya-tanya, masihkah ada lagi harapan untuk umat ini sembuh?
“Penjajah” dari timur dan barat datang bekerjasama, mengeksploit segala hasil yang ada. Keadaan sosial umat Islam kini telah diubah dari suatu bangsa yang hebat menjadi umat yang merempat dan tidak signifikan dalam mencorakkan keadaan ekonomi serta kepimpinan dunia. Sumbu nyalaan, kini sedikit demi sedikit seakan-akan malap, dan mulai padam.
Kita tertanya-tanya lagi, masihkah ada harapan untuk umat ini sembuh dan kembali bangkit memimpin dunia, serta bagaimana caranya?
Umat Islam pada hari ini perlu dibawa mengenal kembali asal usul sejarah bangsa mereka yang hebat dalam rangka untuk mengembalikan identiti dan agenda perjuangan yang telah berkecamuk dan bercampur baur dengan pelbagai fahaman taghut yang datang dalam dunia era globalisasi kini.
Umat Islam harus sedar, tanpa identiti diri yang jelas, bagaimana mereka mahu memimpin dunia, dan mengembalikan semula kegemilangan tamadun lampau. Kepimpinan yang hadir ini adalah dengan mafhum kepimpinan berdasarkan hidayah, bukan kepimpinan yang menindas dan mengeksploitasi negara yang lebih lemah.
Islam datang bukan untuk menindas dan mengeksplotasi tetapi hadir untuk membebaskan manusia. Menjadikan mereka lebih maju dengan menukar paksi hidup daripada penyembahan kepada hawa nafsu kepada penyembahan mutlak kepada Allah swt.
Benar, jalan itu adalah jalan panjang, jalan yang bukan senang. Bukan sedikit cabaran yang perlu ditempuh. Jangan sesekali berputus asa. Jangan sesekali berundur dari medan juang ini. Jangan biarkan cita-cita dunia yang kecil, memenuhi ruang fikir dan ruang hidup sehingga kita tengelam di dalamnya. Tanyalah ke dalam diri kita berkali-kali dengan jujur. Adakah kita sanggup membiarkan keadaan umat berlalu begini?
Hargailah hadiah yang Allah swt kurniakan kepada kita dengan sesungguh-sungguhnya sepanjang bulan Ramadhan ini, supaya kita sama-sama dapat koreksi diri, bersihkan hati, bersihkan niat. Lalu unjurkan perjalanan hidup kita ke hadapan. Semoga jiwa yang lalai dan layu ini kembali tersedar dan bangkit.
Harapan itu masih ada, dan ianya terletak pada bahu-bahu kita.
Wallahualam.
Selamat Menyambut Ramadhan.
شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيْهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَ بَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَ الْفُرْقَانِ
“Bulan Ramadhan yang di dalamnya –mulai- diturunkannya Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan keterangan-keterangan yang nyata yang menunjuk kepada kebenaran, yang membedakan antara yang haq dan yang bathil.” (QS Al-Baqarah: 185)
Asyraf Farique
Ketua Editor FOCUS