SEPANG: Usianya baru 19 tahun. Mungkin masih terlalu hijau bagi sesetengah orang.
Namun Nor Farhatul Fairuzah Panut bukan gadis remaja biasa. Namanya menjadi bualan selepas menjuarai Tilawah dan menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-61, April lalu.
Tidak seperti kebanyakan remaja lain, Farhatul memilih al-Quran sebagai pendampingnya seharian. Seawal pagi, seusai solat Subuh, suara merdunya bergema, mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran.
Dalam pertemuan dengan Astro AWANI baru-baru ini, Farhatul membuka sedikit sisinya yang mungkin tidak diketahui khalayak.
“Dahulu, saya pun macam orang lain. Di awal remaja, saya minat KPop dan menonton televisyen hingga lewat malam.
“Tetapi apabila meningkat dewasa, saya belajar untuk tinggalkan semua itu. Saya banyakkan masa dengan al-Quran dan bergaul dengan mereka yang cintakan al-Quran,” cerita Farhatul.
Kata Farhatul, mahu mengubah sesuatu yang sudah menjadi tabiat atau kebiasaan bukan perkara mudah, namun dia percaya sedikit keazaman mampu membawa kesan positif.
“Dari Kpop, saya tukar minat kepada muzik dan lagu-lagu Arab. Ini kerana lagu-lagu Arab mempunyai persamaan dengan tarannum.
“Selain itu, saya juga amalkan untuk konsisten dalam latihan suara dan mengaji. Setiap pagi saya akan mengaji sebab kalau tinggalkan sehari, bimbang nanti akan jadi malas,” ujarnya.
Pelajar tingkatan enam Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu, Negeri Sembilan ini menyifatkan niat sebagai elemen terpenting dalam memupuk rasa cinta terhadap al-Quran.
“Kena tahu kenapa kita belajar al-Quran. Sebagai orang Islam, kita semua tahu baca al-Quran, jadi janganlah berhenti di situ sahaja.
“Cari guru yang baik untuk bimbing kita dalam memupuk rasa cinta dan mempelajari al-Quran. Saya sendiri ada guru yang sentiasa mengingatkan saya untuk membaca al-Quran setiap hari,” tambahnya.
Bercita-cita mahu melanjutkan pelajaran dalam bidang pengajian al-Quran, Farhatul mahu menggunakan peluang dan pengaruh yang dimilikinya kini untuk mengajak anak muda mempelajari dan mencintai al-Quran.
“Saya berharap dengan sedikit ilmu yang saya ada, saya dapat memupuk minat orang ramai terutama anak muda untuk mendalami pengajian tarannum dan al-Quran.
“Apa yang saya lakukan sekarang, setiap hari saya akan berkongsi entri-entri berkaitan ilmu tarannum di akaun Instagram. Saya harap ia sedikit sebanyak dapat membantu menarik minat khalayak,” katanya yang memiliki 276,000 pengikut di Instagram dan lebih 32,000 subscribers di YouTube.
Farhatul yang kini memiliki jenama tudung Farha Looks juga meluahkan impian untuk melihat al-Quran diletak di tempat sewajarnya dalam kehidupan umat Islam.
“Al-Quran adalah kitab yang diturunkan Allah kepada kita. Kalau kita biarkan sahaja al-Quran tanpa dibaca dan disentuh setiap hari, seolah-olah kita tidak menghargai pemberian itu.
“Sesibuk mana pun, tak ada alasan untuk tak baca al-Quran kerana sekarang sudah ada aplikasi di telefon pintar. Jadi kita boleh baca melalui telefon sahaja.
“Rugi sangat kalau kita tidak jadikan al-Quran sebahagian daripada hidup kita. Orang yang ada al-Quran, ada segala-galanya,” katanya menutup perbualan. – Astro Awani
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)