Cacat penglihatan bukan penghalang hafaz 30 juzuk

KUALA NERUS: Dilahirkan sebagai orang kelainan upaya (OKU) cacat penglihatan tidak menghalang anak bongsu kepada pasangan pendidik untuk bergelar hafiz apabila berjaya menghafaz al-Quran sebanyak 30 juzuk dalam tempoh kurang daripada empat tahun.

Terbukti, walaupun tidak dapat melihat setiap huruf dan baris setiap ayat namun insan istimewa ini dikurniakan mata hati yang terang yang memudahkannya untuk menguasai al-Quran.

Adam Hussaini Mohd Rosli, 17, yang juga anak bongsu daripada empat beradik itu bukan sahaja berjaya menghafaz al-Quran, malah mampu membaca dan menulis bahasa Arab dengan baik.

Dia yang menuntut di Maahad Tahfiz dan Pengajian Islam Darul Hijrah Baling, Kedah muncul antara 21 pelajar terbaik program Syahadah dan menerima hadiah wang tunai RM1,000 serta sijil kecemerlangan sempena majlis Konvokesyen Himpunan Huffaz Permata al-Quran peringkat Nusantara di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, di sini, hari ini.

Bercita-cita untuk menjadi seorang ustaz dan pendidik bagi mencurahkan ilmu terutamanya kepada golongan kurang upaya (OKU), Adam Hussaini berkata, dia menghabiskan masa kira-kira 15 jam sehari untuk mempelajari bahasa Arab dan membaca al-Quran menggunakan braille.

“Dorongan dan galakan diberikan ibu, Hasnah Hashim, 54, dan bapa yang juga bekas pesara guru, Mohamad Rosli Hassan, 62, serta sisihkan sikap jemu untuk belajar menjadi kunci kejayaan.

“Selain itu, kesungguhan belajar menggunakan braille sejak sekolah rendah lagi membuatkan saya dapat menguasainya dengan mudah al-Quran dan seterusnya menghafalnya,” katanya.

Majlis perasmian dan penyampaian anugerah disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satipul Bahari Mamat.

Yang turut hadir adalah Presiden Permata Al-Quran, Manolito Mohd Dahlan dan Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), Kamaruzaman Abdullah.

Adam Hussaini yang juga bekas murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pendidikan khas Alma, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, berkata dia kini sedang membuat persiapan untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) November depan.

“Saya mengambil peperiksaan SPM kategori calon persendirian dan mengulangkaji pelajaran dengan bimbingan ibu yang bertugas sebagai guru di Sekolah Model Khas, Baling, Kedah.

Sementara itu, Satipul Bahari yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Paka, pendidikan tahfiz jika dilihat penting kepada sistem pendidikan negara

pada masa kini.

Katanya, ia sejajar dalam merealisasikan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara ke arah melahirkan insan yang berguna kepada agama bangsa dan negara. – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts