Tolak budaya barat dan liberalisme, bukan tolak ‘budaya tok guru’

 

1. MASYARAKAT Melayu sudah sinonim dengan ketinggian nilai hormat mereka terhadap golongan ulamak samada di tanah air dan luar negara, yang telah banyak mencurahkan jasa kepada masyarakat dalam memberikan kefahaman terhadap ajaran Islam.

2. Budaya ini adalah satu budaya yang sihat agar masyarakat terus berpegang teguh kepada sandaran agama, tidak memandai-mandai dalam kehidupan bersyariat dan merujuk orang yang berkeahlian dalam bidang-bidang agama yang tertentu.

3. Ini kerana para ulamak merupakan perantara yang menghubungkan masyarakat dengan syariah, yakni dengan erti kata sebagai tali penyambung, agar masyarakat mampu hidup beragama dengan betul, dan mampu memahami isi kandungan dan intipati agama dengan baik. Segala teks wahyu Al-Quran dan Sunnah, serta istinbat hukum hakam yang ada di dalam syariah tidak akan mampu dipraktikkan secara terus, tanpa adanya peranan ulamak dalam mengkaji dan mengolahnya sesuai dengan keadaan, dan reality setempat.
“Mufti itu ibarat penterjemah kepada kata-kata Allah SWT” – Al-Qarafi, Al-Ihkam fi Tamyiz Al-Fatawa minal Ahkam

Poin 1: Ikuti agamawan yang sejati, bukan agamawan palsu

4. Keutuhan pegangan masyarakat terhadap para ulamak dan ustaz-ustaz yang wujud di Malaysia ini tidak pula menafikan bahawa di sana wujudnya segelintir kecil daripada kalangan mereka yang mengambil kesempatan, menyalahgunakan kedudukan dan kepercayaan, serta membawa pengikut-pengikut mereka dengan fahaman-fahaman yang tidak benar. Ini kerana dalam setiap golongan, tidak kira agamawan atau tidak, pasti wujud sekelompok manusia yang bermasalah yang menggunakan bidang mereka untuk tujuan-tujuan peribadi.

5. Atas dasar itu kita berpegang kepada satu dasar : “bahawa semua manusia boleh diterima atau ditolak pandangannya kecuali Nabi SAW”. Namun itu tidak pula menjadikan bahawa kedudukan manusia awam itu sama seperti kedudukan para ulamak yang berkeahlian dalam bidangnya tersendiri. Dasar itu terpakai apabila ia membabitkan percanggahan pegangan dan pandangan ulamak dengan perkara-perkara asas yang telah disepakati agama seperti nas-nas Al-Quran dan Sunnah yang sudah jelas dilalahnya, atau Ijmak yang telah pun diamalkan sejak berkurun zaman dan seumpamanya.

6. Adapun jika kita mahu menyamakan pandangan orang yang berilmu dengan pandangan orang yang tidak berilmu, maka itu merupakan satu kebodohan; “Katakanlah (Wahai Muhammad), Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui?” – Surah Az-Zumar

7. Jika mahu berlaku adil, kenapa tidak kita kiaskan permasalahan pelbagai manusia dalam bidang lain selain agamawan, lalu terus kita anjurkan kempen untuk hapuskan kepercayaan kepada seluruh manusia dalam bidang tersebut ? Adakah itu satu cara memandang suatu isu dengan pandangan yang benar?

Poin 2: Liberalisme ingin merungkai keterikatan masyarakat kepada syariah, dengan menghapuskan kepercayaan masyarakat dengan ahli syariah (agamawan dan ulamak)

8. Apa yang berlaku pada hari ini, pihak-pihak tertentu telah membesar-besarkan isu-isu kelemahan yang wujud atau sesetengahnya yang dicipta oleh media, bagi memburuk-burukkan peranan agamawan di tanah air. Ini tidak lain dan tidak bukan hanyalah satu bentuk muslihat yang dilakukan oleh mereka yang berkepentingan, yang tidak mahu agar masyarakat ini berpegang kepada pandangan para agamawan dan pegangan agama.

9. Seruan pembebasan daripada keterikatan kepada agamawan dan apa yang disebut sebagai tok guru, hakikatnya bukanlah seruan untuk menghilangkan sikap fanatik, tetapi ia lebih membawa kepada hilangnya keterikatan kepada pegangan agama dan pandangan syariah.

10. Ini adalah seruan yang telah pun diseru oleh musuh-musuh Islam sejak daripada zaman Nabi SAW. Apabila orang kafir tidak mampu mempertikai kebenaran dakwah Nabi SAW, mereka mula memburukkan keperibadian baginda SAW. Tujuannya hanyalah untuk masyarakat makin jauh dengan Nabi SAW yang akhirnya membawa kepada jauhnya mereka dengan risalah Nabi SAW.

11. Itulah yang berlaku pada hari ini. Umat Islam diserang dari pelbagai sudut untuk dipecahkan kesatuannya, dirungkai pegangan agamanya, dan dihapuskan penggabungannya kepada agenda pembangunan umat Islam yang kuat dan unggul. Setiap sudut-sudut kehidupan yang ada, pasti akan ada satu atau lebih, jarum-jarum yang mencucuk agar masyarakat ini lari daripada suluhan agama.

 

 

Poin 3: Dakwaan bahawa ulamak terdahulu hanya menerima dan tidak berbincang adalah dakwaan tidak berasas

12. Adapun siapa yang mengatakan bahawa ulamak terdahulu hanya ‘menadah’ dan tidak berbincang, maka dia sendiri adalah orang yang jahil terhadap sejarah Islam, dan tidak selayaknya berkata-kata dalam isu ini.

13. Imam Asy-Syafie sendiri pernah berguru dengan Imam Malik, selepas itu beliau pula mengasaskan mazhabnya sendiri yang mempunyai banyak perbezaan pandangan dengan mazhab Imam Malik. Imam Abu Hanifah terkenal dengan diskusi fiqh yang mana hingga beliau sudah biasa berbeza pandangan dengan anak muridnya sendiri seperti Abu Yusuf dan Muhammad bin Hasan As-Shaibani. Imam Ghazali sendiri mempunyai beberapa kritikan terhadap pandangan gurunya iaitu Imam Al-Juwainiy, di dalam perbahasan ilmu Usul Fiqh. Imam Al-Izz ibn Abd Salam juga merupakan guru kepada Imam Al-Qarafi, tetapi itu tidak menghalang Al-Qarafi untuk mengkritik gurunya. Begitu juga Ibnu Qayyim yang merupakan anak murid kepada Ibnu Taimiyyah, itu juga tidak menghalang beliau untuk mengkritik gurunya.

Kata-kata mereka yang masyhur; “Syeikh (Gurunya) itu memang aku cintai, tetapi kebenaran adalah lebih aku cintai”

Maka barangsiapa yang menganggap bahawa barat mengambil kritikan dan persoalan yang dipendam selama ini oleh para ulamak, lalu menghasilkan tamadun yang kononnya hebat, adalah orang yang terpesona dengan barat dan tidak sekalipun mengkaji persejarahan penulisan para ulamak Islam yang silam.

Poin 4: Umat akan maju jika berpegang kepada perkara yang sudah disepakati

14. Hakikatnya inilah kunci kemajuan umat Islam. Apabila setiap pegangan yang utama itu dipersoalkan, maka institusi kemasyarakatan akan goyah dan tidak berkembang. Segala permasalahan silam akan dirungkai sekali lagi, sedangkan para ulamak terdahulu sudah pun menyelesaikan perkara itu. Atas sebab itu dalil ijmak merupakan dalil yang disepakati, hanya kerana ijmak ini yang akan menjaga umat Islam daripada terpesong dari landasan yang benar.
“Dan berpeganglah kamu semua kepada tali Allah dan janganlah berpecah belah” – Surah Ali Imran

15. Perkara-perkara yang tsawabit (kekal dan disepakati) itulah hakikatnya paksi kemajuan umat Islam. Ini kerana umat Islam secara keseluruhannya, sepanjang zaman, merupakan satu rantaian yang bersambung, setiap generasi akan menyambung perjuangan generasi sebelumnya, dan akan memberikan ‘baton’ kepada generasi selepasnya.

Ulamak silam telah menetapkan beberapa perkara yang menjadi dasar kepada agama, maka pertikaian terhadap perkara itu adalah suatu kerja yang membuang masa, sedangkan cukup banyak isu-isu lain yang sepatutnya difikirkan dan diselesaikan, berbanding merungkai dan mempertikai permasalahan-permasalahan pokok yang telah pun selesai dikaji dan difikirkan sejak dahulu lagi.

16. Kita tidak perlu mengikut rentak landasan ilmu dalam kerangka barat yang tidak berpegang kepada agama. Di sisi barat, falsafah ilmu itu berdiri di atas suatu kajian empirical yang mesti dibuktikan. Ia adalah suatu metodologi kajian yang cukup tidak sempurna, kerana ia hanya bersandarkan kepada pengalaman dan penemuan-penemuan tertentu. Keterhadan sumber mereka menjadikan segala hasil dan kajian-kajian mereka tidak dapat menemui ‘hakikat sebuah kebenaran’ kerana ia masih terdedah kepada penemuan-penemuan baru yang mungkin-mungkin akan membatalkan keputusan kajian yang lama.

17. Sedangkan ilmu di sisi Islam adalah apa yang bermanfaat di dunia dan di akhirat. Nilaian ilmu di sisi kita adalah suatu cahaya yang membawa manusia menuju kepada Allah SWT, sebab itu dalam Al-Quran menyebut ;
“Sesungguhnya orang yang takut kepada Allah hanyalah dari kalangan hamba-Nya yang mengetahui” – Surah Fathir

18. Seruan yang kononnya ‘tajdid’ ini dengan tujuan memperdebatkan semua perkara hakikatnya adalah seruan berbau kekufuran dan kemunafikan walau ia disebut atas dasar akademik, kerana ia hanya membawa kepada pembaziran masa, tenaga dan akal fikiran, dan yang lebih teruk lagi adalah runtuhnya pegangan masyarakat kepada sumber-sumber agama.

19. Oleh itu, kita sepatutnya perlu jelas, bahawa yang sepatutnya kita tolak adalah budaya barat yang bersendikan kefahaman tidak bertuhan ini, dari sudut falsafah ilmunya dan falsafah sosialnya, serta falsafah politiknya, bukanlah budaya tempatan, yang bersendikan syariat dan nilai-nilai ketinggian yang dianjurkan Islam itu sendiri.

Wallahua’lam.

Ustaz Ahmad Syamil bin Mohd Esa
Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts