1. LELAKI berlagak seperti wanita jelas sekali merupakan satu perlakuan yang dilaknat dan dimurkai Allah SWT dan Nabi. Dalam hadith sahih daripada Ibn ‘Abbas RA berkata,
لَعَنَ الْمُتَشَبِّهِينَ مِنَ الرِّجَالِ بِالنِّسَاءِ وَلَعَنَ الْمُتَشَبِّهَاتِ مِنَ النِّسَاءِ بِالرِّجَالِ
Maksudnya: “Rasulullah SAW melaknat lelaki yang menyerupai perempuan dan perempuan yang menyerupai lelaki.” (Hadis Riwayat Bukhari, dalam kitab Al-Libas, Bab Al-Mutasyabbihun bi An-Nisa’ wa Al-Mutasyabbihat bi Ar-Rijal, hadith 5435).
2. Dalam lafaz lain diriwayatkan:
لَعَنَ رسُولُ اللَّه ﷺ المُخَنَّثين مِنَ الرِّجالِ، والمُتَرجِّلاتِ مِن النِّساءِ
Maksudnya: Rasulullah SAW melaknat ‘mukhannithin’ dari kalangan lelaki dan ‘mutarajjilat’dari kalangan wanita”. Lelaki yang menyerupai wanita digelar dengan istilah mukhannath dan wanita yang menyerupai lelaki digelar mutarajjilat.
3. Zahir lafaz hadith ini menunjukkan tegahan dan pengharaman kepada kaum lelaki dan juga wanita daripada menyerupai jantina yang bertentangan dalam apa jua keadaan. Dan sering diketahui ia adalah penyerupaan pada pakaian, perwatakan, pergerakan dan sebagainya. Laknat memberi maksud dimurkai, dibenci, dicela dan dihinakan.
3. Kita semua diuji dengan kewujudan golongan lelaki yang mempunyai naluri kewanitaan. Mereka ada di sekeliling kita, dalam media sosial dan mungkin dalam keluarga terdekat kita sendiri, dalam kejiranan kita dan di kalangan rakan-rakan.
Mereka digelar dengan pelbagai gelaran antaranya mak nyah, pondan, bapok dan lelaki lembut. Lelaki yang mempunyai naluri kewanitaan ini cenderung untuk mengubah diri menjadi seorang wanita. Kebanyakan mereka merasa serasi dan selesa sebagai seorang wanita. Justeru, adakah mereka semua ini dilaknat Allah dan Rasul?
4. Islam hakikatnya tidak memukul rata semua lelaki lembut sebagai golongan terlaknat. Al-Nawawiyy dalam Abdul Rahman al-Mubarakfuriyy (2010) telah berkata, para ulama telah membahagikan mukhannath (lelaki lembut) kepada dua golongan iaitu mukhannath khalqiyy (yang dilahirkan secara semulajadi atau tabi’e) dan mukhannath ghar khalqiyy (yang dipaksa atau dibuat-buat).
Boleh jadi golongan pertama ini adalah lelaki yang dilahirkan secara semulajadi memiliki fizikal lembut seperti wanita (effeminate men) dan golongan kedua adalah lelaki tulen, tetapi terdapat faktor-faktor yang telah mengubahnya menjadi lelaki lembut. Golongan ini kebanyakannya memiliki keinginan yang kuat dalam hati untuk menjadi wanita.
Bagaimanapun, mereka yang bersungguh-sungguh melawan naluri songsang akan mendapat pahala mujahadah melawan hawa nafsu dan mereka ini tidak dilaknat. Allah tidak akan menghukum mereka yang menyimpan naluri kewanitaan hanya di dalam hati. Namun, para lelaki lembut yang melangkaui garis merah Allah SWT, mereka inilah golongan yang dilaknat seperti hadith Nabi.
5. Apakah garis merah Allah itu? Garis merah Allah adalah menzahirkan naluri kewanitaan itu dalam bentuk perlakuan, percakapan, cara berpakaian dan yang lebih dahsyat lagi adalah mengubah penciptaan asal mereka melalui pembedahan pertukaran jantina . Sekiranya mereka bertindak sehingga ke tahap ini, mereka sebenarnya telah melampaui batas. Bahkan ia adalah satu jenayah kepada Allah SWT dan layak mendapat hukuman.
6. Dalam sebuah hadis Abu Hurairah RA meriwayatkan:
أن النبي صلى الله عليه وسلم أتي بمخنث قد خضب يديه ورجليه -أي صبغها بالحناء كالنساء-، فقيل يا رسول الله! هذا يتشبه بالنساء، فنفاه إلى البقيع -عقاباً له في مكان غربة ووحشة، وحماية لغيره- فقيل ألا تقتله، فقال: إني نهيت عن قتل المصلين
Maksudnya: “Seorang mukhannath telah menginaikan tangan dan kakinya telah dibawa berjumpa Rasulullah SAW. Baginda bertanya: Apakah yang telah berlaku pada lelaki ini? Baginda diberitahu: Wahai Rasulullah! Dia telah menyerupai wanita. Maka dia dibuang ke an-Naqi’. Para sahabat berkata; “Wahai Rasulullah! Mengapa kita tidak membunuhnya sahaja? Baginda menjawab: Aku telah diharamkan membunuh orang yang bersolat” (Hadis. Abu Daud. Kitab al-Adab. 4928; Sahih al-Jami’. 2502).
Hadis ini menunjukkan Nabi SAW menghukum seorang lelaki yang telah menginaikan tangan dan kakinya. Perbuatannya ini dianggap menyerupai wanita dan beliau telah dibuang negeri. Jika menginaikan tangan sahaja sudah cukup mengundang kemarahan Nabi dan dihukum, bagaimana jika perbuatan yang lebih teruk atau keterlaluan daripada itu?
7. Hari ini, kita bukan hanya melihat ada segolongan mak nyah dengan bangganya berjalan bebas memakai pakaian wanita, bahkan sangat mengejutkan apabila golongan ini telah berani mencabar hukum Allah dengan melakukan manasik atau tata cara umrah dengan cara seorang wanita. Bahkan turut memakai telekung, berpurdah dan berada di satu saf bersama jemaah wanita!
Ini sudah sangat keterlaluan. Walaupun dengan memakai telekung yang dilihat menutup aurat dan sopan, ia tetap pakaian seorang wanita dan bukan pakaian lelaki. Ia adalah perbuatan menyerupai wanita yang dimurkai. Ia adalah satu jenayah dan kemungkaran yang wajib dicegah.
8. Matlamat sama sekali tidak menghalalkan cara. Jika matlamatnya menunaikan umrah dengan niat yang baik, untuk mendapat petunjuk dan hidayah Allah serta bertaubat, ia tetap tidak memenuhi syarat penerimaan ibadah.
Syarat ibadah yang diterima Allah terbahagi dua iaitu, yang pertama; niat yang betul dan ikhlas kerana Allah. Yang kedua, bertepatan dengan sunnah dan syarak. Bagaimana mungkin amalan ibadah umrah itu diterima jika perbuatan menyerupai wanita itu dimurkai oleh Nabi? Ia tentu sekali tidak menepati sunnah.
9. Sebagai umat Islam, kita bukan hanya menzahirkan keresahan mengenai isu ini dan menghukum golongan mukhannath atau mak nyah yang telah melampaui batas ini dengan tuduhan laknat Allah. Bahkan kita mengharapkan mereka kembali ke pangkal jalan dan mendoakan mereka. Isu utamanya adalah kita melihat perbuatan terkutuk mereka sebagai satu kemungkaran yang perlu dicegah.
Nabi SAW bersabda: “Barangsiapa di kalangan kamu melihat kemungkaran hendaklah mengubah dengan tangannya, jika tidak mampu, maka dengan lidahnya dan jika tidak mampu, maka dengan hatinya dan demikian itu adalah selemah-lemah iman.” (Hadis Riwayat Muslim, Hadis no. 40).
10. Bagi pihak berkuasa agama di peringkat negeri dan kerajaan, mereka mempunyai autoriti untuk membanteras perlakuan ini. Kita menyerahkan kepada mereka untuk mengambil tindakan. Namun, di peringkat masyarakat awam, apakah yang boleh dilakukan?
Persoalan yang ingin saya lontarkan; Sekiranya anda melihat suatu jenayah, apakah yang anda akan lakukan? Sebagai contoh, anda menjadi saksi suatu rompakan, adakah anda berdiam diri sahaja? Bukankah berdiam diri itu tanda anda redha dan turut bersubahat dalam perbuatan jenayah itu?
Sambungannya dalam tulisan Bahagian Kedua insya-Allah. – Ismaweb
Ustazah Nur Fatin binti Halil
Naib Pengerusi 3
Majlis Ulama ISMA (MUIS)
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)