Eulogi ‘100 pujian’ Maharaja China sanjung Islam

 

KEPERIBADIAN mulia Rasulullah SAW bukan sahaja menjadi sanjungan umat Islam semata-mata, malah ketokohan baginda sebagai pemimpin agung turut mendapat perhatian Maharaja Hong-Wu pada era pemerintahan Zaman Dinasti Ming di China.

Hong-Wu atau nama sebenarnya Zhu Yuanzhang adalah Maharaja pertama dalam era pemerintahan Dinasti Ming iaitu sekitar 1368 hingga 1398 yang mengetuai angkatan perang sehingga berjaya menguasai wilayah dan kerajaan berkenaan dengan mengalahkan Dinasti Yuan berketurunan Monggol.

Pengarah Institut Kecemerlangan Pengajian Baitulmaqdis, Dr Aminurraasyid Yatiban, berkata perkara itu dibuktikan menerusi eulogi ‘100 pujian’ yang ditulis Hong-Wu sebagai antara penulisan berorientasi Islam terawal yang ditulis dalam bahasa Cina di negara Tembok Besar berkenaan.

Beliau berkata, puisi itu bukan sahaja ditulis dalam bahasa Cina, malah dalam gaya puisi Cina klasik yang mempunyai maksud tersirat dan mendalam mengenai Islam dan Rasulullah SAW.

“Kebanyakan sejarawan dan ilmuan mengakui bahawa eulogi atau puisi 100 pujian yang ditulis Maharaja Hong Wu itu wujud dan ia dianggap sebagai penulisan yang mengandungi unsur Islam terawal dalam konteks penulisan karya sastera Cina.

“Kewujudan puisi ini bukanlah suatu yang asing kerana era pemerintahan Dinasti Ming adalah dianggap zaman keemasan (The Golden Age) Islam di China. Malah, ketika zaman Dinasti Ming, China dipelopori atau didominasi keturunan Han dan Hui yang mana sehingga hari ini sebahagian besar Muslim di China adalah daripada keturunan mereka,” katanya.

Mengulas lanjut, Aminurraasyid berkata, walaupun tiada satu pandangan yang konklusif dalam kalangan ilmuwan berhubung status Maharaja Hong-Wu sebagai seorang Muslim, ada segelintir sejarawan China seperti Jin Jitang dan Fu Tongxian yang berpendapat, pemimpin itu beragama Islam dan berpengaruh besar.

“Pandangan yang mendakwa bahawa Hong-Wu adalah Muslim tidak boleh ditolak begitu sahaja, apatah lagi jika dilihat daripada ungkapan puisi berkenaan yang memuji Islam, Allah dan Nabi Muhammad SAW,” katanya.

Aminurraasyid berkata, kandungan puisi itu mengandungi puji-pujian mendalam terhadap Islam, Allah SWT dan Rasulullah SAW yang pada kebiasaannya diungkapkan oleh seorang Muslim.

“Banyak ayat yang terkandung dalam puisi ini dilihat berkait langsung dengan Islam antaranya termasuklah solat lima waktu, mengakui Nabi Muhammad SAW pemimpin kepada Nabi dan Rasul yang lain, membantu golongan miskin, memuliakan Islam dan mengagungkan kebesaran Allah SWT.

“Dalam puisi ini juga menyebut, Nabi Muhammad SAW dilahirkan di Barat dan ia sememangnya fakta yang boleh diterima kerana bagi negara China memang kedudukan tanah Arab itu terletak di sebelah barat mereka,” katanya.

Katanya lagi, puisi berkenaan dipercayai ditulis sekitar 700 tahun selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW.

“Syiar Islam mula sampai di China sekitar kurun ke-7 iaitu ketika zaman Saidina Uthman iaitu kira-kira 20 tahun selepas kewafatan Rasulullah SAW.

 

 

“Malah, kedatangan Islam di China bermula dengan rombongan yang diketuai oleh sahabat Rasulullah SAW yang terkenal iaitu Saad Abi Waqqas iaitu antara sahabat Nabi yang dijamin masuk syurga,” katanya.

Aminurraasyid berkata, kedatangan Islam ke China hampir sama seperti Islam sampai ke Nusantara iaitu bukan dalam bentuk peperangan ataupun kekerasan.

Pengarah Institut Kecemerlangan Pengajian Baitulmaqdis UUM, Dr Aminurraasyid Yatiban.

“Pemerintah China pada waktu itu tidak membawa pendekatan berkonfrontasi terhadap kedatangan Islam ke negara berkenaan di peringkat awal, memandangkan Islam tidak dilihat sebagai ancaman kepada Maharaja China,” katanya.

Tambahnya, beliau percaya faktor sosio-geografi juga menyumbang kepada perkembangan awal Islam di China seiring dengan pembukaan Iran dan Iraq yang terletak bersempadan dengan negara terbabit.

Katanya, beliau cenderung untuk menerima pandangan bahawa Maharaja Hong-Wu seorang Muslim, kerana ketika zaman pemerintahannya, Hong-Wu turut memerintahkan supaya masjid dibina di beberapa wilayah utama di China.

“Jika beliau bukan Muslim, tindakannya mengarahkan pembinaan masjid adalah sesuatu yang menakjubkan. Dalam pada itu, isterinya yang dikenali sebagai Maharani Ma juga didakwa datang daripada keluarga Muslim,” katanya.

Beliau berkata, eulogi memuji Islam dan Rasulullah SAW dengan bahasa yang puitis serta bernilai seni itu bukan perkara luar biasa, kerana Dinasti Ming memang turut dikenali sebagai era kegemilangan tamadun China termasuk dari sudut penguasaan ilmu kesusasteraan.

“Tamadun China sememangnya terkenal dengan nilai kesusasteraan tinggi dan bukan sesuatu yang pelik apabila Maharaja China mempunyai kemampuan menguasai ilmu sastera dengan baik pada waktu itu. Mereka sangat terkehadapan bukan saja dari sudut budaya ilmu tetapi bidang ekonomi dan perdagangan.

“Dalam masa yang sama, hubungan diplomatik dan perdagangan antara Kerajaan China dan empayar Islam semakin rancak ketika zaman Turki Uthmaniyah sekitar kurun ke-13 dan ke-14.

“Jadi, tidak mustahil sekiranya pengetahuan mengenai Islam dan ketokohan pemerintahan Nabi Muhammad SAW turut tersebar luas dan dikagumi rakyat dan pemimpin negara itu,” katanya.

Beliau berkata, Nabi Muhammad SAW diiktiraf sebagai pemimpin yang unggul dan kejayaan baginda memainkan peranan besar sebagai pemimpin seperti yang dinyatakan dalam al Quran dan hadis serta diakui dunia.

“Kemungkinan besar, maklumat berkaitan Islam dan Rasulullah SAW sampai kepada pemerintah China melalui rakan kongsi dagangan yang wujud ketika itu terutama di destinasi utama laluan sutera, iaitu dari China merentas terus ke wilayah pemerintahan Islam,” katanya. – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts