Umat Islam kena sokong Kempen Beli Produk Muslim: MUIS

 

BANGI  – Majlis Ulama Isma (MUIS) hairan dengan pendirian sesetengah pihak, termasuk yang mengaku sebagai gerakan Islam, apabila mengaitkan Kempen Beli Produk Muslim akan membawa ketegangan dan kezaliman kepada bukan Islam.

Pengerusi MUIS, Dr Mohd Soberi Awang menegaskan, kempen ini sewajarnya didukung oleh seluruh umat Islam tanpa mengira perbezaan yang wujud kerana ia adalah perkara yang asas bagi orang beriman.

“Secara asasnya, saling membantu di kalangan umat Islam adalah tanggungjawab yang mesti dipikul setiap yang beriman atas dasar talian persaudaraan akidah. Pelbagai dalil yang melambangkan akrabnya di kalangan orang yang beriman iaitu seperti sebuah binaan yang kukuh atau seperti tubuh yang satu.

“Atas asas itu, adalah menjadi satu kewajipan untuk kita saling bantu membantu serta saling memperkukuhkan satu sama lain,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Pada masa sama, MUIS kesal dengan kenyataan dikeluarkan Jabatan Perdana Menteri yang majoritinya di kalangan menteri beragama Islam yang mempersoalkan kempen berkenaan.

“Bukankah tanggungjawab paling asas pemimpin muslim adalah memelihara kebajikan umat Islam?” soal Dr Soberi.

Beliau berkata, tanpa menafikan produk muslim hari ini yang belum cukup luas meliputi pelbagai sudut keperluan harian, ia tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk menolak atau mengabaikan kempen ini secara menyeluruh.

 

 

“Kalau kita tidak mula hari ini, sampai bila-bila pun ekonomi umat Islam tidak membangun di masa hadapan. Justeru, MUIS menyeru kepada seluruh umat Islam supaya berhenti mempolitikkan segala perkara berkaitan isu-isu umat Islam. Memperkasa serta membangunkan umat Islam adalah suatu isu ‘real’ yang perlu dilihat bersama.

“Ia adalah suatu agenda yang perlu disepakati bersama jika kita masih lagi jujur ingin melihat umat Islam kembali gemilang seperti suatu masa dahulu,” kata beliau.

Semalam, Mesyuarat Jemaah Menteri menyifatkan usaha memboikot barangan keluaran pengusaha bukan Islam di negara ini sebagai sangat tidak wajar.

Jabatan Perdana Menteri memaklumkan, mesyuarat yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menolak pemikiran dan pendirian sempit berasaskan sentimen perkauman yang cuba dimainkan oleh pihak tertentu.

Katanya, ia boleh menjejaskan keharmonian dan kesejahteraan negara, sekali gus meminta rakyat untuk menyokong kempen beli barangan buatan Malaysia kerana memberi kebaikan kepada negara. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts