Ramadan bulan penting perjuangan Islam

Foto di tapak medan Perang Badar, 160 km dari Madinah, perang yang juga dinamakan Allah swt “Hari Al-Furqan (Penentu antara Hak dan batil)” dan “Hari Bertempur Dua Kumpulan”.

 

“Bulan Ramadan yang diturunkan Al-Quran didalamnya, (sebagai) petunjuk bagi manusia …” (Al-Baqarah)

Ramadan 01 : Al-Quran diturunkan Allah swt sekaligus ke langit dunia bernama Baitul Izzah. Ini berlaku pada malam Lailatul Qadar. Dengan ini Allah swt memuliakan bulan Ramadan kerana memilihnya sebagai bulan diturunkan Al-Quran, kitab yang menjadi petunjuk bagi umat manusia di akhir zaman, demi kesejahteraan mereka di dunia, lebih-lebih lagi di Akhirat.

Ramadan 02 : Rasulullah saw dilahirkan ke dunia oleh ibunya, Aminah binti Wahab. Bagin da saw dibesarkan dalam suasana persekitaran kampung Bani Saad yang baik, tempat tinggal Halimah As-Saidiyah, dan selepas itu dalam keluarga Abu Talib yang baik dengan penuh kasih sayang. Apabila Baginda berumur 40 tahun, Allah swt memilih bulan Ramadan untuk melantik Baginda saw sebagai Nabi lagi Rasul, dengan turunnya Surah Al-Alaq (Iqrak) di Gua Hirak. Dengan ini bermulalah semula hubungan wahyu diantara langit dan bumi setelah ia gersang selama lebih 600 tahun sejak zaman Nabi Isa as.

Dengan ini juga, di bulan yang mulia ini, Allah swt telah menunjukkan kepada Rasulullah saw manhaj (corak) perjuangan yang sepatutnya Baginda saw ambil, juga cara yang sepatutnya kita umat dan pejuang di akhir Zaman mengambilnya dalam merubah menyarakat dan negara menjadi Islamik yang diredhai Allah swt. Kisah ini bukan sahaja sabit dari sejarah akan tetapi ia juga sabit dari firman Allah swt sendiri bermaksud, “Bulan Ramadan yang Kami turunkan Al-Quran didalamnya (sebagai) petunjuk bagi manusia, dan (sebagai) penjelas tentang Petunjuk dan Pembeda (antara Hak dan batil)…” (Al-Baqarah).

Selepas itu, dengan berbekalkan petunjuk Al-Quran, Rasulullah saw mengumpul dan mendidik para Sahabatnya dengan sebaik-baik didikan sehingga mereka yang hidup di padang pasir yang tandus lagi gersang, tidak bertamaddun, penggembala kambing dan peniaga kecilan menjadi sebaik-baik umat yang pernah dikeluarkan oleh Allah swt sejak dari zaman Nabi Adam as. Mereka lulus ujian penindasan dan penyiksaan Quraisy. Mereka lulus ujian beriman kepada peristiwa Israk dan Mikraj yang diluar jangkauan aqal manusia biasa. Mereka lulus dugaan meninggalkan harta dan kampung halaman, demi menyahut arahan Rasulullah saw berhijrah ke tempat yang asing bagi mereka iaitu Madinah.

Ramadan 03 : Selepas 2 tahun di Madinah, tiba masanya Allah swt hendak memasukkan mereka ke fasa perjuangan yang lebih tinggi dan mencabar lalu digerakkan mereka ke Perang Badar. Ia adalah perang yang siapa memenanginya, mereka akan mendapat kedudukan dan kehebatan di mata kabilah-kabilah Arab di sekeliling. 313 orang sahabat keluar dengan ceria untuk mengalahkan 40 orang rombongan peniaga Mekah dan membawa pulang harta rampasan ke Madinah.

Namun sangkaan mereka meleset, kerana Allah hendak mereka berdepan dengan 1000 tentera lengkap Quraisy, yang menggantikan tempat 40 orang peniaga. “Kamu suka berdepan dengan kumpulan yang tidak mempunyai kekuatan, akan tetapi Allah hendak membenarkan Kebenaran dengan Kalimat-kalimatNya, dan mencantas kekuatan Orang-orang Kafir …” (Al-Quran). Maka pada 17 Ramadan, berlakulah perang diantara golongan sedikit dan serba kekurangan melawan golongan ramai dengan persenjataan lengkap. Akan tetapi Allah swt adalah Pemenangkan segala pertandingan dan perjuangan. Tentera Islam mengalahkan tentera Quraisy dan Abu jahal sendiri terbunuh dan dihumban ke dalam perigi buta di pekan Badar.

Ramadan 04 : Selepas Perang Badar, dakwah Islam dibawah petunjuk Al-Quran, dibawah pimpinan Rasulullah saw semakin maju dan berkembang. Tentera Baginda bertambah dari 313 di Badar kepada 700 di Uhud dan 3000 di Khandak, 18 tahun sejak wahyu diturunkan di Gua Hirak. Selepas Perjanjian Hudaibiah, tentera Islam melonjak kepada 10,000 orang, penambahan 7,000 orang dalam masa hanya 2 tahun. Sebab itu Allah swt menyifatkan Perjanjian Hudaibiah sebagai satu “Kemenangan”.

Pada tahun 8 Hijrah, Allah swt mentakdirkan Quraisy membatak Perjanjian Hudaibiah, lalu Rasulullah saw menggerakkan 10,000 orang tentera untuk menawan Mekah. Peristiwa besar ini berlaku dalam bulan Ramadan. Apabila Mekah, selaku ibu negara Semenanjung Arab, jatuh ke tangan Islam, maka seluruh kabilah Arab tidak mempunyai pilihan lain selain menerima Islam sebagai agama. Hanya sekitar 10 tahun selepas itu, dizaman Umar Al-Khattab, kabilah Arab mengalahkan Empayar Rom dan Empayar Parsi, kuasa-kuasa besar dunia, menjadikan mereka pemimpin dan pembimbing dunia ini dengan hidayah Allah swt.

Demikian disamping Ramadan adalah bulan ibadah khusus, Ramadan juga merupakan bulan yang dimuliakan Allah swt dan dipilihNya untuk menjadi titik tolak dan peralihan bagi fasa-fasa perjuangan Rasulullah saw sendiri. Sejarah selepas itu juga menunjukkan Ramadan adalah salah satu penentu sejarah bagi umat Islam sepanjang zaman. Semoga Ramadan pada tahun ini dan tahun-tahun selepasnya kan terus memberi kekuatan dan kemajuan kepada agama Islam dan umatnya, insyaallah. Ameen.

“RAMADAN : MENGGANDA IBADAH MENCIPTA SEJARAH”

Ustaz Abdul Halim Abdullah
inijalanku.wordpress.com

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts