Kemanusiaan yang ditawarkan oleh tamadun Islam jauh lebih sejagat

 

DALAM dunia hari ini, prinsip-prinsip besar hidup manusia yang mencorakkan struktur serta hubungan antara entiti politik di peringkat dunia, dan di peringkat tempatan sebenarnya adalah prinsip-prinsip yang asalnya hanya lahir daripada salah satu tamadun yang dominan di dunia iaitu tamadun Anglo-America.

Prinsip-prinsip seperti ‘hak asasi manusia’ dan ‘kedaulatan negara-bangsa’ misalnya, bukanlah satu prinsip yang benar-benar merupakan ‘common ground’ atau titik pertemuan bagi semua tamadun dan peradaban manusia, baik di sepanjang garis sejarah mahu pun dalam realiti semasa.

Namun, oleh kerana prinsip-prinsip itu dilontarkan dan dipelihara oleh sebuah kuasa besar, diinstitusikan oleh pelbagai institusi dunia (seperti PBB contohnya), serta dipromosikan secara ‘non-violent’, maka prinsip-prinsip tersebut telah mencapai martabat hegemoni.

Martabat ini bermakna prinsip yang asalnya bukan ‘common ground’ semua manusia, kini telah diterima sebagai prinsip yang ‘natural’ dan ‘default’ dalam hidup manusia di seluruh pelusuk dunia, sama ada mereka sedar atau tidak.

Oleh kerana prinsip-prinsip tersebut secara zatnya tidak pun memiliki nilai ‘common’ yang sejati, maka kita mendapati meskipun ia mencapai martabat hegemoni dan diaplikasikan di serata dunia, ia tidak dapat memberikan kerangka yang memenuhi naluri setiap manusia, pada masa yang sama memastikan perjalanan hidup di dunia ini berlaku secara teratur, dan menuju kepada situasi yang lebih baik.

 

 

Cubaan China pada hari ini untuk menawarkan beberapa prinsip yang mempunyai sedikit variasi berbanding prinsip dengan akar Anglo-American adalah satu bukti bahawa manusia masih dalam pencarian terhadap sebuah set aturan yang benar-benar bersifat global – mampu memenuhi kepuasan manusia yang pelbagai latar budaya dan keturunan – pada masa yang sama membawa dunia ke arah kehidupan yang lebih baik.

Sebagai pewaris kepada sebuah tamadun yang tersendiri dan ada rekod dalam menyediakan prinsip-prinsip yang merentas budaya dan keturunan, seorang muslim seharusnya sedar bahawa dia memiliki sebuah tawaran prinsip dan kerangka yang jauh lebih baik dan unggul berbanding semua yang saya nyatakan di atas.

Kemanusiaan yang ditawarkan oleh Islam (dan seorang Muslim) adalah sebuah kemanusiaan yang jauh lebih ‘sejagat’ berbanding kesejagatan yang didakwa wujud dalam prinsip ‘hak asasi manusia’ menurut kamus tamadun Anglo-American.

Bagaimana seorang Muslim boleh memilih untuk kekal larut dan tenggelam dalam hegemoni sebuah prinsip yang hakikatnya terlalu eksklusif (tidak inklusif) – seperti prinsip ‘hak asasi manusia ala PBB’ – dan tidak cuba melontarkan satu jawapan baru kepada manusia daripada khazanah tamadun Islam?

Syed Ahmad Israa’ Syed Ibrahim
Ketua Pegawai Eksekutif IRIS Institute

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts