Minggu ini adalah hari Jumaat ketiga penduduk Islam Malaysia tidak mengerjakan solat Jumaat. Sudah tentu sebahagian sudah mulai resah, terutamanya jika diandaikan ianya berlanjutan hingga ke Ramadan dan Syawal. Hilanglah peluang berterawih, beriktikaf, tadarus jamaie, iftar jamaie, solat Aidil Fitri, ziarah menziarahi dan sebagainya.
Persoalannya: adakah terdapat amalan yang lebih afdhal yang mampu menggantikan semua ibadah di atas apabila kita tak mampu melakukannya? Sedikit coretan untuk kita memahaminya dengan baik:
1. Ibadah itu sendiri amat luas cakupannya di dalam Islam. Ibn Taimiah mendefinisikannya sebagai ‘setiap amalan dan kata-kata, zahir dan batin yang disukai dan diredhai oleh Allah.’
Bersahabat itu ibadah. Memberi makan orang kelaparan itu ibadah. Menyelamatkan nyawa juga ibadah. Menyembuhkan pesakit juga ibadah. Menyebarkan kata-kata nasihat yang baik juga ibadah.
Dan banyak lagi amal kebaikan yang semuanya adalah ibadah kepada Allah.
2. Afdhal atau tidak sesuatu ibadah / amalan bergantung kepada waktu dan siapa yang melakukannya. Tidak ada satu perkara yang afdhal sentiasa sepanjang waktu mengatasi yang lainnya kecuali mentauhidkan Allah.
Di malam hari, yang afdhal adalah tidur merehatkan diri dan tahajud.
Lepas Asar hari minggu pula yang afdhal adalah melayan tetamu jika tetamu datang ke rumah.
Lelaki yang ramai anak, afdhal baginya berbelanja untuk pendidikan dan masa depan anak-anak.
Lelaki yang tidak ada anak tetapi ada ayah yang uzur, afdhal baginya menggunakan hartanya untuk kebajikan ayahnya.
Orang sakit yang tidak boleh berpuasa, jalan untuk dia menghampirkan diri kepada Allah adalah dengan tidak berpuasa. Dia tidak boleh meletakkan dirinya sama dengan orang sihat dalam beribadah mencari redha Allah.
Hadis menyebut menjaga keselamatan orang Islam di kawasan yang boleh mengorbarkannya lebih afdhal dari ibadah di malam lailatul qadar.
Hadis juga menyebut bahawa memenuhi keperluan seorang muslim lebih afdhal dari beriktikaf di masjid Nabawi selama sebulan.
3. Selepas menjaga agama, menjaga nyawa sentiasa akan didahulukan dari maslahat lain.
Maksud menjaga agama adalah memastikan rukun Islam dan prinsipnya bertapak kukuh di dalam kehidupan manusia.
Maksud menjaga nyawa pula adalah memastikan jiwa manusia dihormati dan selamat.
Dari itu apa-apa usaha yang akan membawa kepada kesinambungan nyawa manusia tanpa mencemarkan rukun Islam dan prinsipnya, maka ia hendaklah diutamakan melebihi dari apa juga yang lain.
4. Tidak mudah untuk menentukan apakah yang paling afdhal bagi seseorang pada waktu yang berubah-ubah suasananya. Hanya berfikir dengan rasional dan bersungguh-sungguh serta menolak hawa nafsu sahaja yang akan memberikan kepada kita panduan yang sahih berkenaan tentang apakah yang afdhal itu.
Penilaian saya, jika PKP berpanjangan sehingga Ramadan atau Syawal:
1. Utamakan penjagaan nyawa dengan mematuhi segala panduan dan larangan pihak berkuasa agar penyebaran wabak Covid-19 ini boleh dihentikan sepenuhnya.
2. Jika tiada lagi terawih, iktikaf dan sebagainya di masjid, gantilah dengan ibadah terawih dan tilawah di rumah. Tambahkan amal kebajikan dengan memastikan kenalan rapat dan ahli keluarga dapat bersahur dan berbuka dengan sempurna. Memenuhi keperluan orang lain yang kita kenali terutamanya jauh lebih afdhal dalam keadaan sekarang dibandingkan dengan beberapa ibadah khusus seperti iktikaf.
3. Gandakan pusingan khatam al-Quran lebih dari sekali kerana kita akan ada masa lebih berbanding sebelum ini. Ramadhan adalah bulan al-Quran.
4. Bayar zakat fitrah di awal bulan agar dapat diagihkan sebelum hari raya kepada fakir miskin yang memerlukannya. Bersedekahlah sebagai tambahan kepada zakat fitrah tersebut. Jika PKP sehingga Syawal, maknanya kita akan ada lebihan duit kerana tiada baju raya yang akan dibeli.
5. Perkongsian maya akan menjadi meriah apabila pertemuan fizikal tidak boleh dilakukan. Rancanglah dari sekarang untuk membanjiri media sosial dengan bahan-bahan yang baik. Orang jahat juga akan ada banyak masa merapu dan merepek di media sosial. Melawan kefasadan yang mereka sebarkan di media sosial juga satu jihad di jalan Allah.
Ustaz Muhammad Fauzi bin Asmuni
Timbalan Presiden ISMA
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)