Mengapa duduk rumah dapat pahala?

 

1. RASULULLAH pernah menjelaskan kepada kita bahawa kepatuhan Muslim kepada setiap langkah yang digariskan dalam mendepani suasana kesukaran boleh menyebabkan mereka memperoleh ganjaran yang tidak ternilai. Sabda Rasulullah:

فليس مِن رَجُلٍ يَقَعَ الطاعونُ فيَمكُثُ في بَيتِه صابِرًا مُحتَسِبًا يَعلَمُ أنَّه لا يُصيبُه إلَّا ما كَتَبَ اللهُ له إلَّا كان له مِثلُ أجْرِ الشَّهيدِ.

“Maka mana-mana lelaki yang berada dalam suasana wabak taun, lalu dia kekal berada di dalam rumahnya (atau negerinya) dengan penuh kesabaran dan mengharap ganjaran Allah, nescaya dia akan mendapat pahala seperti orang mati syahid.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Ahmad dengan lafaz yang sedikit berbeza)

2. Ketika menghuraikan hadith ini Al-Imam Ibnu Hajar menjelaskan bahawa:

اقتضى منطوقه أن من اتصف بالصفات المذكورة يحصل له أجر الشهيد وإن لم يمت

“Ungkapan Nabi tersebut memberi makna sesiapa yang bersifat dengan sifat-sifat yang disebutkan itu, dia akan memperolehi ganjaran syahid walaupun dia tidak mati (kerana wabak tersebut).” (Fath al-Bari)

3. Dalam erti kata yang lain hadith ini menekankan aspek disiplin seorang Muslim dalam menghadapi suasana wabak. Muslim seharusnya mengimani bahawa wabak yang melanda ini adalah ketentuan dari Allah.

Mereka seharusnya mampu mengawal diri mereka di rumah, bersabar atas segala ujian yang menimpa mereka serta meyakini bahawa tidak ada sesuatu pun yang berlaku melainkan atas ketentuan Allah. Mereka yang memiliki ciri sebegini layak mendapat ganjaran seperti yang dijanjikan dalam hadith.

 

4. Dalam al-Quran pula, Allah memuji tindakan Muslim yang berusaha menyelamatkan nyawa orang lain. Mereka yang berusaha menyelamatkan nyawa seseorang itu seumpama dia telah menyelamatkan nyawa seluruh manusia. (Surah al-Maidah: 32).

5. Ketika menghuraikan ayat ini, al-Imam Mujahid menjelaskan bahawa semua usaha menyelamatkan nyawa manusia dikira termasuk dalam maksud ayat ini. Kata beliau:

أي: أنجاها من غرق أو حرق أو هلكة

“(Yang dimaksudkan ayat ini termasuklah) mereka yang menyelamatkan manusia dari tenggelam lemas, atau dibakar, atau apa-apa kebinasaan.” (Tafsir Ibn Kathir) Huraian oleh al-Imam Mujahid ini membayangkan betapa segala usaha yang terlibat boleh dikategorikan sebagai usaha untuk menyelamatkan nyawa seseorang.

5. Tindakan mereka yang enggan mematuhi arahan dengan keluar sesuka hati bukan sahaja boleh menggagalkan rancangan kerajaan bagi mengawal wabak, bahkan berpotensi menjadi punca kepada kemudaratan orang lain. Dalam sebuah hadis Rasulullah menegaskan bahawa:

مَنْ ضَارَّ ، ضَارَّ اللَّهُ بِهِ، وَمَنْ شَاقَّ ، شَقَّ اللَّهُ عَلَيْهِ

““Barangsiapa yang memudaratkan orang lain, maka Allah akan mendedahkan mudarat padanya. Barangsiapa yang menyusahkan orang lain, Allah boleh menyusahkan urusannya.” (HR Al-Tirmizi) Hadith ini jelas menunjukkan betapa Allah tidak suka kepada hambanya yang mendedahkan kemudaratan kepada orang lain.

6. Dengan itu mari bersama kita berusaha untuk mendisiplinkan diri mematuhi arahan pihak berkuasa. Kepatuhan kita menghayati serta mematuhi arahan ini mudah-mudahan dinilai sebagai amalan yang memberatkan neraca timbangan amalan serta pahala kita di akhirat kelak.

Semoga Allah membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts