Berpuasa di bulan Ramadhan merupakan satu rukun dari lima rukun Islam. Berpuasa dari sudut bahasa bermakna menahan. Berpuasa (soum) diambil dari kata dasar (soma – siam). Dari sudut syara’ pula bermaksud menahan kedua syahwat; kemaluan dan perut dari terbit fajar hingga terbenam matahari disertai niat.
Dalil atau bukti kewajipan berpuasa telah sabit di dalam kitab Al Quran, Hadis nabi dan Ijmak. Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud:
“Wahai orang yang beriman, telah diwajibkan keatas kamu berpuasa sepertimana telah diwajibkan keatas mereka sebelum kamu moga kamu menjadi orang yang bertakwa”
Di dalam hadis pula sabda Nabi SAW:
“Telah didirikan Islam atas 5 (rukun); iaitu bersyahadah (bersaksi) sesungguhnya tiada Tuhan (yang disembah) melainkan Allah dan sesungguhnya Nabi Muhammad itu pesuruh Allah dan mendirikan solat, mengeluarkan zakat, haji dan puasa dalam bulan Ramadhan” [ HR Bukhari Muslim ]
Sesungguhnya Allah telah mewajibkan (puasa) pada tahun kedua Hijrah dan ia adalah satu ibadah untuk membersihkan jiwa, menguatkan ruh dan kesihatan badan. Sesiapa melaksanakannya kerana mematuhi perintah Allah dan mencari keredhaanNya, maka ia menghapuskan keburukan dan menjadi sebab untuk memasuki syurga.
Bersabda Rasulullah SAW:
“Sesiapa yang berpuasa dalam bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan kepatuhan diampunkan baginya apa-apa dosa yang terdahulu” [ HR Bukhari Muslim ]
Berpuasa mempunyai kesan yang besar dan penting dalam kehidupan seorang Muslim:
Pertama: Berpuasa membawa kepada mujahadah dan penyucian jiwa dari sifat tercela dan buruk dalam diri muslim seperti riak, bangga diri dan takabbur. Ini akan membawa kepada kejayaan dalam kehidupan muslim sepertimana firman Allah:
“Sesungguhnya berjayalah sesiapa membersihkannya (jiwa/hati)” (As-Syams:9)
Kedua: Berpuasa menunjukkan pengabdian manusia kepada penciptanya iaitu dengan mengikuti suruhan Allah dan sunnah Rasulullah. Melakukan amal kebaikan sesama umat Islam akan meningkatkan ketaqwaan di dalam kehidupan seorang muslim. Membantu guru, ibu bapa serta menyertai aktiviti sukarelawan anjuran persatuan aktif seperti PEMBINA juga termasuk amal yang mesti dilakukan bukan sahaja di bulan Ramadan bahkan berterusan pada bulan-bulan yang lain.
Ketiga: Berpuasa disunatkan untuk bersedeqah supaya timbul perasaan simpati dan bersyukur dengan nikmat rezki yang Allah anugerahkan. Dengan care mengeluarkan solicit daripada harta kepada golongan yang kurang berupaya, akan menimbulkan rasa kasih sayang antara umat Islam. Bukan sekadar itu, perasaan kasih sayang sesama muslim akan menyelusuri sehingga ke bumi Islam yang lain seperti Palestin dan Syria. Penduduk muslim di negara ini mengalami penderitaan dan kekurangan bukan sekadar pada bulan puasa, bahkan sepanjang masa.
Keempat: Berpuasa menggandakan ibadah kaum muslimin kepada Allah. Majoriti umat Islam menggadakan ibadah pada bulan Ramadhan dengan menunaikan solat terawih di masjid, bertadarus Al Quran, duduk dalam majlis ilmu dan berbuka puasa secara berjemaah. Inilah yang dinamakan berkumpul atas dasar taqwa. Justeru, peluang ini diambil untuk berkenalan dan beramah mesra dengan muslim yang lain. Dengan taaruf dan mahabah di antara muslim, secara tidak langsung segala pertuturan dan perbuatan adalah amal berupa dakwah menuju Allah.
Kesimpulannya, berpuasa bukan hanya ibadah untuk meningkatkan keimanan secara individu tetapi juga berupa kebaikan kepada muslim lain secara keseluruhan.
Khaulah binti Fadzlan Shahidi