OSLO: Persatuan Islam Norway mengedarkan 10,000 naskah al-Quran terjemahan bahasa negara itu dalam usaha memerangi perkauman dan kebencian.
Ia bekerjasama dengan Persatuan Kesusasteraan Islam dan masjid Minhaj-ul-Quran.
Keputusan dibuat selepas kumpulan pelampau berhaluan kanan cuba membakar senaskah al-Quran ketika bantahan di Kristiansand, bandar raya yang diduduki ramai pendatang.
Tindakan anggota Stop the Islamization of Norway (SION) dihalang polis tetapi pemimpinnya melemparkan al-Quran ke dalam tong sampah.
Turki, Pakistan dan Iran memberi reaksi keras berhubung kejadian pada 16 November lalu dengan mengeluarkan kritikan rasmi.
“Kami mahu bertindak balas dengan tindakan negatif dengan menyebarkan kasih sayang dan pengetahuan seperti diajar al-Quran,” Persatuan Seni dan Budaya Islam dalam kenyataan yang menyatakan naskah suci itu akan diedarkan menerusi internet.
Duta Turki ke Oslo, Fazli Corman memberitahu Agensi Anadolu bahawa pejabatnya memantau rapat perkembangan yang mengambil berat kebajikan penduduk Islam Norway.
Corman berkata, sebelum kejadian di Kristiansand, Menteri Kehakiman dan Imigresen Norway, Joran Kallmyr, berkata pembakaran al-Quran dianggap kebebasan bersuara dan memberitahu polis supaya tidak melarang sebarang pembakaran kitab berkenaan. — Berita Harian
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)