ISLAM agama yg sangat menjaga kesejahteraan masyarakat.
Oleh itu, Islam melarang perbuatan berbahaya dan yang memberikan kemudaratan kepada orang lain di persekitarannya, sama ada keluarga mahupun masyarakat.
Di dalam al-Quran, Allah S.W.T menyebutkan larangan ke atas perbuatan mencampakkan diri kepada kebinasaan berdasarkan firman-Nya:
وَلَا تُلۡقُواْ بِأَيۡدِيكُمۡ إِلَى ٱلتَّهۡلُكَةِ
Maksudnya: “Dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan, dan berbuat baiklah, karena sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik,” (Al Baqarah195).
Dalam ayat yang lain pula Allah berfirman;
وَلَا تُفۡسِدُواْ فِي ٱلۡأَرۡضِ بَعۡدَ إِصۡلَٰحِهَا
Maksudnya: “Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya,” (al-A’raf:56).
Sebagaimana sabda Rasulullah ﷺ;
لا ضرر ولا ضرار
Maksudnya: “Jangan memudaratkan (diri sendiri) dan jangan memberi kemudaratan (kepada orang lajn).”(Hadis riwayat Ahmad, Malik dan lbn Majah)
Maka dari ayat al-Quran dan hadis itu, ulama usul fiqh merumuskan kaedah penting yang dikenali sebagai qawa’id fiqhiyah, iaitu ‘la darar wala dirar’ yang menekankan kepada keperluan untuk menghapuskan semua kemudaratan yang diperakui syarak.
Berdasarkan kaedah itu juga, orang Islam tidak dibenarkan untuk melakukan sesuatu tindakan yang bukan sahaja membahayakan diri sendiri, bahkan mencetuskan kemudaratan kepada orang lain.
Jesteru, arahan kerajaan supaya mengawal pergerakan ketika ini adalah bertepatan dengan hadis dan ayat al-Quran di atas.
Kedegilan untuk tidak mematuhi arahan kerajaan dan meneruskan rutin keluar ke tempat awam akan menyebabkan kita membawa kemudaratan kepada diri sendiri (jika bercampur dgn orang yang positif COVID-19) dan juga kepada orang lain (jika kita adalah pembawa COVID-19).
Kedegilan kita juga akan membawa kemudaratan kepada para petugas kesihatan yang perlu saring semua orang yang ada hubungan dekat dgn pesakit COVID-19.
Jika kita seorang pembawa COVID-19 dan pergi ke tempat awam, maka semua yang kita jumpa itu perlu disaring oleh petugas kesihatan.
Dengan peningkatan kes yang mendadak saban hari, barisan hadapan petugas kesihatan negara sudah terlampau penat dan kekurangan sumber.Mereka juga manusia yang ada keluarga dan hak kepada kesihatan badan. Usahlah kita menambah kemudaratan kepada mereka.Kedegilan kita juga akan membawa mudarat kepada ekonomi dan perkembangan negara secara keseluruhan.
Kerajaan menurunkan Perintah Kawalan Pergerakan bagi memutuskan infeksi berantai (chain of infection) daripada kes-kes sedia ada.
Ya, arahan ini susah dan berat bagi banyak pihak, kerana urusan harian, perancangan hidup dan sumber rezeki terganggu.
Tetapi keadaan ini hanya ditetapkan umtuk dua minggu. Namun jika kita degil untuk mematuhi arahan ini selama dua minggu, kita mungkin menjadi penyebab arahan ini akan berlanjutan sehingga berbulan lamanya.
Lebih parah lagi sehingga perlu turun arahan ‘total lockdown’ pula jika keadaan menjadi tidak terkawal.
Maka berlarutanlah masyarakat terpaksa berada dalam keadaan yang sulit ini. Nah, tidak tentu pasal kedegilan kita membawa kemudharatan yang lebih besar dan berpanjangan kepada masyarakan dan negara.
Begitu juga dalam urusan bergerak ke setiap destinasi. Pastinya lain orang ada keperluan yang berlainan untuk keluar dari rumah atau balik kampung.
Ada yang tiada tempat tinggal lain melainkan balik kampung. Ada yang perlu berkhidmat kepada ibubapa yang bersendirian dalam tempoh kawalan pergerakan ini.
Apabila ramai orang yang tidak ada keperluan mendesak untuk keluar tetap ingin keluar, maka tidak semena-mena mereka yang betul-betul ada keperluan untuk keluar telah mengalami kesukaran seperti mengalami kesesakan jalan yang teruk, tiket bas habis dan bersesak-sesak dalam perjalanan.
Wanita ISMA dengan ini menyeru supaya kita semua patuh kepada arahan dan sentiasa berada di dalam rumah sepanjang 18 hingga 31 Mac ini, demi untuk membebaskan negara tercinta dari ancaman virus ini.
Janganlah kita menjadi penyebab kepada kemudaratan yang lebih besar hanya kerana kita bersikap sambil lewa, dalam mematuhi perintah kawalan pergerakan yang telah ditetapkan oleh kerajaan.
Ustazah Suriani Sudi
KETUA WANITA ISMA
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik