Buta tapi lancar baca al-Quran guna braille

 

TATKALA jari jemarinya laju menyentuh susunan titik braille al-Quran, suara pula lantang dan sebutannya lancar ketika mengalunkan ayat suci Al Quran dari surah al-Waqiah.

Meskipun cacat penglihatan selain kaki dan tangan, persembahan Norasyikin Burhanuddin, 43, ternyata berjaya mencuri tumpuan kira-kira 120 orang yang hadir pada Program Kembara Kasih 2020 dan sambutan Maulidur Rasul 1441, di Dewan Bengkel Seri Sembilan, Mambau, pagi tadi.

Norasyikin dijemput khas oleh penganjur program berkenaan bagi menyerikan lagi majlis anjuran Persatuan Pemulihan Orang Kurang Upaya Negeri Sembilan (PPOKUNS) dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Pekerja Islam TNB Port Dickson (PKPI).

Ketika ditemui, Norasyikin yang berasal dari Felda Bukit Rokan Utara Johol, mula mendapat bimbingan bacaan al-Quran menggunakan braille ketika berusia 13 tahun semasa ditempatkan di Taman Sinar Harapan Temerloh Pahang.

“Saya mendapat bimbingan di sana selama empat tahun dan kemudian meneruskan pengajian al-Quran di Bengkel OKU Seri Perkasa Johol, di bawah bimbingan bekas pengetua bengkel berkenaan yang kini sudah meninggal dunia.

“Sepanjang tempoh itu, saya diajar menguasai al-Quran menggunakan braille termasuk dari segi taranum.

“Alhamdulillah, saya dapat menguasai dengan baik dan hasilnya pernah menjuarai sebanyak dua kali majlis tilawah al-Quran OKU cacat penglihatan peringkat Negeri Sembilan pada 2014 dan 2015.

“Bagaimanapun ketika mewakili Negeri Sembilan pada peringkat kebangsaan tahun sama, saya sekadar meraih tempat saguhati,” katanya.

 

 

Hadir sama pada majlis itu, Yang Dipertua PPOKUNS, Hassan Abdul Rahman dan Pengurus Bengkel Seri Sembilan, Harunarrsheed Mohd Ibrahim.Pendakwah bebas Syamsul Amri Ismail atau lebih dikenali sebagai Syamsul Debat menyampaikan ceramah Maulidur Rasul bertajuk masih ada sayang.

Norasyikin yang juga anak keenam daripada 11 beradik dengan empat daripadanya berstatus OKU, amat bersyukur walaupun kehidupannya serba kekurangan.

Dia yang kini berniaga kedai runcit di Bengkel Seri Perkasa Johol, berhasrat membimbing rakan lain yang berstatus sama sepertinya dalam menguasai bacaan al-Quran.

“Saya ingin mencurahkan ilmu dan kemahiran ini dengan orang lain khususnya golongan OKU catat penglihatan.

“Saya amat hargai sokongan dan bantuan serta bimbingan kakitangan Bengkel Seri Perkasa,” katanya.

Sementara itu, Syamsul Debat akui beliau terpegun dengan keupayaan Norasyikin membaca al-Quran dengan baik.

“Dia boleh dijadikan individu contoh kalangan OKU cacat penglihatan,” katanya. – Harian Metro

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts