Panel debat cuba tanam jarum liberalisme, normalkan LGBT

 

BANGI – Pihak penganjur debat Piala Tun Razak cuba mengambil kesempatan menjadikan medan perdebatan sebagai jarum halus untuk menyuntik fahaman yang jelas bertentangan dengan aqidah Islam, kepada remaja belasan tahun.

Ketua Sektor Pendidikan Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPMM), Mukhtar Suhaili berkata, tema yang dipilih dalam pertandingan itu, sama sekali tidak menghormati norma, bahkan mencabar sensitiviti masyarakat muslim di negara ini.

Ia juga katanya, dilihat sebagai satu usaha untuk menanamkan jarum liberalisme dan menormalisasi LGBT, kata Mukhtar.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pemilihan tajuk yang langsung tidak mengendahkan norma masyarakat majoriti muslim di Malaysia mencerminkan cara fikir yang didasari pemikiran-pemikiran janggal, asing dan langsung tidak bertepatan dengan fitrah.

“Fenomena penyebaran ‘pasca-kebenaran’, menyeru sekalian manusia untuk terus mempermainkan aspek-aspek teras akidah, khususnya bagi seorang muslim yang mendasari kehidupannya setiap hari, adalah sangat dikesali.

“Dalang di sebalik fenomena ini cuba untuk mengelirukan malah menyesatkan pelbagai lapisan masyarakat di bawah bayangan ‘perbincangan akademik’, ‘hypothetical motion’ dan lain-lain terma yang bernuansa ‘neutral’ supaya akhirnya tiada satu perkara pun menjadi mutlak meskipun terhadap akidah seorang muslim terhadap Rabb sekalian alam,” katanya dalam satu kenyataan.

 

 

Sebelum ini, penganjur pertandingan debat Piala Tun Razak 2019 di Seremban memohon maaf berikutan kritikan terhadap tajuk debat yang menyentuh soal Islam dan al-Quran.

Dalam kenyataan bersama Mohammad Aidil Ali dan Iyad Zakiy Amal yang juga Ketua Pengadil berkata, usul debat berkenaan hanya bersifat hipotetikal dan bukannya cubaan untuk membawa ‘agenda liberal.’

“Usul ini dibuat bukan dengan niat untuk indoktrinasi kepada pendebat muda atau satu bentuk agenda liberal daripada sesiapa.

“Debat adalah kegiatan di mana peserta perlu berfikir di luar kotak dan tidak menghadkan pandangan alam dan pada masa sama tidak mengorbankan kepercayaan mereka selain sedia untuk berfikir secara kritikal,” kata mereka.

Mengulas permohonan maaf itu, Mukhtar berkata, setelah diteliti, ia penuh dengan satira dan sandiwara yang jelas menunjukkan mereka sememangnya mempunyai agenda liberalisme.

“Ini tidak dapat disembunyikan lagi sehingga terzahir pada pemilihan tajuk dengan memberikan respon yang sinis kepada pihak yang mempertikaikan tindakan mereka.

“Mereka tidak ikhlas mengeluarkan permohonan maaf tersebut. Justeru pihak penganjur perlu bertanggungjawab, permohonan maaf sahaja tidak memadai dan perlu kepada tindakan yang lebih tegas.

Justeru, DPPM menegaskan Malaysia tidak memerlukan figura-figura keliru mempengaruhi penuntut ilmu dengan tidak mengembalikan pencerahan ilmu yang diperolehi.

“Sekadar petah berbicara dan berfalsafah semata, tetapi tidak dapat tunduk kepada kehendak Tuhannya bukanlah ciri-ciri penuntut yang cemerlang untuk dijadikan kebanggaan di dunia apatah lagi mengharapkan kebahagiaan di Akhirat.

“DPPM menegaskan sekali lagi, bahawa kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba untuk mempermainkan kedudukan dan kemuliaan Islam dalam apa bentuk sekalipun,” katanya. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts