MUFTI Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri hari ini, menerima khabar duka perginya guru beliau, Al-Allamah Syeikh Muhammad Al-Mukhtar bin Muhammad al-Amin Al-Shanqiti.
“Sedang saya menyampaikan Kuliah Maghrib di Masjid Kariah Kampung Beting, Kuala Pilah, saya mendapat perkhabaran pemergian guru yang dikasihi, Al-Allamah Syeikh Muhammad Al-Mukhtar,” katanya menerusi catatan di Facebook beliau, malam ini.
Menurutnya, bersama gurunya itu beliau pernah menekuni pengajian Usul al-Fiqh ketika tahun satu di Universiti Islam Madinah.
“Kepakarannya dalam bidang Usul al-Fiqh persis bapanya Al-Allamah Muhammad al-Amin al-Shanqiti, pengarang Tafsir Adhwa’ al-Bayan.
“Masih jelas dalam ingatan, pengalaman menziarahi beliau di rumahnya.
“Di hadapan mata saya, beliau membaca tiga kitab Usul al-Fiqh serentak sebagai bacaan perbandingan,” katanya yang mengagumi ketokohan gurunya itu.
Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, kematian seorang ulama lebih sukar dan besar musibah berbanding kematian 1,000 orang ahli ibadat, sebagaimana kata-kata dinisbahkan kepada Sayidina Umar RA.
“Perginya ulama seolah hilangnya bintang bagi pedoman sang musafir.
“Saya tidak katakan kecuali yang baik dan benar bahawa dia adalah antara ulama sejati dan menguasai ilmu yang sebenarnya.
“Moga Allah merahmati syeikhuna (guru kami) dan menempatkannya bersama orang soleh,” katanya. – Harian Metro
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)