1. PENAFSIRAN ayat al-Quran yang dikatakan mempunyai maksud berkaitan Corona adalah satu kesilapan yang nyata. Mereka menyatakan bahawa bilangan kes di Malaysia yang telah mencapai 3333 adalah satu petunjuk bahawa Allah pernah menyebutkan tentang perkara ini di dalam al-Quran.
Mereka mendakwa bahawa dalam ayat ke 33 dari Surah al-Ahzab (surah ke 33) ada menyebutkan perkataan:
وَقَرْنَ فِي بُيُوتِكُنَّ
Jadi mereka mengambil perkataan (وَقَرْنَ – waqarna) dan menyamakannya dengan corona kerana bunyinya yang sangat mirip. Malah angka 33:33 itu seakan memberi petanda bahawa Allah telah menyebutkan perkara ini ribuan tahun yang lalu.
2. Penafsiran sebegini adalah satu kesilapan yang nyata. Kesalahan pertama berlaku dari aspek konteks penurunan ayat. Menurut Ikrimah (seorang pakar tafsir dikalangan Tabien yang juga anak murid kepada Ibn Abbas), bahawa ayat ini diturunkan merujuk kepada para isteri Nabi. Kata Ikrimah:
أنها نزلت في شأن نساء النبي ﷺ؛ فهن سبب النزول دون غيرهن
“Sesungguhnya ayat ini diturunkan berkenaan para isteri Nabi SAW dan merekalah yang menjadi sebab ayat ini diturunkan.” (Tafsir al-Tabari; Dr. Khalid al-Sabt)
Dalam erti kata yang lain, ayat ini secara literalnya tiada kaitan dengan virus mahupun corona. Ia adalah proses pendidikan yang ditujukan kepada para isteri Nabi supaya kekal dirumah bagi menjauhi fitnah mereka yang memusuhi Islam.
3. Kesalahan kedua berlaku dari aspek bahasa. Perkataan (وَقَرْنَ) adalah merujuk kepada kata arahan (fi’l amar) yang ditujukan khusus kepada wanita. Andai perkataan ini ditujukan kepada lelaki, lafaz perkataan tersebut akan berubah menjadi (وَقَرُّوْا). Dalam erti kata yang lain, perkataan ini langsung tiada kaitan dengan corona. Ini kerana ia berubah atas wazan yang berbeza bergantung kepada morphology bahasa.
4. Kesalahan ketiga berlaku dari aspek maqasid atau tujuan ayat. Menurut al-Imam Ibn Kathir, ayat ini adalah proses ta’dib (pendidikan adab) buat para isteri Nabi bagi mengelakkan mereka difitnah oleh musuh Islam. Ayat ini langsung tiada kena mengena dengan virus ataupun wabak penyakit. Kata Ibn Kathir:
هذه آداب أمر اللّه تعالى بها نساء النبي
“Ayat ini adalah adab-adab yang diarahkan oleh Allah buat para isteri Nabi.” Pandangan yang sama turut dinyatakan oleh mufassir moden Sheikh Mutawalli al-Sya’rawi.
5. Sebahagian sarjana tafsir turut mempertikaikan penafsiran bersifat “numerical” ini iaitu penghuraian al-Quran dari aspek nombor dan bilangan yang terkandung di dalamnya. Beberapa tokoh terkemuka seperti Sheikh al-Sya’rawi, Sayyid Qutb dan Sheikh Soleh Fauzan pernah menyuarakan kebimbangan mereka berhubung metodologi pernafsiran sebegini.
Andai ulama tafsir terkemuka sendiri telah menyuarakan kebimbangan mereka tentang penafsiran sebegini, maka apakah alasan kita untuk menerima tafsiran penulis facebook yang tidak diketahui latar belakang mengenai mereka.
Semoga Allah membimbing mereka.
Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)