1. FIRMAN Allah SWT: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah SWT ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah SWT Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).” (Al-Hujurat: 13)
2. Apabila kita bercakap soal Melayu, janganlah difikir kita mengangkat isu assobiyyah dan rasisme, kerana kelainan bangsa dan keturunan adalah salah satu tanda kebesaran Allah SWT. Menafikan kita sebagai bangsa Melayu adalah satu tanda kita tidak menghargai ciptaan Allah SWT.
3. Nabi Muhammad ﷺ pun berbangga dilahirkan dengan silsilah keturunan Baginda. Sabdanya: “Sesungguhnya Allah SWT memilih Kinanah dari keturunan Ismail dan Allah SWT memilih Quraisy dari keturunan Kinanah. Allah SWT memilih Bani Hasyim dari Quraisy dan Allah SWT memilih aku dari keluarga Bani Hasyim.” (HR Muslim).
4. Bangganya Nabi ﷺ bukan kerana keturunan semata-mata tetapi. bangganya Nabi ﷺ disebabkan Allah SWT telah memilih bangsa itu untuk dimuliakan sebagai pemegang amanah menjulang Islam di semenanjung tanah Arab. Mendapat dokongan kuat dari Quraisy yang disebut sebagai syawkah oleh Ibnu Khaldun.
5. Kita berulang kali dan tidak jemu-jemu mengangkat dan memperingat isu Melayu, bukan bermakna kita merendahkan bangsa lain apatah lagi menzalimi mereka, tetapi ingin kita mengingatkan kita adalah bangsa yang akan dipersoalkan lebih awal oleh Allah SWT daripada bangsa-bangsa lain di Malaysia ini kerana kita adalah “Quraisy” di tanah air ini.
6. Mengapa? Kerana terhimpun tiga amanah Allah SWT dalam diri umat Melayu ini pertama; sebagai ummah al-ijabah (umat yang menerima Islam) dan ummah al-dakwah (umat yang diamanahkan untuk menyebarkan Islam) di tanah air ini dan ummah al-khilafah (umat yang menjadi pemimpin). Terjulang Islam atau terbenamnya Islam di negara ini terletak di tangan umat Melayu.
7. Sudah tentu tersimpan hikmah bijaksana Allah SWT dalam memilih Melayu untuk membawa panji-panji Islam di negara ini dan telah terbukti bangsa ini berjaya setakat ini mempertahankan Islam sebagai kubu kuat Islam di nusantara Melayu. Alhamdulillah.
8. Melayu masih kekal dengan Islamnya walaupun dijajah beratus tahun silih berganti oleh penjajah yang beragama kristian dan bahasanya tetap kekal walaupun dijajah oleh bangsa lain. Australia, Filipina dan beberapa buah negara Afrika telah terkesan dengan agama penjajah mereka dan akhirnya Kristian menjadi agama rasmi negara berkenaan.
Argentina yang dijajah oleh Sepanyol akhirnya menjadikan bahasa Sepanyol sebagai bahasa rasmi mereka. Brazil yang dijajah oleh Portugal akhirnya tunduk kepada tekanan dan menjadikan bahasa Portugal sebagai bahasa rasmi bagi negara mereka. Negara China yang kononnya gagah juga akhirnya tunduk dengan fahaman komunisme selepas kemenangan komunis di China yang ketika itu dipimpin oleh Mao Zedong.
9. Kita selalu dimomokkan dengan kelemahan bangsa kita. Kononnya Melayu itu sendiri diambil daripada istilah ‘layu’, bangsa paling pemalas di dunia adalah bangsa Melayu, dan sebagainya yang menjurus kepada ke’layu’an bangsa Melayu itu sendiri.
10. Ramai juga bangsawan dan sarjana berbangsa melayu menzikirkan wirid yang sama kemudian terus bersenang lenang tanpa berusaha mencari penyelesaiannya, apatah lagi mengkaji kebenaran benarkah orang Melayu bersifat begitu.
11. Walaupun tidak dinafikan ada orang Melayu bersifat begitu, ia juga berlaku kepada bangsa-bangsa lain. Kita perlu faham bahawa momokan itu didendangkan oleh penulis-penulis, residen dan orang Eropah yang pernah berada dan menetap di tanah Melayu dari sudut pandang kepenjajahan mereka, walhal realitinya ialah ia menggambarkan sikap orang Melayu yang tidak mahu menjadi alat dalam sistem perdagangan kapitalisme kolonial.
Sahibus Samahah Haji Zamri Hashim
Timbalan Mufti Perak
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)