PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini mengesahkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) boleh mengiktiraf undang-undang Islam semasa melaksanakan tugas dan kuasanya.
Hakim Rohana Yusof berkata penghakiman oleh mahkamah itu pada 2007 dalam kes Lina Joy lawan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan & Lain-lain mengkaji isu itu.
Dalam kes itu, isu utama adakah JPN bertindak mengikut undang-undang apabila menolak permohonan Joy memohon perkataan “Islam” dikeluarkan daripada kad pengenalannya.
Joy, atau nama Islamnya, Azlina Jailani, mengemukakan akuan berkanun menyatakan dia bukan lagi seorang Islam bagi menyokong permohonannya itu.
JPN enggan terima permohonannya atas sebab ia tidak lengkap tanpa perintah dari Mahkamah Syariah yang mengisytiharkan sedemikian.
Rohana berkata keputusan majoriti 2-1 itu dikekalkan dan mendapati keengganan JPN bertindak tanpa kelulusan pihak berkuasa Islam adalah munasabah.
“Itu masih pendirian undang-undang hingga ke hari ini dan tiada sebab yang wajar untuk mahkamah ini sekarang beralih daripada keputusan yang jelas yang dibuat oleh mahkamah ini sebelum ini,” katanya.
Rohana berkata Perlembagaan Persekutuan menetapkan orang Islam tertakluk kepada undang-undang umum yang dibuat Parlimen serta undang-undang Islam yang dibuat dewan perundangan setiap negeri.
Beliau berkata kuasa untuk membuat undang-undang itu termasuk kuasa untuk mencipta dan menghukum kesalahan yang dibuat orang Islam.
“Kesahan seorang Islam itu antara bidang di mana dewan perundangan negeri diberi kuasa oleh Perlembagaan Persekutuan, untuk dibuat sebagai undang-undang negeri,” tambahnya.
Kenyataannya terkandung dalam keputusan majoriti yang memerintahkan JPN mengeluarkan perkataan “bin Abdullah” daripada sijil lahir seorang anak tidak sah taraf di Johor.
Mahkamah Persekutuan juga memerintahkan anak itu, yang dilahirkan kurang dari 6 bulan 2 saat daripada tarikh akad nikah, tidak boleh menggunakan nama bapa kandung, yang dilabelkan sebagai MEMK bagi melindungi identitinya.
Rohana, Azahar Mohamad, Mohd Zawawi Salleh dan Idrus Harun berpandangan JPN betul apabila tidak membolehkan anak itu menggunakan nama bapa kandung mengikut peruntukan dalam enakmen Johor.
Abang Iskandar Abang Hashim, David Wong Dak Wah, dan Nallini Pathmanathan pula berpandangan anak itu boleh menggunakan nama bapa.
Rohana berkata MEMK dan pasangannya, NAW beragama Islam dan berkahwin mengikut undang-undang Islam dan anak itu dilahirkan di Johor.
“Mereka tertakluk pada undang-undang Islam seperti yang didapati di Johor,” katanya.
Anak itu dilahirkan pada 2009 tetapi kelahirannya hanya didaftarkan 2 tahun kemudian bawah Seksyen 12 Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian.
Ibu dan bapa anak itu memohon JPN mendaftarkan nama bapa pada sijil kelahiran itu mengikut Seksyen 13 akta itu tetapi sebaliknya tertera “bin Abdullah”.
JPN enggan menukarnya dengan nama bapa, walaupun permohonan dibuat memohon “bin Abdullah” dikeluarkan, atas sebab anak itu tidak sah taraf.
Ini menyebabkan ibu bapa anak itu memohon semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi pada 2016. – FMT
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)