COVID-19: Antara musibah dan muhasabah

 

DULU, imam lazimnya akan meminta makmum merapatkan saf sebelum solat. Tetapi ini tidak berlaku siang tadi.

Sebaliknya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang menjadi imam solat zohor dan solat hajat menghindari COVID-19 terus mengangkat takbir.

Solat zohor dan solat hajat berjemaah dalam keadaan yang mematuhi penjarakan sosial (social distancing) selain makmum memakai penutup hidung dan mulut itu disiarkan secara langsung di Stesen TV dan Facebook TV AlHijrah.

Turut bersama-sama menayangkan sesi solat berjemaah dalam keadaan luar biasa itu adalah saluran Astro Oasis dan Sinar Harian (Facebook Live).

Penulis yakin ramai dalam kalangan umat Islam rindu untuk ke masjid, apatah lagi ini Jumaat kedua yang terpaksa digantikan dengan solat zohor di rumah dan tempat masing-masing semata-mata mahu memastikan rantaian wabak COVID-19 diputuskan.

Rasa sayu kedengaran dalam suara muazzin ketika beliau melaungkan azan di Surau Rahmatan Lil Alamin di tingkat 9 JAKIM, Kompleks Islam Putrajaya.

Jelas rasa sebak membungkam muazzin ketika beliau melaungkan “Hayya Alas Solah” (mari mengerjakan solat) yang turut dikomen orang ramai di Facebook TV AlHijrah.

Penulis antara kru TV AlHijrah yang berada di sebalik tabir siaran langsung itu juga turut merasa sebak.

Seakan-akan tidak percaya yang rakyat negara ini, khususnya umat Islam, melalui saat-saat mencabar akibat wabak penyakit COVID-19 sehinggakan masjid dan surau terpaksa ditutup dan jemaah dilarang berjemaah di rumah Allah.

Jadi apakah pengajaran yang telah kita belajar dari musibah yang dibawa wabak yang berasal dari Wuhan, China ini?

Jujurnya, selaku seorang wartawan yang memang bergelumang dalam dunia pemberitaan di zon konflik dan bencana, penulis langsung tidak menyangka yang kita semua akan melalui saat krisis seperti ini.

Kadang-kadang terasa seakan-akan berada di dalam filem apabila Perintah Kawalan Pergerakan terpaksa dilaksanakan Kerajaan untuk mengekang wabak yang kita tidak nampak ini.

Polis dan tentera mengawal jalan raya di lokasi-lokasi panas. Mujurlah mereka hanya memeriksa dan bertanya, tetapi tidak menghalakan muncung senjata ke muka.

Ketika gelombang pertama COVID-19 berlaku di negara ini kira-kira dua bulan lalu, kita langsung tidak menyangka ia akan menjadi separah ini apatah lagi dengan reputasi pihak berkuasa kesihatan negara yang dikatakan antara terbaik di dunia.

Setakat ini, 26 maut akibat virus itu yang menjangkiti 2,161 individu di negara ini dengan 259 dilaporkan sembuh.

Namun sebaik-baik mana perancangan manusia, ternyata takdir tuhan itu tetap berlaku di mana wabak ini menular dengan pantas.

Dan lebih menyedihkan apabila perhimpunan tabligh yang diadakan hujung Februari lalu di Masjid Jamek Sri Petaling dikenalpasti sebagai antara kluster terbesar penyumbang penularan jangkitan berlaku.

Malah sehingga hari ini, masih ada lagi dalam kalangan jemaah tabligh yang masih belum tampil membuat ujian saringan kesihatan, khususnya jemaah bukan warganegara Malaysia.

Catatan ini bukan untuk menyalahkan kelompok itu kerana 40 peratus lagi bagi kluster jangkitan COVID-19, masih belum dikenalpasti sepenuhnya.

Apa yang pasti, penularan wabak COVID-19 bukan hanya memaksa pintu masjid ditutup sebaliknya pintu-pintu rumah ibadat agama lain juga terpaksa dikunci supaya tiada perhimpunan orang ramai atau mass-gathering berlaku.

 

 

Ini bagi mengelakkan penularan wabak COVID-19 yang amat mudah berjangkit antara manusia dengan manusia lain melalui titisan cecair yang keluar ketika batuk atau bersin.

Berbalik kepada persoalan pengajaran di sebalik COVID-19, sebagai umat Islam kita selalu percaya yang doa seperti mana dalam solat hajat itu senjata ampuh memohon pertolongan dari langit.

Namun kita juga harus ingat bahawa doa yang tidak diiringi tawakkal (baca usaha) juga adalah tidak mencukupi.

Atas dasar itu, pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak seharusnya diambil mudah oleh kita.

Barangkali, COVID-19 ini didatangkan untuk mengingatkan kita akan nikmat yang sering kita lupa dan mengajar kita akan nilai dalam kehidupan.

Dulu, penutup hidung dan mulut (facemask) dijual RM4 untuk 10 keping dan ia langsung tidak diperlukan.

Tetapi lihat di mana kedudukan facemask ketika ini. Helaian fabrik tiga lapis yang dikatakan mampu mencegah penularan COVID-19 itu, kini umpama emas yang dicari-cari semua orang.

Malah ianya dijual berganda-ganda harganya sehingga ramai yang meminta Kerajaan meletakkan harga siling.

Dulu kita memandang lekeh kepada pemandu GrabFood dan FoodPanda, kelompok yang kita gelar gig-ekonomi, sekarang merekalah antara frontliner yang kita perlukan untuk membawa makanan ke rumah kita.

Dulu kita langsung tidak kenal siapa cleaner yang bertugas di pejabat kita, sekarang merekalah individu penting yang memastikan pejabat kita sentiasa bersih supaya kita dapat bekerja dengan aman.

Dulu kita langsung tidak mempedulikan ibu bapa di kampung, sekarang nak balik kampung pun tidak boleh kerana arahan kawalan pergerakan.

Dulu kita selalu mengherdik petugas perubatan, terutama jururawat, di hospital kerajaan kononnya perkhidmatan mereka tidak sebaik hospital swasta, sekarang kelompok inilah yang bersengkang mata siang malam memastikan COVID-19 tidak mengganas.

Lebih menyedihkan ada dalam kalangan mereka yang tidak pulang ke rumah untuk melindungi keluarga dari risiko dijangkiti COVID-19.

Nilai selalunya bergantung kepada keadaan dan keperluan.

Dulu, sarung tangan getah yang kita keluarkan diharamkan oleh CBP atau Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (AS).

Namun dek keperluan akibat COVID-19 larangan itu ditarik balik dan kononnya syarikat pengeluar sarung tangan itu, tidak lagi menggunakan tenaga buruh paksa di kilangnya!

Seharusnya rakyat Malaysia, khususnya umat Islam, menyedari bahawa COVID-19 juga adalah makhluk Allah.

Ia datang sebagai peringatan kepada nikmat-Nya yang telah kita ambil mudah dan mendustakan sebelum ini.

Jikapun ada rindu untuk ke masjid harus dilupakan sementara waktu. Begitu juga niat menziarahi ibu bapa di kampung halaman juga harus diketepikan sehinggalah rantaian wabak penyakit ini diputuskan.

Apa yang pasti, dalam musibah wabak ini, ada ruang untuk rakyat Malaysia, khususnya umat Islam, bermuhasabah.

Jika kebaikan yang kita cari, maka kebaikanlah yang kita akan jumpa dan begitu juga yang sebaliknya. Wallahualam. – AlHijrah Online

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts