Melayu dan Islam sudah sebati sejak dahulu

1. Perjuangan bangsa secara umumnya adalah perjuangan fitrah. Manusia memang akan mempertahankan kaumnya daripada dizalimi, ditindas dan mengutamakan kaumnya dalam kebaikan kerana kaumnya adalah identitinya, tempat asalnya, serta ahli keluarga besarnya.

2. Perjuangan Islam tidak akan membunuh fitrah ini. Bahkan Islam menguatkan fitrah ini, dalam syariatnya. Hak-hak kekeluargaan yang wujud dalam syariat menjadi bukti bahawa Islam sangat mementingkan hubungan kekeluargaan.

Bermula dengan mentaati ibubapa dan berbuat ihsan kepada mereka, kemudian harta pewarisan pusaka kepada sanak keluarga, disambung pula dengan tuntutan diyat yang diwajibkan kepada ahli keluarga lelaki jika ada ahli keluarganya yang melakukan kesalahan, dan seumpamanya.

Semua perkara itu menunjukkan kepada peri pentingnya kekukuhan institusi kekeluargaan dalam syariat Islam, demikianlah juga bagaimana Islam itu menjaga fitrah manusia, serta mendidiknya agar selari dalam landasan syarak.

3. Walaupun demikian, Islam menggariskan sempadan dan had dalam mengukuhkan fitrah itu, supaya ia sentiasa berada dalam landasan yang betul.

Atas sebab itu juga, dalam syariat, adik beradik atau kaum keluarga tidak boleh menjadi saksi dalam kes-kes mahkamah, serta saranan yang menyuruh agar berlaku adil walaupun ke atas kaum keluarga sendiri dan seumpamanya.

Definisi jahiliah terhadap kata-kata “Tolonglah saudaramu yang zalim atau yang dizalimi” yang menganggap walau dia betul atau salah, saudara sendiri tetap mesti dipertahankan, itu telah diolah oleh Islam yang mentafsirkan bahawa menolong saudara yang zalim itu dengan membetulkannya, bukan dengan mempertahankannya.

Dengan demikian, fitrah manusia itu diangkat menjadi suci dan mulia, serta berada dalam landasan syariat yang ditetapkan oleh Allah SWT.

4. Apabila Islam menyerap masuk ke dalam sesebuah kaum atau bangsa, lalu segala adat dan uruf yang diamalkan adalah satu perkara yang selari dengan tuntutan agama, maka mempertahankan perkara itu juga sebahagian daripada mempertahankan agama.

Identiti Melayu yang telah pun diangkat secara rasmi dan perlembagaan, yang juga sebuah perundangan bertulis, telah pun menyatakan bahawa Islam sebagai salah satu teras kebangsaannya. Masyarakat Melayu telah lama sebati dengan agama Islam sejak ratusan tahun yang lalu.

5. Usaha mempertahankan maruah dan masyarakat Melayu, menyatukan orang Melayu, serta memartabatkan bangsa Melayu, pada hakikatnya adalah satu kewajipan yang dituntut oleh syarak itu sendiri. Ini kerana pada batang tubuh orang Melayu itu berdirinya sosok tubuh umat Islam di Tanah Melayu ini.

6. Keseragaman yang wujud di antara citra bangsa Melayu dan agama Islam telah lama diimplimentasikan dalam kehidupan di bumi Melayu.

Buktinya adalah adat yang wujud seperti implimentasi tulisan jawi, penggunaan nama-nama Arab yang dijadikan sebagai nama utama dalam penamaan anak-anak Melayu, budaya bersalaman dengan orang-orang tua, adab-adab dan tatasusila kemelayuan yang menjaga kehormatan dan ketinggian budi.

Contoh-contoh lain adalah seperti budaya songkok yang diambil daripada topi fez atau turban turki, atas semangat berbai’ah kepada khilafah Turki Uthmaniyah serta kopiah dan serban yang menjadi satu simbol ‘mulia’ dan ‘terjaga’, serta perkara seumpamanya yang menjadikan sesebuah bangsa itu mekar dengan nilai-nilai Islamnya secara tersendiri.

7. Hakikatnya, setiap bangsa memiliki agama, idea dan pemikiran tersendiri, yang diserapkan dalam budaya dan adat mereka.

Setiap agama akan diserap dalam budaya penganutnya, kerana hakikat agama adalah sebuah cara hidup yang diamalkan dalam masyarakat.

Tanpa menafikan bahawa masih ada budaya Melayu yang masih lagi perlu ditapis dengan tapisan syarak seperti budaya kuda kepang, dan seumpamanya, kita sepatutnya tidak terlalu alergi dengan istilah perjuangan Melayu, selagimana kita jelas kerangka perbincangan ini.

8. Apa yang cuba dilakukan oleh musuh Islam pada hari ini, apabila mereka tidak dapat menghakis Islam secara terus terang daripada jiwa umat Islam, mereka menghakis budaya kebangsaan agar hilang sensitiviti kekeluargaan, hilang rasa keempunyaan, hilang rasa kebertanggungjawaban terhadap bangsa dan kaum sendiri.

Jadilah akhirnya kita buang perkataan Melayu, me’rasis’kan perjuangan Melayu, hingga rasa malu mengaku menjadi Melayu. Inilah sebenarnya akar sekularisme, yang mengasingkan agama daripada fitrah kemanusiaan.

9. Apabila kita menyebut bahawa Islam itu adalah negara dan tanah air, kebudayaan dan keilmuan dan seumpamanya yang membawa maksud kesempurnaan Islam dalam setiap aspek kehidupan, sepatutnya kita juga perlu menyebut, bahawa Islam juga adalah ‘bangsa’ dan ‘kaum’, sepertimana ia adalah akidah yang benar, dan ibadah yang sahih.

Ini kerana setiap inci perasaan sayangkan bangsa dan prihatin terhadap kaum sendiri adalah satu nilaian islamik yang perlu wujud dalam agenda setiap muslim.

10. Bahkan setiap kehilangan sensitviti itu akan merugikan sedikit demi sedikit agenda umat Islam, kerana ia akan menatijahkan perpecahan dan pergaduhan sesama umat Islam itu sendiri. Usaha menghakis perasaan dan senstiviti itu sedang berlaku dengan dahsyat, dari pelbagai sudut.

11. Ia adalah satu arus jahiliyah moden yang mahu menghakis fitrah kemanusiaan itu sendiri, kerana apabila manusia hilang tempat pergantungan, lupa sejarah asalnya, hilang rasa kebertanggungjawabannya kepada anak bangsanya, jadilah dia manusia yang tempang, tiada identiti, tiada tanggungjawab, dan tiada sejarah. Umat beginilah yang mudah diperkotak katikkan, mudah dibeli, dan mudah dijajah.

12. Kita harus sedar tentang perkara ini, sepertimana kita harus sedar pergaduhan dan pertelingkahan sejak berpuluhan tahun antara kelompok Islamis dan pejuang Melayu berpunca daripada salah faham yang jelas terhadap isu kritikal ini.

Apabila kita jelas bahawa umat Islam perlu bersatupadu dalam menghadapi arus jahiliyah pada hari ini, dan kita jelas bahawa kesatuan orang-orang Melayu adalah tonggak kebangkitan umat Islam di tanah air ini, barulah kita akan dikira sedang melangkah menuju sebuah kegemilangan tamadun Islam di tanah air, dengan acuan kita yang tersendiri. – Ismaweb

Wallahua’lam.

Ahmad Syamil Mohd Esa
Penolong Setiausaha Agung
Majlis Ulama ISMA (MUIS)

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts