1. APA gunanya ilmu setinggi langit andai diri tidak dihiasi dengan adab mulia. Atas dasar itu Abdullah ibn al-Mubarak menegaskan bahawa:
نحن إلى قليل من الأدَب أحوجُ منا إلى كثيرٍ من العلم
“Kita lebih memerlukan kepada adab (walau) sedikit berbanding dari memiliki ilmu yang menggunung.” (al-Khatib al-Baghdadi, al-Jami’ li Akhlaq al-Rawi)
2. Bahkan al-Imam Malik dikatakan sangat mengutamakan adab dalam pengajian beliau. Perkara ini dinukilkan oleh anak murid beliau iaitu Abdullah ibn Wahb yang menyebutkan:
ما نقَلْنا مِن أدب مالكٍ أكثرُ مما تعلمنا مِن عِلمه
“Apa yang kami pelajari daripada adab Imam Malik itu lebih banyak dari apa yang kami pelajari dari ilmunya.” (al-Asbahani, Hilya al-Aulia’)
3. al-Imam Malik dikatakan turut pernah menegur al-Imam al-Shafie yang dilihat seakan bermain-main dengan jarinya ketika majlis pengajian hadith dijalankan. Perbuatan bermain-main dengan jarinya itu seakan dilihat tidak beradab ketika pengajian hadith. al-Imam Malik lalu memanggil al-Shafie untuk bertanya tentang kelakuannya itu. al-Shafie lalu menjawab:
يا سيدي! ما كنتُ أعبث ولكني كنتُ أسجل بريقي ما تقول حتى لا أنسى؛ لأنني فقير، ولا أملك الدرهم الذي أشتري به القرطاس والقلم.
“Wahai Tuanku, aku tidak bermain-main, tetapi aku menulis dengan air liurku (di atas tapak tanganku) agar aku tidak lupa. Sesungguhnya aku adalah orang yang miskin dan tidak mempunyai dirham untuk memberi kertas dan pen.”
Rupa-rupanya al-Imam al-Shafie menulis diatas telapak tangannya menggunakan air liurnya. al-Imam Malik menyangkakan bahawa al-Shafie bermain-main dengan tangannya. Lihatlah betapa seriusnya al-Imam Malik dalam menjaga adab anak muridnya ketika pengajian ilmu sedang berjalan.
4. Seharusnya mereka yang dilihat memiliki pengetahuan yang luas itu turut dihiasi dengan adab yang mulia. Lihatlah bagaimana Allah mendidik Nabi Musa yang menyangkakan dirinya lebih mengetahui dari orang lain. Perkara ini diceritakan oleh Rasulullah yang menyebutkan:
أَنَّ مُوسَى قَامَ خَطِيبًا فِي بَنِي إِسْرَائِيلَ ، فَسُئِلَ : أَيُّ النَّاسِ أَعْلَمُ ؟ فَقَالَ : أَنَا ، فَعَتَبَ اللَّهُ عَلَيْهِ
“Sesungguhnya Nabi Musa memberikan khutbah kepada Bani Israel. Lalu beliau ditanya, siapakah yang paling mengetahui (paling mempunyai ilmu) dikalangan manusia. Lalu Nabi Musa menjawab: Aku. Maka Allah memberikan pengajaran kepada beliau (Nabi Musa). (HR al-Bukhari)
Dikatakan pada Nabi Musa bahawa terdapat seorang hamba (Nabi Khader/Khidr) yang mempunyai ilmu yang lebih dari engkau. Lihatlah bagaimana dalam proses pengajian Nabi Musa bersama dengan Nabi Khidr, beliau lebih banyak terdidik dari aspek adab.
5. Kadang-kadang mungkin kita terasa lebih bijak dan pandai dari yang lain sehingga terlepas aspek adab yang perlu dijaga. Ia adalah peringatan buat diri saya sendiri.
Semoga Allah membimbing kita semua dan mengurniakan kita adab yang diredai Allah.
Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)