Terengganu tunai manifesto wujud pusat pengajian tinggi Islam

 

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu sudah memulakan gerak kerja untuk menubuhkan satu institusi pendidikan tinggi (IPT) Islam baharu seperti Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) sebelum ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata ketika ini pihaknya sudah memulakan langkah ke arah itu dan ia akan direalisasikan sebelum tamat penggal Pilihan Raya Umum Ke-14.

Beliau bagaimanapun berkata, penubuhan sebuah IPT bukan sesuatu yang mudah dan ia memerlukan banyak langkah dan kajian bagi memastikan kewujudannya dapat memberi impak kepada bidang pendidikan tinggi negara.

“Kita mahu wujudkan sebuah IPT bagi menggantikan institusi asal yang ada di Terengganu waktu lalu iaitu KUSZA. Jadi apa yang akan kita cuba bentuk dan rangka sekarang ialah kewujudan IPT seperti itu.

“Bagaimanapun, sama ada ia sebuah kolej atau universiti penuh, ia (proses) belum sampai ke tahap itu lagi. Pada peringkat ini kita sedang melihat kesesuaian, perkembangan dan peraturan sedia ada.

“Nak buat universiti juga bukan boleh tengok kesesuaian kehendak dan pasaran kerja untuk tahun depan sahaja, tetapi perlu tengok sekurang-kurangnya untuk lima tahun akan datang,” katanya.

 

 

Beliau berkata demikian selepas Program Bicara Darul Iman Bersama Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Dagangan Bhd (PDB), Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir di Wisma Darul Iman di sini, hari ini pada Ahad.

Ahmad Samsuri berkata, perancangan menubuhkan IPT Islam menggantikan KUSZA bukan sahaja untuk memperkasakan bidang pengajian Islam, tetapi juga bertujuan memastikan kesinambungan dalam bidang pendidikan tinggi terutama untuk pelajar lepasan Sekolah Menengah Islam Darul Iman (SMIDI).

“Di peringkat sekolah rendah kita ada Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI), manakala di peringkat menengah pula kita akan mulakan operasi SMIDI pertama di Terengganu tahun depan.

“Jadi kita perlu lihat kesinambungan di peringkat pendidikan tinggi dalam bidang pengajian Islam ini kerana kita mahu ia berterusan hingga ke peringkat pengajian tinggi,” katanya. – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts