KLANG: Kerja perobohan kandang ternakan lembu dan kambing serta binaan kuil di Jalan Rembia 2, Bandar Botanic di sini perlu dilakukan ekoran pemiliknya didapati menceroboh tanah yang dikategorikan sebagai tanah rizab masjid dan sungai.
Ketua Penolong Pegawai Daerah Klang, Mohd Shahrizal Mohd Salleh, menjelaskan tindakan itu diambil selepas tiga notis pencerobohan yang dikeluarkan sebelum ini mengikut Seksyen 425 dan 426A (1)(c)Kanun Tanah Negara 1965 langsung tidak diendahkan pemilik struktur binaan berkenaan.
“Tanah seluas kira-kira satu ekar ini diceroboh untuk dibina kandang lembu dan kambing, kabin simpanan barang serta kuil. Notis pencerobohan juga telah dihantar kepada pemilik struktur pada 13 Nov 2006, 7 Okt 2017 dan 9 Jan lepas supaya mereka mengosongkan tapak berkenaan namun tidak diendahkan.
“Aktiviti pencerobohan lot tanah di Jalan Rembia 2 ini didapati menghalang kelancaran pembinaan projek tebatan banjir di Sungai Aur Fasa 5 oleh pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Masjid Jamek Cina Muslim oleh Jabatan Agama Islam Selangor,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Tambahnya, pencerobohan dan pendudukan tidak sah di atas tanah kerajaan adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965 dan jika sabit kesalahan, pelaku boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagaimanapun kata Mohd Shahrizal, pemilik binaan kuil itu diberi tempoh penangguhan selama seminggu bermula hari ini untuk memindahkan sendiri struktur berkenaan sebelum dirobohkan agensi penguatkuasaan terlibat jika masih gagal mengambil sebarang tindakan.
Mengulas lanjut katanya, kerajaan negeri sebelum ini pernah menawarkan dua tapak kandang baharu kepada pemilik kandang berkenaan di bawah Projek Translokasi Penternakan Lembu di Kuala Langat serta sebidang tanah juga di Kuala Langat sebagai lokasi baharu kuil itu.
“Tawaran dibuat oleh kerajaan negeri sebelum ini hasil beberapa siri perbincangan yang dilakukan dengan pihak terlibat, namun mereka menolak tawaran tersebut,” katanya.
Operasi merobohkan kandang ternakan itu dilakukan hari ini oleh Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Klang dengan kerjasama Majlis Perbandaran Klang (MPK), JPS Klang, Jabatan Veterinar Klang, Tenaga Nasional Berhad dan Air Selangor Berhad sambil dikawal Polis Diraja Malaysia serta kira-kira 50 anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini.
Tinjauan mendapati sekumpulan lelaki yang dipercayai ada kaitan dengan pemilik kandang berkenaan membuat kecoh semasa cuba menghalang pegawai penguat kuasa PDT menjalankan kerja-kerja meroboh, namun akhirnya tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku, dan keadaan terkawal sehingga operasi selesai. – Berita Harian
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)