Tubuh saluran televisyen khas tangani Islamofobia

 

KUALA LUMPUR: Penubuhan saluran televisyen khas dilihat menjadi ruang strategik bagi melancarkan ‘counter-narrative’ (penjelasan balas) dalam usaha menangani fenomena Islamofobia yang mendepani masyarakat Islam global.

Pensyarah Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Zaid Ahmad, berkata ia juga mampu menepis gambaran ekstremisme yang sering dipaparkan media Barat apabila memperkatakan mengenai Islam sehingga mempengaruhi pemikiran masyarakat dunia.

“Ketika ini, Islamofobia menjadi wacana arus perdana di Barat dengan Islamofobia meresap ke dalam pelbagai segmen pemikiran dan dilihat mempengaruhi setiap sikap, keputusan dan tindakan khususnya berkaitan umat Islam.

“Jadi, sekiranya diwujudkan stesen televisyen ini, ia akan menjadi benteng ‘counter-narrative’ serta pembekal maklumat lebih tepat dan berwibawa dengan menarik lebih ramai pihak untuk memahami Islam yang sebenar,” katanya.

Beliau yang juga Pensyarah Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan fakulti berkenaan, berkata demikian kepada Bernama menjelang penganjuran Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 dari 18 hingga 21 Disember ini.

Penubuhan saluran televisyen itu dijangka menjadi antara perbincangan sidang kemuncak berkenaan yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dengan kehadiran pemimpin dunia Islam selain golongan pemikir, cendekiawan dan ulama.

Zaid menegaskan, pembabitan golongan ilmuwan dan agamawan amat penting dalam menjayakan usaha memperbetul berita serta maklumat palsu yang memburuk-burukkan Islam selain penganutnya.

Katanya, ini kerana gerakan menepis persepsi negatif terhadap Islam memerlukan asas ilmu yang kukuh, penyelidikan yang mantap dan berkualiti selain keupayaan memahami secara jelas isu-isu yang dimainkan pada peringkat antarabangsa.

Usaha itu, jelas Zaid, akan turut membantu membawa umat Islam kembali kepada ajaran Islam yang sebenar seperti mana ditetapkan dalam al-Quran.

 

 

Sidang kemuncak yang dijadual berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) itu antara lain, bertujuan membincang dan mencari jalan penyelesaian baharu bagi masalah dihadapi dunia Islam selain menyumbang ke arah memperbaiki keadaan umat serta negara-negara Islam.

Ia juga bertujuan membentuk jaringan antara pemimpin, cendekiawan, ulama dan pemikir Islam di seluruh dunia, serta menghidupkan semula tamadun Islam.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Dr Chamil Wariya, berkata bagi menjayakan saluran televisyen itu, ia perlu dimuatkan dengan segmen rancangan yang seimbang dan tidak terbatas kepada masyarakat Islam saja.

Penjenamaan saluran televisyen itu juga perlukan konsep yang lebih mesra kepada bukan Islam supaya kandungannya lebih mudah diterima ramai.

Chamil berkata, sebarang program bersifat perbincangan juga harus dilakukan secara rasional dan bukan emosional.

“Bagi memastikan pengisian seimbang, ahli akademik bukan Islam yang mempunyai kepakaran dalam Islam juga boleh diundang untuk memberi pandangan membangun mengenai isu berbangkit,” katanya.

Selain itu, katanya, bukti pencapaian Islam dan sumbangannya yang kurang ditonjolkan Barat boleh diketengahkan dalam bentuk dokumentari berasaskan fakta, sekali gus memikat orang ramai untuk menonton dan mempelajarinya.

Antara yang boleh diketengahkan ialah sistem ekonomi, perbankan serta etika perniagaan Islam selain pencapaian dalam bidang sukan.

Beliau turut mencadangkan supaya kos membangun dan membiayai saluran televisyen itu dikongsi bersama dalam kalangan negara yang mempunyai matlamat sama bagi menzahirkan idea itu. – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts