Hukum menceraikan isteri ketika hamil: Mufti Wilayah

 

ALHAMDULILLAH, segala puji dan syukur diucapkan kepada Allah SWT, selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, kepada ahli keluarga Baginda, para sahabat, serta golongan yang mengikuti jejak langkah Baginda Rasulullah SAW sehingga hari kiamat.

Majoriti ulama mengharuskan talaq isteri sewaktu dia sedang hamil. Tsabit satu hadith:

عَنْ ابْنِ عُمَرَ أَنَّهُ طَلَّقَ امْرَأَتَهُ وَهِيَ حَائِضٌ فَذَكَرَ ذَلِكَ عُمَرُ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ مُرْهُ فَلْيُرَاجِعْهَا ثُمَّ لِيُطَلِّقْهَا طَاهِرًا أَوْ حَامِلًا

Maksudnya: Dari Ibnu Umar RA bahwa dia pernah menceraikan isterinya dalam keadaan haid. Kemudian Umar bin Khatthab RA menceritakan kejadian tersebut kepada Nabi. Lantas beliau pun berkata kepada Umar bin Khatthab RA, ‘Perintahkanlah kepada dia (Ibnu Umar RA) supaya dia kembali kepada isterinya, kemudian talaklah dia dalam keadaan dia suci atau hamil.

Sahih Muslim (1471)

Hadith ini menjelaskan dua hukum, iaitu haramnya talak sewaktu isteri sedang haid, dan harusnya talak sewaktu isteri sedang hamil.

Imam al-Nawawi sewaktu mensyarahkan hadith ini berkata, hadith ini menjadi dalil keharusan talak sewaktu isteri sedang hamil yang jelas kehamilannya, dan ia merupakan pandangan mazhab Syafi’e. Ibnul Mundzir berkata, pandangan ini juga dipegang oleh majoriti ulama, antaranya Thawus, Al-Hasan, Ibnu Sirin, Rabiah, Hammad bin Abi Sulaiman, Malik, Ahmad, Ishaq, Abu Tsur, dan Abu Ubaid. Namun Ibnul Munzir turut menambah bahawa terdapat sebahagian ulama mazhab Maliki yang mengharamkannya, manakala Al-Hasan al-Basri memakruhkannya. (Rujuk Syarh Sahih Muslim, 10/65) Salah satu qaul Imam Malik juga (Rujuk Al-Mudawwanah 2/4)

Talaq sewaktu isteri sedang hamil terletak di bawah kategori talaq yang bukan sunniy, dan bukan bid’iyy, maka hukumnya adalah harus. Hal ini kerana ‘iddahnya tertakluk kepada kelahiran kandungan, bukan kepada haid. (Rujuk Al-‘Inayah Syarh al-Hidayah 3/478, Syarh al-Zarqani ‘ala Mukhtasar al-Khalil 4/144, Hasyiyata Qalyubi wa ‘Umairah 3/349, Bahr al-Mazhab 10/18, Manar al-Sabil fi Syarh al-Dalil 2/237 dan Al-Taqrirat al-Sadidah fil Masai’l al-Mufidah, hal. 92)

 

 

Namun demikian jika tidak terzahir pada wanita tersebut tanda-tanda kehamilan, maka ia menjadi talaq bid’iy. (Rujuk Hasyiyah Bujairimi ‘ala al-Khathib 3/505)

Namun pendapat yang dianggap kuat adalah pendapat majoriti ulama yang mengharuskan penalakan wanita yang sedang hamil. Dan iddah bagi wanita hamil yang ditalak adalah sehingga dia melahirkan kandungannya sebagaimana firman Allah SWT berikut ini:

وَأُولاتُ الأحْمَالِ أَجَلُهُنَّ أَنْ يَضَعْنَ حَمْلَهُنَّ

Maksudnya: Wanita-wanita yang hamil, waktu iddah mereka adalah sehingga mereka melahirkan kandungan mereka.

Surah al-Thalaq (4)

Manakala dari sudut perundangan, sekiranya isteri diceraikan ketika dia sedang hamil maka dia juga layak mendapat kemudahan-kemudahan seperti perempuan yang diceraikan dengan talaq rajie, iaitu makanan, pakaian, tempat tinggal dan apa-apa perbelanjaan lain yang patut.[1]

Kesimpulan

Kesimpulannya, kami berpegang kepada pendapat majoriti ulama, bahawa hukum menceraikan isteri sewaktu dalam keadaan hamil ialah harus, tidak haram dan tidak juga makruh.

Tapi suka juga kami ingatkan, seseorang isteri yang mengandung akan menghadapi keletihan dan tekanan perasaan memikirkan tentang kesempurnaan bayi kandungannya. Apabila berlaku perceraian, ia akan menambahkan lagi penderitaan dan kesusahan yang terpaksa ditanggung, sekaligus menjejaskan kesempurnaan bayi dan menganggu kesihatan si ibu. Seorang suami yang baik pastinya akan mengambil kira segala aspek dan melakukan semua ikhtiyar sebelum melafazkan cerai terhadap isteri.

Begitu juga kami tegaskan, sebarang urusan berkaitan perceraian hendaklah dirujuk kepada mahkamah Syariah sebagai pemegang kata putus dan selaku pihak yang berautoriti dalam urusan undang-undang keluarga Islam.

Wallahu a’lam.

Sahibus Samahah Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan

[1] http://www.esyariah.gov.my/Misc/htdocs/faqbm/FaqDisplayByGroupBM.jsp?FaqGroupId=175#topfocus

Sumber: muftiwp.gov.my

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts